AKTA SPRM SUDAH CUKUP UNTUK TANGANI ISU RASUAH AHLI PARLIMEN LOMPAT PARTI

375
SHARES
2.2k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Pagi tadi Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata tidak ada undang-undang anti-lompat parti yang menghalang Ahli-ahli Parlimen untuk melompat parti.

Memang betul tidak ada undang-undang sedemikian, namun apa yang menjadi isu adalah bukanlah tindakan melompat parti Ahli-ahli Parlimen tersebut, tetapi isunya ialah sogokan yang didakwa diberi atau diterima oleh Ahli-ahli Parlimen ini yang mendorong mereka untuk melompat parti.

Dan katanya lagi, yang mereka (SPRM) siasat ialah jika ada penawaran wang untuk sokongan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, mana-mana pihak yang menawarkan wang untuk meraih undi adalah melakukan kesalahan.

Namun akta ini dibuat untuk menangani kesalahan-kesalahan semasa tempoh pilihan raya, dan ia tidak memadai untuk mengambil tindakan ke atas kesalahan rasuah di luar tempoh pilihan raya, contohnya jika Ahli-ahli Parlimen disogok untuk melompat parti setelah pilihan raya tamat.

Oleh itu, adakah Ahli-ahli Parlimen yang disogok untuk melompat parti ini akan terlepas begitu sahaja kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM menggunakan akta kesalahan pilihan raya apabila kesalahan dibuat di luar tempoh pilihan raya?

Sebenarnya, dalam hal ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak perlu guna Akta Kesalahan Pilihan Raya yang longgar terhadap kesalahan-kesalahan rasuah selepas pilihan raya.

Beliau boleh guna Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694) sendiri.

Saya pasti Ketua Pesuruhjaya SPRM arif tentang akta ini.

Undang-undang berkenaan sogokan terhadap Ahli-ahli Parlimen untuk berbuat sesuatu (termasuk melompat parti, mengundi atau tidak mengundi dalam mesyuarat badan awam termasuk Parlimen dan sebagainya) telah ada dan terang-terangan dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694).

Mengikut Seksyen 21 Akta SPRM, “Mana-mana orang yang menawarkan kepada seseorang mana-mana badan awam, atau sebagai seorang pegawai mana-mana badan awam, meminta atau menerima apa-apa suapan, sebagai suatu dorongan atau upah supaya:

(a) pegawai itu mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan awam itu …. melakukan sesuatu kesalahan“.

Dan Seksyen 4 Akta yang sama juga menyebut, “pegawai badan awam ertinya mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja, atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan...”.

Oleh itu, mengikut akta ini, jika seseorang Ahli Parlimen disogok untuk melompat parti dan menukar undi atau sokongan di Parlimen selepas pilihan raya, Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh menyiasat dakwaan ini dan mengambil tindakan.

Dan mengikut undang-undang, pihak berkuasa termasuk SPRM tidak perlu menunggu adanya laporan rasmi dibuat untuk membuka kertas siasatan.

Alasan tiadanya undang-undang anti-lompat parti (oleh itu tidak boleh ambil tindakan) tidak boleh diterima terutamanya jika ia menyebabkan perbuatan rasuah politik di kalangan Ahli-ahli Parlimen semakin berleluasa.

Jika Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak tahu akan hal ini atau tidak mahu mengambil tindakan sejajar dengan peruntukan undang-undang dan akta SPRM sedia ada, saya sarankan supaya beliau meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada orang lain yang boleh menjalankan tugas dengan lebih cekap tanpa takut atau terhutang budi, atau “without fear or favor“.

ISHAM JALIL
4 Mei 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/966719044083620/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts