CADANGAN TERHADAP JAWATANKUASA KHAS BEBAS DARURAT – IBRAHIM ALI

348
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PUTRA

30 Mei 2021

1. Parti PUTRA bersetuju dengan cadangan supaya didedahkan kepada umum mengenai apakah TERMA DAN RUJUKAN PELANTIKAN JAWATANKUASA KHAS BEBAS DARURAT YANG BERJUMLAH 19 ORANG. 

2. Rakyat perlu diberitahu secara terperinci berapa kalikah mesyuarat telah diadakan sejak ia ditubuhkan, iaitu sebaik sebaik sahaja darurat diisytiharkan.
Adakah keputusan yang dibuat telah dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebaik sahaja selesai setiap mesyuarat.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat adalah Tun Ariffin Jaka bekas Ketua Hakim Negara bersama 2 wakil daripada jawatankuasa wajar diberi masa mengadap sebagaimana Perdana Menteri mengadap baginda setiap minggu.

Mungkin mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sekali sebulan maka Pengerusinya wajar mengadap YDP Agong sebulan sekali bagi memberi taklimat dan keputusan-keputusan yang telah dibuat. Bukan sahaja melalui bertulis tetapi juga diberi ruang untuk mengadap dan menyembah maklum supaya baginda tidak menerima laporan daripada pihak lain yang tidak berkaitan.

3. Rakyat tidak tahu apakah ‘threshold‘ atau beberapa kriteria yang ditetapkan untuk penamatan darurat yang dikatakan sudah dibuat oleh Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini? RAKYAT PERLU TAHU.

4. Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini wajib bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali dan wajib telus kerana PUTRA difahamkan setiap anggota jawatankuasa ini berjumlah 19 orang yang dibayar ELAUN TETAP BULANAN RM5 RIBU SETIAP ORANG DAN RM7OO SETIAP KALI MESYUARAT. 

5. Mungkin elaun Pengerusi berbeza termasuk perbelanjaan urusetia. Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini adalah terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen yang sudah menerima elaun dan gaji bulanan walahpun Parlimen tidak bersidang. Kos gaji dan elaun Menteri-menteri termasuk Timbalan-timbalan Menteri yang saiznya terbesar dalam dunia, walaupun jumlah keseluruhan rakyat hanya 32 juta termasuk kanak-kanak. 

Maka rakyat berhak tahu keberkesanan dan peranan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini agar segala elaun yang dibayar tidak membazir. Ia merupakan wang negara yang telah banyak berhutang. Kalau dilantik di kalangan tokoh-tokoh berbagai NGO, mungkin tidak perlu dibayar apa-apa kecuali elaun kehadiran mesyuarat sahaja sudah memadai. Ramai dalam kalangan tokoh-tokoh berintegriti dan berpengalaman daripada kalangan bekas-bekas pegawai tinggi tentera, polis, penjawat awam, tokoh-tokoh akademik yang sepatutnya berada dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini.

PUTRA ingin melihat ada atau tidak anggota jawatankuasa ini sanggup menolak elaun tetap bulanan untuk menjimatkan wang negara dan hanya menerima elaun hadir mesyuarat yang dikira sudah memadai.

6. PUTRA mencadangkan Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat mengadakan SIDANG MEDIA selepas mesyuarat dan setiap kali selepas mengadap YDP Agong dan juga melantik jurucakap rasmi bagi membolehkan pihak media mengetahui perkembangan semasa pemantauan dan cadangan-cadangan yang telah dipersembahkan kepada baginda. 

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat wajar BEBAS BERURUS SECARA LANGSUNG DENGAN PIHAK ISTANA NEGARA. Tiada birokrasi. 

PUTRA PERKASA NEGARA

Salam perjuangan rakyat untuk negara. 

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts