KERAJAAN REALISASI 11 AGENDA MAHASISWA – MPPK

441
SHARES
2.6k
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2021 telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah diadakan secara maya pada hari semalam, 17 Mac 2021.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ini turut dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr. Mansor Othman.

Turut hadir dalam mesyuarat ini adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Sumber Manusia, YB Datuk Seri M. Saravanan, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Pengarah, pengurusan tertinggi kementerian, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan serta seluruh ahli MPPK.

Pada Mesyuarat Perdana MPPK kali ini, Kementerian Pengajian Tinggi telah membentangkan hasil dan tindakan 11 agenda yang telah dibentangkan oleh MPPK kepada YAB Perdana Menteri di mana kesemua agenda itu telah direalisasikan dan telah diangkat menjadi agenda nasional di peringkat kementerian sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

11 agenda tersebut ialah Rumah Sewa Siswa, Kad Prihatin Siswa, Memperkasa Biasiswa MyBrain, Yayasan Kebajikan Mahasiswa, Penubuhan Jawatankuasa Khas PTPTN Bersama Mahasiswa, Modul Kepimpinan Mahasiswa Nasional (LAKSAMANA), Pemerkasaan Pilihan Raya Kampus, Menaiktaraf Kualiti Capaian Internet, Mengembalikan Parlimen Mahasiswa Malaysia, Skim Latihan Graduan Nasional dan Memartabat Mahasiswa Malaysia.

MPPK juga ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dibawah pimpinan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kerana telah berusaha untuk menjayakan 11 agenda yang telah diperjuangkan oleh MPPK selama ini sehingga telah diangkat menjadi agenda nasional.

Alhamdulillah, hampir semua agenda ini telah diselesaikan dan direalisasikan. Ia pastinya akan membolehkan martabat mahasiswa diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dan sekaligus akan memperkasakan mahasiswa.

MPPK amat menghargai usaha dan kerjasama yang telah diberikan oleh kerajaan kepada MPPK selama ini. Ia menunjukkan bahawa kerajaan hari ini sememangnya mengambil berat tentang keperluan dan kebajikan mahasiswa.

Dalam mesyuarat ini juga, tiga kertas pertimbangan telah dibentangkan kepada YAB Perdana Menteri selaku pengerusi mesyuarat. Tiga kertas pertimbangan tersebut ialah:

1. Skim Rumah Sewa Rakyat (RASIONAL)

2. Pemerkasaan Sektor Pertanian Dalam Negara: Future Proofing Industri Pertanian Malaysia.

3. Integrasi Teknologi Bagi Penambahbaikan Pengurusan Kesihatan Rakyat Malaysia (S.I.H.A.T).

Kertas-kertas pertimbangan ini telah dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat ini. YAB Perdana Menteri, Menteri-menteri kabinet serta agensi kerajaan yang bersesuaian turut memberikan pandangan bagi memastikan kertas pertimbangan ini boleh diperhalusi dan seterusnya dijadikan dasar kerajaan.

Selain itu, beberapa isu turut dibangkitkan dalam mesyuarat ini. Antara isu yang dibangkitkan ialah mengenai pendigitalan pendidikan, pendidikan TVET, kos sara hidup dan vaksin COVID-19 untuk mahasiswa. Alhamdulillah, isu-isu telah mendapat maklum balas yang baik dan reaksi yang positif daripada pihak kerajaan.

Harapan kami adalah kerjasama yang utuh antara mahasiswa dengan pihak kerajaan ketika ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Ini kerana pendekatan rasional dan secara diplomasi adalah yang terbaik untuk kemaslahatan semua pihak dan juga demi keutamaan kebajikan dan pembangunan mahasiswa yang menjadi teras dalam perjuangan MPPK.

Sekian, terima kasih. 

Memartabat Mahasiswa Malaysia”

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts