KEWAJIPAN MENTAATI AMIR DI SEBALIK TITAH BUKA PARLIMEN SECEPAT MUNGKIN

378
SHARES
2.2k
VIEWS

Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong buat kali keduanya telah menzahirkan pandangan baginda dan Raja-raja Melayu agar Parlimen segera dibuka bagi “membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat“.

Kenyataan ini jelas bercanggah dengan pandangan kerajaan bahawa paling cepat Parlimen akan dibuka pada September ataupun Oktober – seperti yang diulas oleh Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan yang turut berkata YDP Agong tidak meletakkan tarikh untuk Parlimen bersidang. 

Perlu diingat, titah ini adalah dekri dan ia bukannya kata-kata biasa yang boleh dipersenda kononnya kerana “tidak mempunyai tarikh”. Titah Ketua Negara yang  juga Ketua Agama Islam ini wajib wala’ dan ditaati – selagi mana ia tidak mengajak rakyatnya kepada kemaksiatan.

Tindakan Takiyuddin ini juga dilihat seperti mahu menyanggah ketetapan yang telah dibuat oleh sembilan Raja-raja Melayu yang bermesyuarat dan mengambil keputusan Sidang Parlimen perlu disegerakan. Paling ditakuti tindakan beliau ini boleh ditakrifkan sebagai menderhaka YDP Agong dan Raja-raja Melayu. 

Lebih mengecewakan, kenyataan rasmi PAS juga dilihat tidak perlu dan hanya memburukkan situasi. PAS tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang memihak kepada kerajaan jika ia jelas bercanggah dengan apa yang dititahkan.

PAS sepatutnya menasihati kerajaan agar menurut titah baginda untuk mempercepatkan Sidang Parlimen – bukannya berkata titah tersebut selari dengan hasrat kerajaan yang mahu membuka Parlimen pada bulan September atau Oktober.

Selain itu, tindakan Takiyuddin mengeluarkan kenyataan lebih awal daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) hanya menambah kerumitan dan polemik, bukannya membantu kerajaan untuk memberi maklum balas kepada Istana.

Jika masih keliru dan ragu-ragu untuk taat, kenapa selaku Menteri Undang-undang, Takiyuddin tidak menasihati Perdana Menteri agar bertemu pihak Istana dan bukannya secepat kilat terus membuat andaian liar tanpa disahkan terlebih dahulu? 

PMO juga sepatutnya menjaga adab dan protokol dengan menjadi pihak pertama yang mengeluarkan kenyataan dan bukannya menteri-menteri lain seperti Takiyuddin.

Inilah antara resepi komunikasi berkesan yang sepatutnya PMO amalkan tetapi malangnya mereka hanya tahu mengikut naratif Takiyuddin yang memberi alasan tidak masuk akal dan seolah-olah mempermainkan titah YDP Agong. 

Jika mengikut amalan terdahulu, PMO akan lebih berhati-hati dan sedaya upaya untuk cuba tidak mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan titah Istana, apatah lagi jika kini ia dilihat terang-terangan pula cuba menyanggah titah tersebut.

Sekali lagi Perdana Menteri dan PMO gagal bertindak bijak untuk membela Istana walaupun bertentangan dengan hasrat sendiri untuk melengahkan Sidang Parlimen kerana punca kuasa kini kembali kepada YDP Agong sepenuhnya dan bukan lagi di tangan Perdana Menteri. 

Justeru apa sahaja yang dititahkan kini bukan lagi WAJAR TETAPI MENJADI KEWAJIPAN UNTUK DILAKSANAKAN sesuai dengan kehendak 9 Raja-raja Melayu yang telah bermesyuarat dan membuat keputusan pada hari tersebut. 

Perlu diingat, YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu ini bukanlah jawatan turun-temurun tetapi merupakan sebuah institusi yang lebih tinggi dan ‘tua’ daripada kerajaan itu sendiri.

Raja-raja Melayu telah meminjamkan kuasa mereka kepada parti atau gabungan yang memenangi pilihan raya dan melalui kuasa yang dipinjamkannya ini, maka kerajaan dibentuk semata-mata untuk menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan.

Sedikit nasihat buat Perikatan Nasional, jadilah sebuah kerajaan yang dihormati. Tunjukkanlah contoh dan teladan yang baik sebagai sebuah kerajaan yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam, terlebih dahulu dengan mentaati titah amir, yakni Ketua Negaranya sendiri. 

Kemudian barulah boleh kata kenyataan kerajaan Perikatan Nasional adalah selari dengan kehendak YDP Agong. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts