SUATU PENGENALAN STRUKTUR ASAS PERLEMBAGAAN DARI PERSPEKTIF MALAYSIA (SIRI I)

379
SHARES
2.2k
VIEWS

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) 

PENGENALAN

Dalam kes Indira Gandhi A.P. Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Dll (2018), Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menerima pakai doktrin struktur asas Perlembagaan yang diputuskan dalam kes Kesavananda Bharti vs State of Kerala AIR 1973 SC 1461. Doktrin itu berpaksi pada frasa; “That features of the basic structure cannot be abrogated or removed by a constitutional amendment”.

Keputusan kes Indira Gandhi A.P. Mutho lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Dll dikritik hebat kerana menerima pakai doktrin struktur asas Perlembagaan ciptaan Mahkamah Agung India, khususnya oleh mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad. Doktrin struktur asas Perlembagaan ciptaan Mahkamah Agung India juga pernah ditolak oleh dua keputusan Mahkamah tertinggi negara terdahulu kerana prinsipnya bercanggah dengan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan dan melampaui bidang kuasa mahkamah.

Menurut Tun Abdul Hamid; “Dengan menggunakan prinsip struktur asas Perlembagaan ciptaan Mahkamah Agung India itu, hakim-hakim kita memberi kuasa kepada diri mereka sendiri untuk meminda Perlembagaan dengan memutuskan bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk meminda mana-mana bahagian Perlembagaan yang hakim-hakim itu akan memutuskan, kes demi kes, bahawa ia tidak boleh dipinda. Dalam erti kata lain, hakim-hakim itu memberi kuasa kepada diri mereka sendiri untuk memutuskan mana-mana pindaan oleh Parlimen kepada mana-mana bahagian Perlembagaan yang mereka katakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan dan oleh itu tidak boleh dipinda, tidak sah. Kesannya ialah hakim-hakim sendiri telah meminda Perlembagaan untuk memberi kuasa kepada mereka untuk memutuskan bahawa bahagian-bahagian tertentu Perlembagaan tidak boleh dipinda”.

Justeru, artikel ini bertujuan untuk memeriksa keadaan-keadaan tempatan yang berada dalam kerangka konsep struktur asas perlembagaan seterusnya mengemukakan takrifannya yang sahih menurut jurisprudens watan. Jurisprudens watan ialah metode kajian berlandaskan sejarah perundangan tempatan melalui penyelidikan mendalam serta pemerhatian fakta-fakta sejarah berkaitan dan dokumen-dokumen perundangan.

Dokumen-dokumen perundangan pra dan pasca Hari Merdeka diperiksa untuk menentukan keadaan-keadaan tempatan yang masih terpelihara serta berstatus sebagai struktur asas Perlembagaan. Struktur asas Perlembagaan yang dibahaskan di sini perlu dibezakan dengan doktrin struktur asas perlembagaan ciptaan Mahkamah Agung India.

KERANGKA KONSEP STRUKTUR ASAS PERLEMBAGAAN

Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Perlembagaan hendaklah ditafsirkan berlandaskan konteks sejarah dan falsafahnya, begitu juga perkara- perkara teras yang mendasari prinsip-prinsipnya. Mahkamah Persekutuan didapati merujuk kenyataan Mahkamah Agung Kanada dalam Reference re Senate Reform, untuk mengetengahkan teras, kandungan dan kesan struktur asas Perlembagaan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Untuk memahami kerangka konsep struktur asas perlembagaan itu ada baiknya huraian dalam Reference re Senate Reform diperhatikan. Reference re Senate Reform (2014: 25-26) menyatakan:

_“The constitution implements a structure of government and must be understood by reference to the constitutional text itself, the historical context, and previous judicial interpretations of constitutional meaning… The rules of constitutional interpretation require that constitutional documents be interpreted in a broad and purposive manner and placed in their proper linguistic, philosophic, and historical contexts… Generally, constitutional interpretation must be informed by the foundational principles of the constitution, which include principles such as federalism, democracy, the protection of minorities, as well as constitutionalism and the rule of law.”

These rules and principles of interpretation have led this Court to conclude that the Constitution should be viewed as having an ‘internal architecture’, or ‘basic constitutional structure’… The notion of architecture expresses the principles that the individual elements of the Constitutional are linked to the others, and must be interpreted by reference to the structure of the Constitution as a whole’… In other word, the Constitution must be interpreted with a view to discerning the structure of government that it seeks to implement. The assumptions that underlie the text and the manner in our interpretation understanding and application of the text”.

Jika diteliti takrifan yang diberikan di atas, maka jelaslah bahawa kerangka konsep struktur asas Perlembagaan menurut Mahkamah Agung Kanada hendaklah berpaksi pada peruntukan Perlembagaan itu sendiri, konteks sejarah dan maksud Perlembagaan mengikut tafsiran kehakiman terdahulu yang memerlukan Perlembagaan ditafsirkan dengan cara yang luas, purposif dan diletakkan dalam konteks linguistik, falsafah, dan sejarah mereka yang betul.

Kenyataan di atas mensyaratkan keadaan-keadaan tempatan yang meliputi sejarah, sejarah perundangan dan ciri-ciri watan kenegaraan dalam kerangka Perlembagaan itu diambil kira. Struktur asas Perlembagaan memperuntukkan pemahaman tentang teks dan konteks peruntukan dilihat secara berobjektif dalam kerangka struktur Perlembagaan itu.

Justeru, kenyataan Mahkamah Agung Kanada tidak menganjurkan takrifan struktur asas Perlembagaan dibuat secara bebas dengan hanya merujuk semata-mata pada baris-baris ayat di dalamnya. Mahkamah perlu memberi perhatian kepada prinsip kedaulatan yang dijunjung oleh sesebuah kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaannya.

Dalam konteks Malaysia, struktur asas Perlembagaan adalah berpaksi pada prinsip kedaulatan raja-raja dan keadaan-keadaan tempatan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Di samping itu, peruntukan Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sibil 1956 (Semakan 1972) yang memelihara kelestarian keadaan-keadaan watan perlu diambil kira sama.

Ringkasnya, suatu prinsip di luar keadaan-keadaan tempatan dan di luar kerangka Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh ditakrifkan sebagai struktur asas perlembagaan. Sesungguhnya, Mahkamah Agung Kanada tidak mengabsahkan pemakaian prinsip kes Kesavananda Bharti vs State of Kerala secara bebas.

Sesungguhnya, Mahkamah di Malaysia tertakluk pada prinsip keluhuran Perlembagaan selaras dengan sumpah yang dilafazkan oleh para hakim seperti Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan menetapkan kaedah-kaedah pindaan peruntukannya berserta syarat-syarat tertentu.

Dari sudut falsafah undang-undang, setiap pentafsiran dan penggubalan undang-undang mestilah mendukung prinsip kedaulatan yang dijunjung secara nyata di dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru kedudukan undang-undang sedia di bawah Perkara 162 dan tafsiran undang-undang bertulis di bawah Perkara 160(2) dapat menjelaskan prinsip kedaulatan sebenar yang mendasari struktur asas Perlembagaan Persekutuan, bukan sebaliknya.

(Bersambung ke SIRI II)

Tulisan ini dipetik daripada jurnal QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts