WIRA PUTRA DESAK PM POTONG GAJI MENTERI DAN AHLI PARLIMEN SERTA HENTI PROJEK MEGA

415
SHARES
2.4k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA

15 April 2021 | 3 Ramadhan 1442H

1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri tempoh hari, cukup membuat Malaysia gegak gempita. Dari satu pengumuman, ke satu pengumuman yang dibuat, dilihat memberikan tekanan kepada rakyat daripada membawa ke arah kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan seharian rakyat.

2. Wira PUTRA sekali lagi mendesak akan saranan kenyataan Wira PUTRA 14 Januari lalu, agar Perdana Menteri segera bertindak memotong dan “mewakafkan sebahagian gaji” Menteri, Timbalan Menteri dan jawatan bertaraf menteri. Dari awal proklamasi darurat yang diumumkan, Wira PUTRA telah menegaskan agar tindakan pemotongan gaji terutama kepada kementerian yang kurang berfungsi dan tiada keperluan dilaksanakan. Wira PUTRA juga melihat, TIADA keperluan untuk kerajaan terus mengekalkan, anggota kabinet sehingga 72 orang dengan bayaran gaji Menteri sahaja, tidak termasuk Timbalan Menteri dan Pengerusi Agensi dianggar melebihi RM1.9 juta sebulan. Ini adalah satu PEMBAZIRAN WANG RAKYAT.

3. Wira PUTRA turut menggesa agar segala gaji, elaun dan peruntukan Ahli Parlimen digantung sementara, ini adalah kerana Parlimen masih lagi belum bersidang. Maka tidak ada keperluan bagi pembayaran gaji dan elaun tetapi Parlimen tidak dibuka bagi Ahli Parlimen melaksanakan amanah, bagi membincangkan segala hal-hal kepentingan dan keperluan rakyat, serta menambahbaik, atau menggubal dasar dan undang-undang semasa. Selain itu, status maklumat terkini kerja-kerja pembangunan, menaiktaraf dan pembaikan di kawasan diuruskan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat juga tidak ada perkhabaran kerana Parlimen tidak bersidang.

4. Wira PUTRA juga menyarankan, agar, semua projek mega dan berskala besar yang tiada keperluan utama, ditangguhkan dahulu, bagi memberi keutamaan kepada perbelanjaan berkaitan COVID-19. Pada ketika negara sudah tidak mempunyai banyak wang yang masih berbaki seperti diumum Perdana Menteri, segala perbelanjaan pembangunan yang wajar ditangguh perlu dilakukan bagi menumpu sepenuhnya kepada bantuan dan pembangunan ekonomi rakyat.

5. Terbaru, Perdana Menteri meminta penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji. Wakaf sememangnya satu instrumen yang baik dalam membantu ekonomi negara dan ia perlu dilaksanakan secara sukarela di samping penyumbang perlulah benar-benar bersedia untuk mewakafkan pendapatan mereka. Wira PUTRA membantah sekerasnya jika ia terdapat unsur paksaan halus di kala semua orang dihimpit masalah ekonomi tersendiri. Yang wajar digalakkan wakaf pendapatan mereka adalah golongan pendapatan T20.

6. Wira PUTRA yakin kerajaan PN sedar bahawa mereka tidak kompeten dan tidak produktif. Ini terbukti dari kegagalan mengurus risiko oleh ahli kabinetnya. Isu agama Islam dihina dengan teruk, rakyat hilang punca pendapatan, ekonomi negara merudum serta pelbagai kes yang wajar dibela seperti kematian Allahyarham Adib seperti tiada apa-apa tindakan. Justeru, kerajaan PN segera ambil langkah dengan mengundur diri secara terhormat sebelum terlambat untuk membuat langkah pembetulan. Jangan terus membuat rakyat tertekan, kerana impaknya amat buruk jika perasaan memberontak mula terbina dan amarah rakyat mula tidak terkawal.

7. Jikalau benar kedudukan kewangan negara dalam keadaan tenat seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, maka buanglah sifat biar papa asal bergaya. Tiada duit buat cara tiada duit. Jumlah rakyat miskin terus meningkat. Harga barangan seharianpun makin meningkat, peluang pekerjaan bagi anak-anak muda semakin berkurang kerana banyak syarikat telah gulung tikar ataupun berpindah ke negara jiran. Tetapi menteri dan pemimpin masih lagi bermewah-mewah. Pemimpin perlu berjiwa besar dan beralah demi kepentingan rakyat. Itulah pemimpin sejati yang disanjung oleh rakyat dan dianjurkan oleh agama.

Sekian.

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts