PMO WAJAR PERTAHAN MUHYIDDIN, SEGERA NAFI MENANTU TERLIBAT PROJEK RM1.2 BILION

3.1k
SHARES
18.1k
VIEWS

(Disiarkan pada 31 Januari 2021)

Pejabat Perdana Menteri (PMO) sewajarnya memainkan peranan lebih pro aktif mengenai isu tuduhan kepada menantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akhir-akhir ini kerap dibangkitkan.

Kredibiliti Perdana Menteri perlu dipertahan apatah lagi jika hubungi kait antara menantunya Datuk Muhamad Adlan Berhan bukanlah secara terus dengan syarikat yang menerima projek National Immigration Integrated System (NIIS) bernilai RM1.2 bilion tersebut iaitu Iris Corp Berhad.

Isu ini bermula apabila portal The Vibes melalui artikel berbahasa Inggeris mereka yang bertajuk “Muhyiddin son-in-law’s shadow looms over RM1.2b immigration project” menghangatkan kembali isu tersebut pada 24 Disember 2020 dan kemudiannya mula ditularkan ke seluruh negara.

Rujuk pautan;

https://www.thevibes.com/articles/news/11037/muhyiddins-son-in-laws-shadow-looms-over-rm1.2-bil-immigration-project

Malah sebelum itu, portal Focus Malaysia telah membangkitkan isu ini pada 10 Jun 2020, mengenai siapakah individu di belakang projek bernilai lebih 1 bilion ringgit ini. Portal ini mempertikai siapakah di belakang projek yang ketika itu dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion, yang turut dikaitkan dengan seorang lagi individu lain, iaitu anak kepada bekas Ahli Parlimen yang menyertai parti Bersatu pada 15 Julai 2018.

Rujuk pautan; https://focusmalaysia.my/mainstream/who-owns-this-company-vying-for-rm1-5-bil-immigration-system-tender/?utm_medium=Social&utm_source=Facebook#Echobox=1591788574

Apa yang mendukacitakan, pihak Pejabat Perdana Menteri langsung tidak menyanggah berita tersebut dengan fakta jelas dan pencerahan, malah sehingga kini sudah lebih tujuh bulan berlalu sejak ia disiarkan oleh portal Focus Malaysia, PMO masih tidak mempertahankan kredibiliti dan nama baik Perdana Menteri mereka sendiri.

Sewajarnya isu ini diberikan penjelasan dan penafian segera malah jika perlu demi keikhlasan dan ketelusan, PMO perlu membuat sidang media untuk menghilangkan keraguan dalam kalangan masyarakat mengenai menantu Perdana Menteri.

Jika perlu, menantu Muhyiddin sendiri wajar menyaman pihak yang menuduh beliau terlibat dengan projek ini kerana jika Muhamad Adlan dan PMO hanya berdiam diri tanpa penafian dan penjelasan, ia akan menimbulkan persepsi bahawa beliau sememangnya terlibat seperti yang diperkatakan.

Berdiam diri dan mengharapkan isu ini dilupakan bukanlah cara yang terbaik melainkan PMO sendiri tidak mengetahui cara mengendalikan isu dan persepsi dengan berkesan, sama seperti isu pembinaan tiga dewan di Pagoh yang tetap menimbulkan kekeliruan selepas Pejabat Perdana Menteri memberi penjelasan. 

Justeru PMO digesa membuat kenyataan rasmi bagi menafikan berita tersebut dan membersihkan nama Perdana Menteri dan keluarganya dengan segera, jika tidak lebih baik Muhyiddin mencari pasukan lain bagi membantu memulihkan dan sekaligus menaikkan imej beliau selepas ini. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts