MAHKAMAH SYARIAH WUJUD LEBIH AWAL DARIPADA MAHKAMAH KEHAKIMAN PERSEKUTUAN

401
SHARES
2.4k
VIEWS

Oleh Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Walaupun Per. 4(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-Undang tertinggi negara, ada beberapa kedudukan undang-undang yang tidak boleh diabaikan, iaitu;

1. Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah persetujuan Raja-Raja Negeri Melayu dengan British yang mewakili Negeri Selat seperti termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957;

2. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 diabsahkan atas kuasa Kedaulatan (kerana ditandatangani oleh) Raja-Raja Melayu, juga hanya dikuatkuasakan setelah mendapat persetujuan Badan Perundangan di setiap Negeri Melayu (State Legislatures) melalui Enakmen Negeri.

Kedudukan di atas menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan juga adalah produk atau ‘creature’ of the State Legislatures sebagaimana enakmen yang melestarikan kedudukan Mahkamah Syariah di dalam kerangka undang-undang.

Berdasarkan sejarah perundangan watan Tanah Melayu, Mahkamah Syariah sudah wujud sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, maka penubuhannya lebih awal daripada Mahkamah Kehakiman Persekutuan di bawah Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Tarikh Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948 penting kerana melalui kuatkuasa Perjanjian ini maka kuasa dan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan diwujudkan.

Pada hakikatnya, melalui Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan maka kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Yang Maha Tinggi (Mahkamah Rayuan), Mahkamah Balai dan lain-lain mahkamah sedia ada di bawah kuasa Negeri (selain bidang kuasa dalam aspek undang-undang peribadi seperti termaktub di bawah Butiran 1 Senarai II) sebelum tahun 1948 diserahkan kepada bidang kuasa Persekutuan.

Ringkasnya, kuasa yang ada pada Persekutuan termasuklah Mahkamah Kehakiman Persekutuan hendaklah terlebih dahulu diberikan (conferred) di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Jadual 9.

Berbeza dengan kuasa State Legislatures yang berpaksi pada Kedaulatan Raja merupakan punca kuasa kepada Perlembagaan Persekutuan. Kuasa Negeri bersifat inherent powers and jurisdiction sudah ada jauh lebih awal daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948.

Selagi tidak dibataskan oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Senarai I (Senarai Persekutuan) Jadual 9, maka State Legislatures boleh menggubal suatu perkara di bawah Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, iaitu baki kuasa perundangan. Sesungguhnya Senarai II dan III Jadual 9 ialah kuasa dan bidang kuasa yang dikekalkan di bawah kuasa negeri, bukanlah baru diwujudkan. Berbeza dengan kuasa Persekutuan yang diwujudkan melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, selanjutnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1957 sebagai Perjanjian Merdeka daripada campur tangan British.

Justeru, adalah satu kekhilafan daripada segi fakta dan undang-undang apabila Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi (2018) membuat pemerhatian seperti berikut:

1. “Syariah Court are as yet non-existent, until such time when the State Legislature makes law to establish them, pursuant to the powers given it under item 1 of the List II (State List) in the Ninth Schedule of the Constitution“.

2. “…the establishment and constitution of the civil and Syariah Courts that the two courts operate on a different footing altogether. Thus the perception that both courts should exercise a mutually reciprocal policy of non-interference may be somewhat misconceived and premised on an erroneous understanding of the constitutional framework in Malaysia“.

3. “…Judicial power cannot be removed from the civil courts“.

4. “…judicial power is vested exclusively in the civil High Courts“.

5. “The jurisdiction of Syariah Courts must be provided for by the State Legislatures within the limits of item 1“.

Jelasnya, Mahkamah Syariah mempunyai kedudukan tidak lebih rendah daripada Mahkamah Kehakiman Persekutuan kerana masing-masing berfungsi mengikut bidang kuasa yang ditetapkan oleh undang-undang.

Kedua-kedua mahkamah ini mempunyai tanggungjawab untuk berpandukan prinsip perundangan Islam dalam penghakiman kerana itu adalah prinsip kedaulatan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts