PAS WAJAR NASIHAT KERAJAAN AGAR WALA’, TAAT TITAH YDP AGONG ADAKAN SIDANG PARLIMEN KETIKA DARURAT

365
SHARES
2.1k
VIEWS

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telahpun bertitah memperkenan Sidang Parlimen tetap diteruskan ketika darurat pada 24 Februari lepas. Rujuk pautan;

https://editormalaysia.com/21818/

Kini setelah lebih sebulan pihak Istana Negara mengeluarkan kenyataan tersebut, kerajaan Perikatan Nasional masih berdolak-dalik tidak ingin Sidang Parlimen diteruskan kembali dengan memberi alasan sains dan data termasuk faktor usia bagi menunjukkan bahawa ia masih tidak selamat diadakan.

Rujuk pautan;

https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1937228

Apa yang menjengkelkan, dalam masa yang sama industri hiburan seperti pawagam telah dibenarkan malah stadium dengan kapasiti maksimum sehingga 8,000 orang juga telah diberi kelulusan untuk beroperasi. Bukankah jumlah ini berpuluh kali ganda lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan jumlah keseluruhan 222 Ahli Parlimen?

Apakah rasional Sidang Parlimen tidak boleh diadakan lagi ketika ini dan persoalan lebih penting adakah menangguhkan sidang tersebut sehingga tamat darurat bertentangan dengan titah baginda?

Rujuk pautan;
https://editormalaysia.com/21885/

Bukankah kiraan matematik mudah tanpa memerlukan penghuraian sains dan data membuktikan jumlah 222 tentu lebih selamat bersidang berbanding jumlah 8,000 yang bersuka ria dan bersorak-sorakan memberi sokongan di stadium? Malah lebih menakutkan jika hendak dibandingkan penggunaan tandas dan surau di stadium dengan Sidang Parlimen yang tentunya lebih teratur dan mudah dikendalikan. 

Justeru apa yang menghalang Sidang Parlimen untuk diadakan dalam keadaan sains dan data harian kes positif Covid-19 menunjukkan penurunan, apatah lagi ia telah diberi perkenan oleh YDP Agong sendiri lebih sebulan yang lepas? 

Parti PAS dalam Perikatan Nasional sepatutnya menjadi orang tengah bagi menasihatkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar wala’ dan taat dengan titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong kerana baginda merupakan Amir atau Ketua Tertinggi Negara.

Dalam Islam, bab wala’ atau taat ini bukan hanya terpakai kepada  ahli-ahli parti terhadap ketua parti ataupun taat kepada Perdana Menteri yang didukung partinya sahaja tetapi apa yang lebih penting adalah taat kepada YDP Agong dan Raja-Raja Melayu yang telah menurunkan kuasa mereka kepada kerajaan sebagai amanah untuk memerintah.

Parti PAS tentu lebih faham mengenai ketaatan atau wala’ kepada titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam isu Sidang Parlimen ini, atau adakah ia juga akan ‘dihalalkan’ sepertimana isu Ahli-ahli Parlimen melompat parti telah dihalalkan? Selaku parti yang memperjuangkan Islam, PAS tidak boleh membuka ruang untuk ‘membenarkan’ tohmahan dan sindiran penyokong-penyokong Pakatan Harapan iaitu “walhalalku walharammu” – iaitu kata-kata sinikal yang kerap digunakan untuk menyindir parti PAS yang dilihat membenarkan perkara jika melibatkan parti mereka tetapi bertindak sebaliknya jika melibatkan pihak yang lain.

Taat ini sifatnya wajib diikuti selagi mana pemimpin itu tidak mengajak rakyat atau kaumnya kepada perkara maksiat, hatta Amir tersebut adalah seorang hamba ataupun yang cacat (hina).

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 59; “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.

Wajib atas setiap Muslim untuk dengar dan taat dalam perkara yang dia suka dan benci selama tidak disuruh melakukan maksiat. Dan apabila dia (pemimpin) menyuruh melakukan maksiat maka tidak boleh dia dengar dan tidak boleh dia taat“. – Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim. 

Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah SAW) memberi wasiat kepadaku supaya patuh dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba yang cacat (hina)”. – Hadis Riwayat Muslim

Justeru selaku mukmin atau orang-orang yang beriman dengan Allah SWT dan Rasul-NYA junjungan besar Nabi Muhammad SAW, umat Islam wajib mentaati Amir atau ketua dan jangan takut menyatakan perkara yang benar sebagai benar dan menyatakan salah terhadap perkara yang salah. Selagi umat Islam tidak menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal serta bersifat taat kepada amir atau ketua dan menepati janji maka selagi itupun umat Islam ini tidak akan hancur[1] – akan terus kuat dan tidak berpecah-belah.

Wallahualam.

Rujukan: Kitab Hayatus Sahabah Jilid 3, karangan Maulana Muhammad Yusuf al Kandahlawi dalam bab “Ucapan musuh tentang kemenangan Sahabat – Ucapan Raja China tentang Sahabat R. Anhum”. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts