BERHENTI SALAHKAN RAKYAT BILA DASAR KERAJAAN TIDAK BETUL

433
SHARES
2.5k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin pernah berkata bahawa rakyat yang langgar SOP akan terus disumbat masuk ke penjara pada awal wabak ini menular tahun lepas.

Kini setelah lebih setahun kenyataan di atas dibuat dan lebih setahun kerajaan PN menangani wabak ini, situasi wabak COVID-19 di Malaysia tidak bertambah baik malah menjadi semakin buruk.

Saya lihat apa yang pemimpin kerajaan buat sekarang adalah masih sama iaitu cuba untuk menyalahkan rakyat ke atas kenaikkan angka COVID-19 yang semakin teruk kerana kononnya ini terjadi sebab rakyat yang tidak ikut SOP.

Oleh sebab itu kerajaan kata kompaun perlu dinaikkan dan penguatkuasaan perlu ditingkatkan ke atas rakyat.

Namun ini bukanlah sebenarnya punca utama situasi COVID-19 di Malaysia menjadi semakin teruk sekarang.

Memang ada rakyat yang tidak ikut SOP, malah menteri-menteri dan selebritipun ramai yang tidak ikut SOP.

Di merata dunia rakyat negara-negara lainpun ramai yang tidak ikut SOP malah ada yang teruk menentang arahan kerajaan berbanding rakyat Malaysia yang kebanyakannya akur kepada arahan pihak berkuasa.

Tetapi situasi di negara-negara yang rakyatnya lebih degil ini seperti di Amerika Syarikat, UK, Itali dan lain-lain adalah semakin baik berbanding di Malaysia, oleh itu kedegilan rakyat tentunya bukan punca utamanya.

Punca utama keadaan COVID-19 di Malaysia semakin buruk adalah kerana kegagalan dasar kerajaan yang berbolak-balik, separuh masak, dan dangkal serta pelaksanaan dan penguatkuasaan yang pilih kasih dan tidak konsisten.

Contohnya, apabila sekolah dibuka tetapi Parlimen ditutup, apakah kerajaan fikir yang beratus ribu murid-murid sekolah rendah boleh mematuhi SOP di dalam kelas, dalam van sekolah dan di kantin selama 6 jam lebih baik daripada 200 ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat?

Dan jika murid-murid ini tidak patuh dan kena COVID-19, kerajaan umum ingin kenakan ibu-bapa dan sekolah kompaun pula?

Dan apabila ada menteri dan selebriti yang tidak patuh SOP tetapi lepas begitu sahaja, apakah kerajaan fikir yang rakyat tidak akan endahkan ‘keistimewaan’ dan double-standard ini dan terus ikut SOP bila pemimpin dan idola merekapun tidak ikut SOP dan tidak kena apa-apa?

Namun yang kena kompaun berpuluh ribu tanpa banyak bicara adalah kebanyakannya rakyat biasa, tetapi golongan kayangan hanya diambil tindakan setelah mendapat liputan media meluas yang negatif.

Jika Menteri Dalam Negeri ingin sumbat rakyat yang langgar SOP terus masuk penjara seperti yang dia kata pada tahun lepas, saya sarankan supaya dia tangkap dan sumbat dalam penjara menteri dan pemimpin kerajaan atau selebriti yang langgar SOP dahulu sebelum tangkap orang biasa.

Sebab pemimpin dan selebriti inilah yang sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik bukannya menunjuk-nunjuk yang mereka kebal boleh langgar SOP dan lepas.

Sebagai pemimpin dan selebriti, anda mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kerana anda mempunyai pengikut yang akan ikut contoh yang dibuat oleh anda, baik atau buruk.

Sebagai kerajaan pula, anda perlu sedar yang dasar-dasar anda yang sebenarnya telah gagal dalam menangani COVID-19 di Malaysia yang semakin hari semakin membahayakan nyawa rakyat, dan tidak hanya berada dalam sindrom penafian dan menganggap anda (kerajaan) selalu betul dan asyik menyalahkan rakyat apabila keadaan menjadi semakin teruk seperti sekarang.

ISHAM JALIL

7 Mei 2021

https://fb.watch/5kLzme0gUS/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts