PROKLAMASI DARURAT: PELUANG MELAKUKAN PERUBAHAN

373
SHARES
2.2k
VIEWS

Pandangan lama dengan beranggapan apabila proklamasi darurat diisytiharkan, negara akan dikuasai tentera, rakyat hanya duduk di dalam rumah kerana perintah berkurung dilaksanakan dan semua kegiatan ekonomi, sosial serta perundangan disekat sudah tidak releven lagi dan terlerai dengan sendirinya apabila hal sedemikian tidak terjadi di Malaysia.

Kini sudah jelas bahawa ‘darurat’ bukanlah pemerintahan tentera tetapi ‘memahatkan’ segala kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong. Melihat darurat secara positif akan menghasilkan natijah yang baik untuk negara. Kalau dahulu, banyak perkara yang tidak dapat kita lakukan kerana birokrasi dan keperluan undang-undang tetapi kini dalam masa darurat berkuat kuasa, ia lebih mudah untuk dilakukan.

Contohnya, jika dahulu usaha untuk memisahkan kuasa Peguam Negara daripada Pendakwa Raya memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, kini ia boleh dilakukan dengan ordinan yang diisytiharkan Yang Di-Pertuan Agong. Ia tidak memerlukan persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat untuk memutuskannya. Memisahkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya sangat penting khususnya bagi menzahirkan kebebasan pendakwa raya dan mengelak salah guna kuasa.

Ketika kedua-dua pihak tidak mempunyai majoriti kukuh, apatah lagi dua pertiga, sangat sukar untuk kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan. Cubaan pernah dibuat pada 2019 untuk meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan tetapi nyata kerajaan ketika itu gagal mendapat majoriti dua pertiga. Natijahnya, Rang Undang-Undang meminda Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan tersebut tidak berjaya.

Dan ini termasuk dalam meminda Rang Undang-Undang Pindaan Akta 355 (Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah), dengan mengadakan ordinan oleh Yang Di-Pertuan Agong. Peluang ini harus diambil sepenuhnya selagi dalam keadaan birokrasi dan keperluan undang-undang digantung sementara untuk meluruskan semua urusan negara supaya selepas darurat kelak, segala kesulitan itu dapat dipulihkan.

Dan selepas darurat nanti, terpulanglah kepada Parlimen untuk mengesah dan mengguna pakai mana-mana ordinan yang diisytiharkan Yang Di-Pertuan Agong sebagai undang-undang yang sah. Perkara 150 (2C) Perlembagaan Persekutuan menyatakan sesuatu ordinan yang dimasyhurkan Yang Di-Pertuan Agong hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau dirungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7).

Rakyat sudah jelak dengan mainan politik ramai politikus. Rakyat melihat ahli politik hanya mahu mempertahan atau merebut kuasa, tidak meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan. Dengan jalan pintas untuk merasai denyut nadi rakyat melalui darurat, seharusnya peluang itu direbut demi kesejahteraan negara.

Dalam masa yang sama, darurat tidaklah bermakna kebebasan asasi rakyat dikesampingkan atau pemerintahan yang menzalimi rakyat dilakukan. Ia mungkin hanya mekanisme mengekang krisis-krisis yang terjadi di Malaysia. Pengisytiharan darurat tidak boleh dicabar walaupun di mahkamah.

Selain itu, tidak dilupakan juga aktiviti keagamaan perlu diberikan kelonggaran supaya kita mendapat berkat dan berdoa menjauhkan segala mara bahaya kepada negara. Ambillah peluang untuk kesejahteraan negara bagi membuat ordinan yang perlu ketika ini.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Timbalan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts