SUATU PENGENALAN STRUKTUR ASAS PERLEMBAGAAN DARI PERSPEKTIF MALAYSIA (SIRI IV – AKHIR)

439
SHARES
2.6k
VIEWS

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang UMP) 

AMALAN PRINSIP KEDAULATAN

Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menyatakan bahawa kedaulatan di setiap negeri Melayu hendaklah kekal seperti sebelumnya pada Duli Yang Maha Mulia Raja di negeri itu mengikut adat Melayu. Kenyataan itu secara tuntas menolak pemakaian prinsip common law dalam pentafsiran kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedaulatan negara kita pada hari ini.

Pada sisi kerangka undang-undang Perlembagaan, kedaulatan itu hendaklah didasarkan tafsirannya menurut adat Melayu, iaitu bersifat watan. Watan bermaksud elemen-elemen yang berakar umbi pada tanahair dan diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka dan Kerajaan-kerajaan Melayu selepasnya. Prinsip adat Melayu seperti dijelaskan oleh Wan Ahmad Fauzi (2018) ialah patuh syariah.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu mengikut adat Melayu merupakan prinsip undang-undang yang mendasari sistem Perlembagaan Persekutuan. Adat Melayu ialah apa yang ditakrifkan sebagai adab budaya dan undang-undang pada hari ini selain daripada hukum-hakam yang diwahyukan dalam Al-Quran dan al-Sunnah; merangkumi sistem, peraturan, ethos dan nilai yang tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam seperti diwarisi daripada amalan masyarakat dan Kerajaan Melayu pada masa silam. Adat Melayu juga meliputi sistem politik dan undang-undang yang dikuatkuasakan. Prinsip adat Melayu meletakkan pelaksanaan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu hendaklah terikat dengan amalan Islam atau patuh syariah.

Dari sudut amalannya pula, prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah dilaksanakan menurut kehendak peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini kerana Perkara 181(1) mensyaratkan, “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini” pada permulaan ayatnya. Huraian tentang syarat “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini” bagi amalan prinsip kedaulatan watan dalam sistem Perlembagaan Persekutuan boleh dirujuk dalam tiga buah buku iaitu Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan (2018), Kenegaraan Malaysia: Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan (2020) dan Yang Di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan (2021).

STRUKTUR ASAS PERLEMBAGAAN

Struktur asas Perlembagaan watan terhimpun dalam dua peruntukan, iaitu Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan. Struktur asas membina lima prinsip Rukun Negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan Negara, kedaulatan Undang-undang, keluhuran Perlembagaan dan kesopanan dan kesusilaan.

Perkara 38(4) menyentuh kedudukan dan fungsi Majlis Raja-Raja sebagai identiti yang mendukung penubuhan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Perkara 38(4) juga memelihara kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua-ketua agama Islam serta kewajipan untuk memelihara ajaran Islam selaras dengan tanggungjawab sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT di bawah wilayah kekuasaan mereka masing-masing. Kedaulatan dan keistimewaan kedudukan Raja-Raja Melayu ditetapkan menurut adat Melayu yang berpaksi pada tafsiran Islam sebagai Ad-Din, atau cara hidup. Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan meliputi semua aspek dalam Jadual 9.

Perkara 159(5) pula terdiri daripada Perkara 10(4) berhubung dengan kuasa Parlimen untuk mengadakan sekatan-sekatan demi kepentingan ketenteraman awam; larangan perbuatan mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan berkenaan kewarganegaraan, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain dan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta prerogatif Pembesar-pembesar Memerintah Negeri Sembilan; kewarganegaraan; Majlis Raja-Raja; pengecualian imuniti Ahli-ahli Parlimen; keutamaan Raja dan Yang Di-Pertua Negeri; jaminan Persekutuan terhadap hak-hak Perlembagaan, keistimewaan-keistimewaan dan pewarisan raja dalam Perlembagaan Negeri; pengecualian imuniti Ahli Dewan Undangan Negeri; bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tanpa memprejudiskan penggunaan tulisan Jawi; kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perlembagaan Persekutuan; dan Perkara 159(5) itu sendiri. Selain di atas, Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan yang memerlukan persetujuan Yang Di-Pertua Negeri Sabah atau Sarawak sekali gus menghormati semangat persekutuan antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Pemaktuban kuasa khas Majlis Raja-Raja dan Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua bagi Sabah dan Sarawak itu menghadkan kuasa Parlimen sekaligus menunjukkan prinsip kedaulatan Raja-Raja dan keluhuran Perlembagaan di Malaysia. Setiap cabang kuasa di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman hendaklah mendukung prinsip kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan seperti termaktub dalam sumpah berjawatan masing-masing. Mereka sekaligus hendaklah mendukung prinsip patuh syariah seperti yang diwarisi dan terpelihara bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Di samping itu Jadual 9 menggariskan bidang kuasa Islam di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Negeri seperti jaminan Perkara 3(4) bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan tidak mengurangkan lain-lain peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Demikianlah maksud sebenar struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

KESIMPULAN

Tafsiran sebenar struktur asas Perlembagaan Persekutuan hendaklah berlandaskan watan Kerajaan Tanah Melayu kerana Persekutuan Tanah Melayu didirikan melalui kedaulatan Raja-Raja yang bersendikan adat Melayu. Keadaan-keadaan tempatan merupakan elemen-elemen yang membina prinsip kedaulatan dan peruntukan-peruntukan yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Selaras dengan pembentukan Malaysia maka Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Sabah dan Sarawak dipertanggungjawabkan untuk melindungi citra rakyat dan negeri mereka masing-masing.

Justeru, struktur asas Perlembagaan Persekutuan ialah prinsip kedaulatan berpaksikan pada sumpah Yang Di-Pertuan Agong beserta perkara-perkara yang terjumlah dalam Perkara 38(4), Perkara 159(5) dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

Petikan artikel:

Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. (2020). Suatu pengenalan struktur asas perlembagaan dari perspektif Malaysia [An introduction to the basic structure of the constitution from the Malaysian perspective].

QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research, 1(1), 1-12.

Rujukan;

Indira Gandhi A,.P. Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors and other appeals [2018] MLJU 69.

– Kesavananda Bharti vs State of Kerala AIR 1973 SC 1461.

– Maria Chin Abdullah lawan Ketua Pengarah Imigresen & Anor [2019] 6 MLJ 50. Public Prosecutor v Kok Wah Kuan [2008] 1 MLJ 1.

– Supreme Court of Canada, Reference re Senate Reform, 2014 SCC 32 (at [25]-[26]).

– Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. 2018. Jurispredens Watan Perlembagaan Persekutuan: Teks, Konteks dan Isu-Isu Ketatanegaraan. Abad Sinergi Sdn. Bhd.: Selangor.

– Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. 2018. Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan. Abad Sinergi Sdn. Bhd.: Selangor.

– Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. 2020. Kenegaraan Malaysia: Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan. Penerbit Universiti Malaysia Perlis: Kangar.

– Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. 2021. The Interpretation of Islam within the Framework of the Indigenous Malaya. Journal of Governance and Integrity, Vol. 4, Issue 2, July 2.

– Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. 2021. Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan. Dewan Bahasa Pustaka: Kuala Lumpur.

Tulisan ini dipetik daripada jurnal QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts