TANGGUNGJAWAB KETUHANAN DAN KENEGARAAN UNTUK MEMILIH AHLI PARLIMEN YANG BERINTEGRITI DAN AMANAH

387
SHARES
2.3k
VIEWS

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan Allah SWT, tahukah kita bahawasanya kita mempunyai tanggungjawab kenegaraan, malahan tanggungjawab ketuhanan yang besar untuk memastikan calon pilihan raya yang kita hendak pangkah dalam Pilihan Raya Umum perlu dipilih dari kalangan mereka yang bijaksana, beramanah, berintegriti, berilmu, berwibawa dan berpandangan jauh?

Mengapa?

Kerana daripada golongan calon ahli-ahli politik yang menang dalam pilihan raya nanti akan menjadi Ahli Parlimen yang mempunyai tanggungjawab besar dalam mencorak dasar dan hala tuju negara, selain memberikan kesan yang hebat dalam sisi-sisi kehidupan seharian rakyat segenap lapisan melalui penggubalan dan pindaan serta penguatkuasaan undang-undang yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Daripada makcik dan pakcik yang menjual ikan di pasar, nelayan di lautan, petani, buruh kasar, orang tua, muda, wanita, kanak-kanak, asnaf, agamawan; setiap warganegara akan merasa baik-buruk kesan daripada siapa yang dipilih untuk duduk di dalam Parlimen (legislatif), yang mana sebahagiannya pula akan menjadi golongan pentadbir (eksekutif) negara yang menjadi penasihat Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Perlu diperhatikan juga calon tersebut wajib faham Prinsip Perlembagaan Negara berteraskan kerangka watan, supaya beliau TIDAK MEMPERSOALKAN HAK WARISAN WATAN tanahair ini, contohnya kedudukan Islam sebagai agama negara, Raja-raja Melayu sebagai punca kedaulatan negara dan Ketua Utama negara Malaysia dan negeri-negeri, kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Manakala mereka yang bukan Islam dan bukan Melayu juga mempunyai hak yang sah di sisi Perlembagaan, namun hak kebebasan tersebut jangan sampai mempersoalkan hak watan umat Islam, bangsa Melayu dan peribumi.

Ringkasnya calon pilihan raya perlu memahami STRUKTUR DAN PRINSIP ASAS KENEGARAAN MALAYSIA yang sebenar, dirumus daripada pengkajian perkembangan perundangan atau jurisprudens watan, penduduk dan peradaban asal Tanah Melayu lama sebelum kedatangan pendatang luar pada akhir abad ke-20, yang kemudian diterima oleh Raja-raja Melayu menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu dengan BERSYARAT, iaitu menghormati warisan watan negara ini yang dipasak kukuh dalam Perlembagaan.

Manakala dari kalangan calon pilihan raya yang beragama Islam, perlu diperhatikan faham dan amalan agamanya, dan sebolehnya dipilih dari kalangan mereka yang BERTAKWA.

Mengapa?

Rujuk petikan berikut:

Secara berperlembagaan, Parlimen boleh mengadakan akta keterangan baharu bagi hukuman hudud yang melibatkan rompak dan curi juga mengadakan peruntukan ‘diyat’ dan ‘irsy’ bagi kesalahan qisas. Dalam pada itu, Parlimen boleh meningkatkan takat hukuman mahkamah syariah untuk menghukum kesalahan jenayah minum arak, zina dan qazaf bagi membolehkan hukuman hudud dikuatkuasakan dalam kerangka undang-undang pada hari ini. HAL INI DISEBABKAN KUASA UNTUK MENENTUKAN TAKAT HUKUMAN KESALAHAN JENAYAH DI MAHKAMAH SYARIAH ADALAH TERLETAK DI BAWAH PARLIMEN.” (Wan Ahmad Fauzi, 202, hlm 174)

Ringkasnya, mereka yang menjadi Ahli Parlimen dipertanggungjawabkan untuk menggubal hukum berkaitan undang-undang Islam. Maka tidak sayugia AMANAH KETUHANAN ini diserahkan kepada mereka yang tidak layak untuk menggubal undang-undang berkaitan hukum hakam Islam dalam negara kita. Adakah mereka yang mempunyai rekod bejat moral, korupsi, integriti yang dipersoalkan, layak untuk bersidang tentang hukum-hakam Islam di Parlimen?

Bermakna, setiap orang Islam yang layak mengundi di tanah air tercinta ini mempunyai tanggungjawab KETUHANAN dan KENEGARAAN yang mengatasi politik kepartian untuk memastikan calon pilihan raya adalah golongan yang benar-benar layak untuk dipilih masuk ke Dewan Rakyat yang mulia, atas satu sebab yang mudah, tanggungjawab ini adalah AMANAH ALLAH ke atas mereka untuk melaksanakan urusan kenegaraan dengan adil dan takwa.

Ingat sabdaan Rasulullah SAW: “Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.” Ada seorang sahabat bertanya: ‘Bagaimana maksud amanah disia-siakan?’ Nabi menjawab: “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu.” (HR Al-Bukhari). 

Suzana Hj Othman

Pengerusi

Pertubuhan Kesedaran Melayu & Islam (KEMUDI)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts