KENYATAAN MEDIA PUTRA BERKAITAN PENGHAKIMAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DALAM ISU JENAYAH LIWAT

401
SHARES
2.4k
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

1. PUTRA merujuk keputusan sebulat suara (9-0) yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berkaitan jenayah seks luar tabie sebagai tidak sah dan terbatal kerana DUN Selangor tiada bidang kuasa untuk menggubal sesuatu undang-undang yang jatuh di bawah senarai Persekutuan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

2. PUTRA menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan ini namun berduka dengan kesan yang boleh berlaku terhadap masa depan kehakiman syariah di Malaysia.

3. PUTRA telah meneliti alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan memahami bahawa kuasa perundangan antara Persekutuan dan Negeri dibatasi dengan sempadan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama seperti yang terkandung di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

4. Disebabkan itu, PUTRA memahami bahawa Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa disebabkan jenayah liwat telah terkandung sebagai kesalahan jenayah Persekutuan di bawah seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan, maka DUN Selangor tidak boleh membuat Undang-undang serupa di dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana fasal pengecualian di dalam senarai negeri jelas membataskan had negeri untuk membuat undang-undang yang terkandung di dalam senarai Persekutuan.

5. Walaubagaimanapun, mahkamah mengakui bahawa DUN Selangor berhak untuk membuat undang-undang yang berkaitan kesalahan terhadap rukun-rukun Islam (precept of Islam) dan mahkamah bersetuju bahawa kesalahan liwat ini adalah bertentangan dengan rukun-rukun Islam berkenaan.

6. Walaupun begitu, mahkamah menyatakan bahawa hak DUN Selangor berkenaan tidak boleh mengatasi fasal pengecualian (exclusion clause) bahawa negeri tidak boleh membuat undang-undang seperti senarai Persekutuan.

7. PUTRA berpandangan pendekatan yang diambil oleh Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan ini boleh dikaji semula oleh Mahkamah Persekutuan pada masa akan datang jika ada kes yang sama dirujukkan ke mahkamah tersebut kerana Terdapatnya ruang apabila Mahkamah Persekutuan hari ini bersetuju bahawa jenayah seks luar tabii ini adalah bertentangan dengan rukun-rukun Islam berdasarkan 2 kertas kerja pakar yang dirujuk oleh Mahkamah Persekutuan, yang ditulis oleh Prof. Kamal Hassan dan Prof. Mahmood Zuhdi Abd Majid.

8. Jika keputusan Mahkamah Persekutuan ini tidak diubah semula oleh Mahkamah Persekutuan pada masa yang akan datang, ini merupakan sesuatu yang menyedihkan buat umat Islam dalam memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan Selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

9. Mahkamah Persekutuan hari ini terlalu prihatin dengan ketidakadilan yang dikatakan bakal berlaku jika Seksyen 28 ini dibenar untuk dikuatkuasakan ke atas pempetisyen yang jika sabit kesalahan hanya akan dikenakan hukuman penjara maksima 5 tahun, berbanding 3 individu bukan Islam lain yang turut melakukan jenayah liwat berkenaan dengan pempetisyen, yang jika didakwa di mahkamah sivil dan sabit kesalahan akan dihukum penjara maksimum 20 tahun. 

10. PUTRA berpendapat disebabkan “kebimbangan isu prejudis dan kesamarataan” oleh Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan hari ini terhadap 3 orang yang bukan Islam berkenaan, maka fokus kehakiman hari ini mungkin bertujuan mengelakkan salah anggap masyarakat bukan Islam terhadap kehakiman syariah yang nungkin persepsi berkenaan tidak semestinya tepat.

11. Oleh itu, demi untuk memartabatkan kehakiman syariah di Malaysia, agar tidak lagi sewenang-wenangnya berlaku tafsiran mahkamah sivil yang tidak memihak kepada kehakiman syariah maka PUTRA berharap agar Mahkamah Persekutuan dapat mengkaji semula keputusan ini pada masa yang akan datang.

Sekian dan terima kasih.

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA 

27 Februari 2021

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts