PENJELASAN NAJIB MENGENAI “PENYELESAIAN 10 PERKARA” DALAM ISU KALIMAH ALLAH

1.4k
SHARES
8k
VIEWS

Ini sudah tahun 2021. Masih salah Najib lagi?

Saya terbaca propaganda daripada ‘sebelah sana’ yang cuba salahkan saya apabila Mahkamah Tinggi memutuskan 2 hari dahulu bahawa orang bukan Islam berhak guna kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Kononnya “Penyelesaian 10 Perkara” yang dikeluarkan kabinet pada tahun 2011 masa saya PM adalah punca Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut.

Ini benda sudah 10 tahun dahulu. Masih salah saya lagi walaupun saya sudah 3 tahun tidak berada dalam kerajaan dan bukan PM lagi?

Perlu ingat bahawa Penyelesaian 10 Perkara itu dikeluarkan secara umum dan bukan disorok-sorok pada tahun 2011.

Selama 10 tahun, tiada sesiapa yang pernah kata ia bukan penyelesaian yang paling adil bagi semua.

Malah pada tahun 2013, Mahkamah Rayuan juga menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Rujuk berita “14 Okt 2013: Mahkamah Rayuan: The Herald tak boleh guna kalimah Allah“, di pautan;

https://www.malaysiakini.com/news/243809

Keputusan ini turut dikekalkan di peringkat Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

Rujuk berita “23 Jun 2014: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan isu ‘Allah” di pautan;

https://www.malaysiakini.com/news/266505

(Tahun 2013 dan 2014 itu, saya juga PM ya)

Bagi kita, Penyelesaian 10 Perkara pada tahun 2011 itu adalah cara terbaik dan paling adil untuk menyelesaikan kontroversi berhubung Alkitab yang bertahun lamanya terutamanya di Sabah dan Sarawak dengan menghormati Perlembagaan Malaysia dan juga perjanjian Malaysia 1963 dengan Sabah dan Sarawak.

Perlu ingat bahawa perkara pertama dalam “Perjanjian 18 Perkara Dengan Sarawak” dan “Perjanjian 20 Perkara Dengan Sabah” semasa membentuk Malaysia ialah:

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.”

Ini adalah Penyelesaian 10 Perkara tahun 2011:

1. Alkitab dalam semua bahasa boleh diimport ke negara ini, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia.

2. Alkitab-alkitab ini boleh dicetak secara tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ini adalah perkembangan baru yang wajar diterima oleh kumpulan-kumpulan Kristian.

3. Alkitab dalam bahasa suku kaum tempatan di Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang juga boleh dicetak secara tempatan dan dimport.

4. Untuk Sabah dan Sarawak, memandangkan masyarakat Kristian yang besar di negeri-negeri itu, tiada syarat dikenakan atas pengimportan dan percetakan tempatan untuk Alkitab dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia dan bahasa-bahasa suku kaum tempatan. Tidak ada syarat dikenakan untuk meletakkan sebarang cop atau nombor bersiri.

5. Dengan mengambil kira kepentingan masyarakat Islam yang berbilangan lebih besar, di Semenanjung Malaysia, Alkitab dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, sama ada diimport atau dicetak, perlu ada perkataan-perkataan “Penerbitan Kristian” dan lambang salib dicetak pada kulit muka depannya.

6. Dalam semangat 1Malaysia dan memandangkan ramai orang yang merantau di antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tidak akan dikenakan larangan atau sekatan untuk orang-orang yang membawa Alkitab mereka serta bahan-bahan Kristian dalam perjalanan seperti itu.

7. Arahan mengenai Alkitab telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan perlaksanaan yang betul daripada keputusan kabinet ini. Kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut akan menyebabkan pegawai-pegawai terbabit dikenakan tindakan disiplin di bawah Perintah Am. Taklimat yang menyeluruh daripada pegawai-pegawai tertinggi, termasuk Peguam Negara, akan diberikan kepada semua kakitangan kerajaan yang berkenaan untuk memastikan pemahaman yang jelas dan perlaksanaan yang betul daripada arahan itu.

8. Untuk Alkitab-alkitab yang telah ditahan di Kuching, pengimportnya, Gideon boleh mengambil kesemua 30,000 Alkitab itu tanpa dikenakan bayaran. Kami akan bertanggungjawab memastikan semua pihak yang terbabit diberi ganti rugi. Tawaran yang sama juga diberikan kepada pengimport 5,100 Alkitab di Pelabuhan Kelang, yang mana telahpun diambil oleh Bible Society of Malaysia (BSM) minggu lepas.

9. Berbicara mencakupi lebih daripada isu Alkitab, Kerajaan ingin mengulangi komitmennya untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan Kristian dan semua kumpulan agama yang berbeza untuk menangani isu-isu antara agama dan berusaha ke arah pencapaian semua aspirasi keagamaan bersesuaian dengan Perlembagaan, dengan mengambil kira undang-undang yang berkaitan di negara ini. Untuk memastikan usaha ini diberi perhatian segera, Perdana Menteri akan bertemu dengan wakil-wakil Christian Federation of Malaysia (CFM) tidak lama lagi untuk membincangkan langkah-langkah masa depan.

10. Menteri-menteri Kristian dalam Kabinet akan bertemu secara berkala dengan wakil-wakil pelbagai kumpulan Kristian untuk membincangkan isu-isu yang mereka hadapi dan bekerjasama dengan kementerian-kementerian yang berkaitan dan Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu-isu berkenaan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts