KERAJAAN PERLU BERTEGAS DAN JANGAN BERDOLAK-DALIK DALAM ISU KALIMAH ALLAH

377
SHARES
2.2k
VIEWS

Isu kalimah Allah ini tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan dan pihak kerajaan digesa segera memohon untuk membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan serta memohon perintah “stay of execution” atau permohonan bagi penangguhan pelaksanaan yang telah Mahkamah Tinggi putuskan sebelum ini. 

Cadangan berikut diutarakan oleh Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor iaitu saudara Isham Jalil dalam sebuah wawancara bersama Dialektika TV yang diadakan secara langsung dan dalam talian bersama seorang lagi panelis iaitu Dr. Noor Nirwandy, pengalisa keselamatan dan politik. Isham turut berpandangan bahawa kerajaan tidak boleh berdolak-dalik atau bertangguh dalam isu ini kerana ia melibatkan kepentingan awam serta boleh memberikan implikasi yang besar terhadap keharmonian kaum di negara ini.

Menurut beliau, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku sekiranya Menteri Bersatu atau kerajaan Perikatan Nasional mahu menjaga hati atau tidak mahu menyinggung Ahli Parlimen serta pengundi-pengundinya yang beragama Kristian kerana isu ini mengatasi sebarang kepentingan atau percaturan politik. Isham turut menyarankan agar kerajaan mengutamakan dasar awam bagi mengelakkan ketidaktenteraman dalam negara.

Apabila bible diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan kebenaran menggunakan kalimah Allah untuk menggambarkan Tuhan Triniti mereka maka perkara ini hanya akan menimbulkan kegusaran, mewujudkan sensitiviti dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.”

Ramai rakan-rakan saya yang beragama Kristian tidak kisahpun sekiranya kalimah Allah tidak dimasukkan ke dalam bible malah Pope di Vatican sendiripun tidak minta perkara tersebut untuk dilakukan.” 

Isham berkata, isu kalimah Allah jika dibenar digunakan dalam bible, ia akan mengundang masalah yang lebih besar malah menurutnya isu ini lebih sensitif berbanding isu kerajaan ingin meratifikasi ICERD dahulu yang berjaya menghimpunkan sehingga sekitar dua ke tiga juta rakyat Melayu Islam bersama-sama menyertai perhimpunan dan berarak di ibu kota bagi membantah ia diratifikasikan. 

Sekiranya isu kalimah Allah ini dibiarkan berterusan nescaya ia akan membuatkan sensitiviti agama semakin memuncak yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini. Isham memberikan contoh di negara Indonesia di mana isu kalimah Allah di dalam bible ini digunakan untuk memurtadkan umat Islam di sana.

Tambah beliau, jumlah mereka yang murtad di Indonesia setiap tahun adalah sekitar lima ratus ribu hingga dua juta, di mana anggaran tertinggi tersebut diberikan oleh anggota Majlis Ulama Indonesia. Perkara ini jika dibiarkan berterusan maka dalam tempoh 15 ke 60 tahun negara tersebut dijangka tidak lagi boleh digelar sebagai negara Islam. Jumlah umat Islam Indonesia kini telah menurun daripada 95 ke 85 peratus hanya dalam masa 20 hingga 30 tahun kebelakangan manakala jumlah penganut Kristian pula meningkat kepada 10 hingga 15 peratus.

Menurut Isham lagi, wujud dua implikasi besar ke atas ketenteraman awam di Indonesia berikutan isu ini yang berlaku dahulu iaitu;

1. Rusuhan yang berlaku akibat daripada perasaan tidak berpuas hati apabila ramai umat Islam yang murtad. Berlakunya pembunuhan dan rumah-rumah ibadat termasuk masjid dan gereja turut dibakar akibat daripada pergaduhan dan pertentangan agama. 

2. Wujudnya sel-sel pelampau agama termasuklah Jemaah Islamiah atau JI sebelum ini dan antara yang dilakukan oleh mereka adalah pembunuhan ke atas mereka yang telah murtad.

Menurut Isham lagi, negara yang kini sedang berdepan dengan dua krisis utama ketika ini iaitu ancaman pandemik Covid-19 serta masalah ketidaktentuan ekonomi tidak boleh dibenarkan berdepan dengan satu lagi krisis yang melibatkan agama dan sekaligus menggugat keharmonian di negara ini. Jika ini berlaku ia hanya membuktikan bahawa kerajaan ketika ini tidak boleh diharapkan dan negara akan hancur jika isu kalimah Allah ini dibiarkan sehingga tamat darurat pada Ogos depan.

Justeru kerajaan wajar melihat isu ini secara menyeluruh dan mengesampingkan kepentingan dan percaturan politik masing-masing. Kementerian Dalam Negeri wajar membuat permohonan segera bagi menyemak semula kes tersebut di Mahkamah Rayuan serta memohon “stay of execution” – agar tiada mana-mana pihak sewenang-wenangnya menterjemah dan mencetak serta membuat provokasi yang kelak hanya akan mengundang bencana.

Ikuti wawancara penuh tersebut yang turut membicarakan mengenai isu – isu politik terkini negara di pautan;

https://www.facebook.com/dialektikatv/videos/266580238287100/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts