SUATU PENGENALAN STRUKTUR ASAS PERLEMBAGAAN DARI PERSPEKTIF MALAYSIA (SIRI II)

482
SHARES
2.8k
VIEWS

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) 

KEADAAN-KEADAAN TEMPATAN

Sifat dan ciri-ciri struktur asas Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilihat pada watan negara ini. Kedudukan watan negara ini sehingga kini masih terpelihara malah terjumlah dalam perkara-perkara yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan. Itulah keadaan-keadaan tempatan yang terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Untuk menghuraikan struktur asas Perlembagaan Persekutuan, terdapat lima perkara pokok yang perlu difahami, iaitu:

1. Raja-Raja Melayulah yang menandatangani Perjanjian Negeri 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

2. Perjanjian Negeri 1948 adalah batu asas kepada sistem Perlembagaan moden Kerajaan-Kerajaan Melayu (kecuali Johor dan Terengganu yang lebih awal memiliki Perlembagaan moden) dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

3. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dikurnia dan dikuatkuasakan melalui kedaulatan sembilan orang Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) yang mendirikan Persekutuan Tanah Melayu.

4. Kedaulatan Raja-Raja Melayu bukanlah ciptaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi bersusur-galur daripada Kesultanan Melayu Melaka mengikut adat Melayu.

5. Perjanjian Malaysia 1963 masih mengekalkan kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu ke atas Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Sifat dan ciri-ciri struktur asas Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipisahkan daripada takrifan kedaulatan di bawah dokumen perundangan. Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menyatakan bahawa kedaulatan di setiap negeri Melayu hendaklah kekal seperti sebelumnya pada Duli Yang Maha Mulia Raja di negeri itu mengikut adat Melayu dan hal yang sama terakam dalam Perjanjian Negeri 1948. Perjanjian Negeri membuktikan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti pada 1 Disember 1941 kekal menjadi prinsip kedaulatan pasca 1948.

Kedaulatan mengikut adat Melayu melestarikan amalan prinsip perundangan Islam. Hal ini kerana prinsip adat Melayu mensyaratkan amalan patuh syariah. Itulah hakikat prinsip kedaulatan di setiap Negeri Melayu sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

STRUKTUR ASAS PERLEMBAGAAN WATAN

Suatu Perlembagaan itu wujud bersama-sama dengan kelahiran kerajaan atau pemerintahan. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi yang menyentuh prinsip kedaulatan serta sistem politik dan perundangan yang diiktiraf dalam kerangka undang-undang tempatan sesebuah kerajaan. Suatu Perlembagaan boleh berevolusi namun keabsahan suatu undang-undang, tindakan eksekutif juga pentadbiran keadilan hendaklah selari dengan prinsip kedaulatan yang didukungnya. Itulah prinsip kedaulatan undang-undang. Sama ada suatu Perlembagaan itu bertulis atau tidak, itu merupakan bentuknya.

Dari sudut sejarah perundangan, Islam dijunjung sebagai undang-undang watan Kesultanan Melayu Melaka dan merupakan akidah Raja-Raja Melayu. Kedudukan itu meletakkan Raja Melaka sebagai bayangan Allah SWT di atas bumi dalam sistem Perlembagaan watan tempatan. Konsep bayangan Allah SWT di atas bumi tidak hanya difahami semata-mata tetapi termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan bertulis pasca Hukum Kanun Melaka. Konsep bayangan Allah SWT di atas bumi bermaksud seorang Raja Melayu memegang kedaulatan milik mutlak Allah SWT dalam bentuk satu pengamanahan. Pengamanahan itu menjelaskan prinsip kedaulatan watan Tanah Melayu dan mentakrifkan prerogatif pada diri seorang raja bahawa baginda wajib menjunjung kedaulatan undang-undang berlandaskan ajaran Islam.

Sepanjang tempoh campur tangan British di Tanah Melayu, kedudukan Perlembagaan bertulis di Negeri-negeri Melayu tidak pernah disentuh, apatah lagi dimansuhkan. British hanya memperkenalkan polisi pentadbiran dan sistem keadilan melalui doktrin nasihat berdasarkan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani. Sekiranya diteliti peruntukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, tiada suatu sekatan dikenakan terhadap amalan prinsip perundangan Islam.

Seperti dihuraikan dalam buku berjudul Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan (2018), sistem Perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka terbina di atas elemen-elemen seperti berikut:

1. Sultan Melaka itu adalah ketua negara sebuah kerajaan yang merdeka.

2. Sultan Melaka adalah seorang muslim, diangkat sebagai ketua agama Islam dan pelantikan gantinya dibuat secara baiah dan syura.

3. Hukum Kanun Melaka dan amalan Kesultanan Melayu Melaka mengiktiraf Islam sebagai undang-undang watan dan amalan sumber perundangan Islam.

4. Raja Melaka tertakluk pada undang-undang dan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan pemerintahan yang adil.

5. Prinsip syura mendasari sistem politik Kesultanan Melayu Melaka dalam memutuskan dasar kerajaan serta menimbangkan perkara-perkara besar dan mustahak.

Semua elemen-elemen di atas menunjukkan prinsip dan doktrin dalam sistem Perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka. Elemen-elemen di atas membina asas-asas kenegaraan yang berpaksi pada empat aspek utama, iaitu:

1. Raja atau pemerintah adalah ketua sebuah kerajaan yang merdeka.

2. Pemerintahnya mengekalkan agama Islam sebagai anutan.

3. Pemerintahnya naik takhta atas baiah dan syura.

4. Pemakaian prinsip bersumberkan kedaulatan watan.

Sistem politik watan berlandaskan ajaran Islam terus dilestarikan walaupun selepas Kota Melaka ditawan. Amalannya dibahaskan dalam Taj us-Salatin, Bustan al-Salatin, Tuhfat al-Nafis, Muqaddimah fi Intizam al-Wazaif al-Muluk, Thammarat al-Muhimmah Diyafah li al-Umara’ wa al-Kubara’ li-Ahl al-Mahkamah dan Gurindam Dua Belas. Dalam Perlembagaan bertulis dan sejarah perundangan di Tanah Melayu terserlah warisan watan seperti berikut:

1. Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah empayar berdaulat.

2. Islam sebagai agama dan undang-undang watan bagi Tanah Melayu.

3. Hukum Kanun Melaka ialah Perlembagaan Tanah Melayu.

4. Kedaulatan watan bagi Kesultanan Melayu Melaka bersumberkan ajaran
Islam.

5. Islam dan Institusi Raja Melayu adalah unsur teras jati diri Melayu.

6. Bahasa Melayu sudah bertaraf ‘lingua-franca’.

7. Tulisan Jawi adalah salah satu tamadun Melayu yang dimartabatkan.

8. Alam dan Laut Melayu sudah wujud lebih awal daripada zaman Kesultanan
Melayu Melaka.

9. Orang Melayu adalah bangsa asal Semenanjung Tanah Melayu.

10. Pengasasan Kerajaan-kerajaan Melayu berdaulat di Tanah Melayu selepas terbubarnya Kerajaan Empayar Melayu Melaka.

(Bersambung ke Siri III) 

Tulisan ini dipetik daripada jurnal QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts