PKP 3.01: WIRAWATI PUTRA GESA KERAJAAN UTAMAKAN NYAWA DAN KESELAMATAN RAKYAT

398
SHARES
2.3k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRAWATI PUTRA MALAYSIA

22 Mei 2021 | 11 Syawal 1442H

1. Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.01) pada Sabtu lepas dilihat tidak menunjukkan usaha dan komitmen sepenuhnya kerajaan dalam mengurangkan angka kes COVID-19 yang meningkat saban hari, malah ia dilihat seperti kerajaan masih belum serius mahu menyelamatkan nyawa rakyat.

2. Infografik Sekatan Tambahan PKP bermula 25 Mei 2021 berbanding 12 Mei 2021 yang tular di media sosial menunjukkan bahawa sektor ekonomi masih dibenar beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. Menjadi persoalan adalah, adakah PKP yang dilaksanakan ini sengaja membolehkan rakyat untuk keluar seperti biasa dalam tempoh waktu tersebut? Tempoh 12 jam itu sangat mengelirukan iaitu adakah orang ramai selain pergi kerja masih boleh lakukan lain-lain tujuan termasuk untuk ke pasar malam? Walaupun dinamakan PKP, namun orang awam tetap boleh keluar rumah cuma bezanya perlu melalui sekatan jalan raya.

3. Tidak dinafikan tidak patuh SOP antara punca kes meningkat, tetapi tidak adil dan tidak wajar jika kerajaan mengatakan rakyat punca utama peningkatan kes tersebut kerana segelintir yang gagal dan dilihat masih berdegil dengan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Sedangkan semua orang tahu akibat kerakusan mengadakan PRN Sabah serta kecuaian SOP kerajaan yang membenarkan kemasukan orang dari luar negara yang berkemungkinan besar menjadi pembawa wabak menjadi asbab utama kepada kes yang meningkat dan wujud varian baru di Malaysia. Jika ingin dibandingkan, bagaimana pula Menteri, Timbalan Menteri serta pemimpin politik yang disahkan positif COVID-19, adakah boleh disimpulkan bahawa mereka juga tidak patuh SOP?

4. Wirawati PUTRA mencadangkan agar dilaksanakan PKP secara menyeluruh (total lockdown) seperti PKP 1.0 di mana semua sektor dikawal atau ditutup sementara iaitu melibatkan sektor yang tidak berkaitan ekonomi asas. Perkhidmatan awam dan swasta kembali bekerja daripada rumah (WFH) kecuali barisan hadapan manakala perkhidmatan kenderaaan awam dihadkan dan lain-lain. Walaupun PKP penuh bukanlah pilihan kegemaran semua namun kerajaan perlu bertegas seketika demi kemaslahatan dan kesejahteraan jangka panjang negara.

5. Malaysia mempunyai rekod kejayaan mengurus penularan COVID-19 pada tahun lalu dan ia boleh dijadikan model serta ditambahbaik seperti memberi bantuan sokongan kepada peniaga kecil, penganggur, keluarga B40 dan kumpulan bawah M40 bagi memastikan mereka mempunyai pendapatan yang sesuai demi kelangsungan hidup dalam tempoh waktu tersebut. Wirawati PUTRA yakin kerajaan mampu memberikan bantuan-bantuan khas dalam tempoh PKP penuh kali ini dan dalam masa sama ia membuka ruang pendapatan sampingan kepada perkhidmatan penghantaran dan kurier terutama mereka yang hilang punca pendapatan semenjak PKP awal tahun lalu.

6. Wirawati PUTRA juga mencadangkan agar kerajaan memperhebat aplikasi jualan atas talian atau menggalakkan peniaga, penjaja, kenderaan bersaji atau kiosk-kiosk untuk berniaga di media sosial TANPA SEBARANG CAJ ATAU SYARAT agar dapat menjamin pulangan pendapatan rakyat dalam tempoh tersebut. Syarikat-syarikat yang membuat aplikasi atas talian juga perlu mengadakan kerjasama kerajaan dan diarahkan untuk membantu usahawan dan peniaga kecil di lokaliti masing-masing untuk memasarkan produk mereka secara atas talian dengan caj yang minimum.

7. Kerajaan mempunyai kuasa penuh darurat dan kuasa penuh untuk menggunakan wang negara. Pulihkan rakyat dahulu kerana rakyat yang akan merancakkan ekonomi negara. Jika masih gagal dan keadaan COVID-19 menjadi berkali ganda lebih serius selepas lebih 4 bulan kuasa penuh darurat dikuatkuasakan, maka pikullah tanggungjawab atas kegagalan ini.

Sekian.

Nurhafizah Binti Jamalludin

Naib Ketua Wirawati PUTRA Malaysia

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts