PELBAGAI SEKTOR KEMBALI BEROPERASI, PARLIMEN TENTU BOLEH DIBUKA TIDAK LAMA LAGI

354
SHARES
2.1k
VIEWS

Di sebalik pertambahan kes Covid-19 yang berlaku sehingga pernah mencecah lebih 5,000 kes positif sehari yang dilihat oleh rakyat sebagai semakin membimbangkan, namun di pihak kerajaan ia masih dapat dikawal sepenuhnya dan rakyat dinasihat tidak perlu berasa bimbang ataupun gusar.

Oleh kerana itulah pelbagai sektor perniagaan peruncitan mula dibuka kembali berkuatkuasa 10 Februari termasuk dibenarkan makan di gerai atau restoran dengan syarat tidak melebihi 2 orang semeja dan berjarak 1 meter antara satu sama lain.

Sebelum ini sektor perkilangan dan pembinaan yang banyak mencetuskan kluster juga tidak ditutup sepenuhnya malah tetap diteruskan – yang menunjukkan kerajaan optimistik situasi masih tidak teruk dan dapat dikawal dengan baik.

Jika dapatan dan data kerajaan menunjukkan “trend memulih” sekaligus mengambil keputusan membuka kembali semua sektor perniagaan peruncitan, maka kerajaan juga disarankan menarik kembali darurat dan penggantungan Parlimen serta Ahli-ahli Dewan Rakyat dibenarkan kembali bersidang asalkan masing-masing menjaga SOP antara satu sama lain.

Tindakan meneruskan kembali Sidang Parlimen ini juga dilihat wajar dan tidak akan menjadi masalah besar kepada kerajaan kerana para Menteri yang keluar negarapun kini sudah diberi kelonggaran kuarantin daripada sepuluh kepada tiga hari. Ini jelas membuktikan pandemik ini dapat dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan membuktikan Menteri Kabinet sentiasa bersedia dan komited untuk menghadiri Sidang Parlimen. 

Sehubungan itu, dengan memberi laluan kepada Parlimen untuk kembali bersidang dilihat mampu membantu kerajaan menyelesaikan banyak isu-isu rakyat yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini antaranya isu kehilangan kerja dan pengangguran, isu moratorium automatik dan pengeluaran Akaun 1 KWSP tanpa syarat.

Justeru semoga kerajaan dapat membuat keputusan segera membuka kembali Parlimen seiring dengan situasi Covid-19 negara yang semakin terkawal dan memulih ketika ini. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts