BENARKAH YDP AGONG PERLU IKUT NASIHAT PERDANA MENTERI?

397
SHARES
2.3k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Saya telah baca kenyataan Peguam Negara yang baru dikeluarkan sebentar tadi yang mana Peguam Negara berkata YDP Agong perlu ikut nasihat Jemaah Menteri dan Perdana Menteri untuk membuka Parlimen dan Jemaah Menteri yang menentukan tarikh Parlimen dibuka.

Peguam Negara telah beri penjelasan panjang lebar untuk memberi justifikasi mengapa YDP Agong perlu dengar nasihat Perdana Menteri untuk buka Parlimen.

Mengikut Peguam Negara, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan berkenaan persidangan Parlimen perlu dibaca bersama Perkara 40 iaitu YDP Agong perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri (atau Perdana Menteri) walaupun ketika darurat.

Saya pasti Peguam Negara amat berpengetahuan dan berpengalaman dalam undang-undang dan Perlembagaan dan saya tidak sangkal krebilitinya ini.

Namun dalam hal ini, penjelasan Peguam Negara dalam kenyataannya tersebut tidak lengkap.

Ada satu perkara yang tidak dijelaskan oleh Peguam Negara:

Iaitu apabila Perdana Menteri sedia ada tidak diyakini oleh YDP Agong bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, maka adakah YDP Agong masih perlu mendengar nasihat Perdana Menteri tersebut?

Berdasarkan kes PP v Mohd Amin Mohd Razali (2000), mahkamah membuat keputusan tidak.

YDP Agong hanya perlu mendengar nasihat Perdana Menteri yang sah mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dan kuasa YDP Agong untuk melantik Perdana Menteri (serta kesahihan Perdana Menteri) berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan di atas adalah bersandarkan kepada hemat atau keyakinan YDP Agong yang Perdana Menteri itu mempunyai sokongan atau kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat.

Jika Perdana Menteri tidak diyakini mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat oleh YDP Agong, maka YDP Agong boleh melantik Perdana Menteri yang lain.

Dengan kata lain, Perdana Menteri yang tidak diyakini ada sokongan tersebut hilang kesahihan sebagai Perdana Menteri.

Apabila ini berlaku, maka nasihat Perdana Menteri mahupun Jemaah Menteri tersebut tidak lagi perlu diikut oleh YDP Agong.

Apa yang berlaku sekarang ialah sokongan sebenar terhadap Perdana Menteri kini tidak diketahui. Oleh itu kesahihannya juga menjadi persoalan.

Sebab itu sokongan dan kesahihan ini perlu dibuktikan sebelum YDP Agong diminta mendengar nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.

Jika tidak, adalah tidak adil dan tidak betul jika YDP Agong diminta ikut nasihat Perdana Menteri yang tidak tentu kesahihannya.

Sekian.

25 Jun 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/999125177509673/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts