JANGAN MEMBISU APABILA KERAJAAN BUAT KEPUTUSAN TIDAK MASUK AKAL

398
SHARES
2.3k
VIEWS

Segelintir Menteri-menteri UMNO yang beralasan untuk kekal dalam Kabinet Perikatan Nasional disarankan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak agar tidak hanya membisu apabila ada beberapa keputusan kerajaan yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal dan mereka wajar menegurnya.

Bekas Perdana Menteri keenam itu menggariskan enam perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan dan menuntut agar menteri-menteri UMNO yang kononnya ingin kekal dalam kabinet dengan alasan “ingin bertanggungjawab kepada rakyat agar imej UMNO tidak tercalar” supaya jangan takut menegur kerajaan.

Enam perkara tidak masuk akal yang merugikan rakyat dan negara itu ialah;

1. Parlimen tidak bersidang sepanjang darurat dengan alasan bahawa terlalu ramai orang tua dalam dewan walaupun YDP Agong bertitah Parlimen boleh bersidang dalam masa darurat (Malaysia adalah satu-satunya negara dalam dunia yang menggantungkan Perlembagaan dan parlimen dengan alasan untuk membendung Covid).

2. Menangguhkan Undi-18 sehingga bulan September 2022, iaitu 3 tahun 2 bulan selepas diluluskan sebulat suara dalam Parlimen (dengan alasan SPR di bawah kerajaan perlu mendapat kerjasama daripada JPN di bawah kerajaan).

3. Ordinan darurat yang dibuat secara mengejut mengetepikan kelulusan Parlimen dan memberi kuasa untuk berbelanja sesuka hati tanpa mengikut bajet dalam tempoh darurat (tidak wujud negara demokrasi dalam dunia di mana kerajaannya tidak perlu bertanggungjawab pada Parlimen dalam hal perbelanjaan kerajaan).

4. Membawa usul ke Parlimen untuk menaikkan had hutang kerajaan sekali lagi apabila nisbah hutang sebanyak 62.2 peratus pada akhir tahun 2020 mencecah paras 60 peratus (yang dinaikkan daripada 55 peratus oleh kerajaan PN dalam Parlimen pada bulan Ogos lalu) agar kerajaan tidak melanggar undang-undang sendiri.

5. Membatalkan projek HSR KL-Singapura dan menggantikannya dengan projek HSR KL-JB yang kosnya hampir sama. Akibatnya, kerajaan telah membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura dan menjejaskan keuntungan projek buat selama-lamanya.

6. Menjual syarikat semikonduktor terbesar Malaysia kepada syarikat gabungan 60-40 syarikat China dalam masa darurat dengan harga RM273 juta, ketika industri semikonduktor dunia berkembang pesat. (Wang daripada penjualan syarikat semikonduktor ini tidakpun cukup untuk membiayai kos pampasan RM320 juta kepada Singapura).

Selain itu Presiden dan MKT UMNO belum mengeluarkan sebarang arahan untuk meletakkan jawatan, justeru kenapa ada segelintir Menteri-menteri UMNO dalam Perikatan Nasional dilihat ‘menggelabah’ seolah-olah arahan telahpun dikeluarkan?

Jika benar ingin bertanggungjawab kepada rakyat dan tidak mahu mencalarkan imej UMNO, maka jangan hanya mengikut segala keputusan dan arahan tidak masuk akal kerajaan termasuklah membelakangkan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mengadakan Sidang Parlimen ketika darurat.

Bukankah titah baginda lebih wajar ditaati berbanding Perdana Menteri dan kerajaan? Atau sebenarnya mereka hanya sayangkan jawatan tetapi beralasan kononnya demi rakyat dan parti? Ketaatan ataupun kuasa? Tepuk dada tanyalah selera.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts