WIRA PUTRA INGATKAN PAS KUASA DI TANGAN ITU AMANAH ALLAH

361
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA

27 April 2021 | 14 Ramadhan 1442H

1. Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Dato Seri Haji Hadi Awang semalam dengan menyatakan bahawa waspada pelampau politik menentang perintah darurat yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani pandemik COVID-19 di laman portal berita Berita Harian Online bertarikh 26 April 2021.

2. Wira PUTRA mengajukan soalan kepada Presiden PAS Dato Seri Haji Hadi Awang, sejak bilakah rakyat yang meminta sistem demokrasi berjalan seperti amalan biasa dalam negara ini, dengan membuka kembali Dewan Parlimen bagi membolehkan Ahli Parlimen bersidang dan membincang isu rakyat wajar dilabelkan sebagai “pelampau politik”?

3. Wira Putra melihat PAS kini tampak selesa di dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah negara pada hari ini dan Wira PUTRA mengingatkan bahawa kuasa di tangan itu adalah amanah ALLAH SWT yang mana ia perlu dilaksana dan dijaga dengan sebaiknya sebagai cerminan pemimpinan yang bertakwa.

4. Kerajaan hari ini yang diterajui sebahagiannya oleh PAS, telah bertindak membuat pinjaman sejak Januari 2021 sehingga setakat 21 April 2021 sebanyak RM75 bilion dan angka ini terus meningkat, tidak termasuk RM5.4 bilion pinjaman asing melalui Sukuk Hijau yang dibuat minggu lepas. Pada masa yang sama kerajaan hari ni yang disertai oleh PAS juga yang sedang memerintah negara telah menyatakan hasrat untuk menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) selain mendapat hasil dari penjualan beberapa aset negara kononnya bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

5. Sebelum ini kerajaan yang disertai PAS yang mengusai negara juga telah membelanjakan lebih RM600 billion yang merangkumi pakej stimulus RM340 bilion dan RM322 bilion bagi belanjawan negara ditambah pula RM20 bilion lagi yang dumumkan pada 22 Mac 2021 melalui pakej stimulus yang baru – PEMERKASA. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumumkan bahawa kerajaan sudah tiada dana. Hutang negara juga telah mencecah RM879.6 bilion iaitu 62.2 peratus daripada nilai KDNK negara tahun 2020 dan angka ini dijangka terus meningkat lagi pada tahun 2021.

6. Wira PUTRA ingin menegaskan kepada Presiden PAS, bahawa Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang baru adalah sekitar RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2005. Ini menunjukkan bahawa jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin telah meningkat bertambah sekitar 405,441 isi rumah berbanding 16,653 orang jika digunakan angka nilai sebelum ini.

7. Wira PUTRA menegaskan di sini bahawa keadaan ekonomi dan taraf hidup rakyat di mana bilangan isi rumah yang telah jatuh menjadi miskin telah meninggkat dengan begitu mendadak. Ya, COVID-19 memang boleh membawa maut, namun pada masa yang sama bilangan rakyat yang bakal ‘maut’ akibat taraf hidup rakyat yang semakin mendesak dan menghimpit.

8. Justeru itu Wira PUTRA mendesak sekeras-kerasnya supaya Sidang Dewan Rakyat diadakan segera bagi Ahli-ahli Dewan Rakyat yang terdiri daripada pihak kerajaan serta pembangkang membincangkan isu terkait rakyat dan negara agar ekonomi mereka menjadi lebih baik.

9.YDP Agong juga telah menyatakan pada 2 Februari 2021 yang lepas bahawa Sidang Dewan Rakyat boleh bersidang dalam tempoh darurat pada tarikh yang sesuai oleh baginda. Apakah agenda peribadi lebih penting melebihi daripada agenda kesejahteraan negara yang menyebabkan sidang tidak boleh diadakan?

10. Nada nyaring dan keras PAS sewaktu pembangkang seakan menjadi bisu malah semakin sepi setelah menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah negara. Apabila islam dan kalimah Allah dihina, tiada tindakan. Pembelaan terhadap anggota bomba Allahyarham Mohd Adib serta keluarga beliau masih belum nampak sebarang tindakan atau sebarang pendakwaan dilakukan bagi membela kematian seorang penjawat awam yang berkhidmat untuk negara. Jika dahulu PAS mengeluh ‘buah’ sudah di tangan namun tidak ada ‘pisau’ untuk memotong, kini pisau sudah di tangan, buah juga di depan mata, jadi apa masalahnya lagi?

Ingat, kuasa di tangan itu adalah amanah ALLAH.

Sekian.

Oleh Meor Mohd. Hilmi Bin Meor Zainun

Ketua Penerangan Pergerakan Wira PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts