PENJAJARAN SEMULA PERUNTUKAN: KERAJAAN WAJAR UTAMAKAN PEMBERIAN PERANTI

345
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAN MEDIA GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS) 

23 Januari 2021

Polemik pelaksanaan PdPR yang sedang hangat diperkatakan rakyat kini telah menyaksikan ramai pihak tampil memberikan pandangan dan kritikan, lebih-lebih lagi setelah mengambil kira kesan pelaksanaan PKP dan darurat baru-baru ini.

Idea-idea seperti pemerkasaan TV Pendidikan dan menyegerakan pembinaan infrastruktur asas seperti capaian internet berkelajuan tinggi, pemberian peranti elektronik serta bantuan kewangan kepada keluarga dan pelajar dari golongan B40 adalah antara cadangan yang sering disebut.

GPMS berpendapat cadangan-cadangan ini adalah baik dan wajar dipertimbangkan secara serius oleh pihak berkepentingan khususnya Kerajaan Malaysia melalui KPM dan KKMM walaupun ia mengambil masa dari segi usaha pengenalpastian pelajar yang benar-benar layak, kekangan dasar dan polisi serta sumber kewangan yang terhad.

Sungguhpun begitu, GPMS ingin menarik perhatian berkenaan kesiapsagaan pihak KPM dari segi penyediaan peranti elektronik kepada para pelajar yang memerlukan. GPMS berpendapat beberapa peruntukan yang pada awalnya dikhususkan kepada KPM dan kemudiannya tidak digunakan rentetan PKP, seharusnya disusun semula untuk pemberian peranti elektronik kepada para pelajar yang layak.

Contoh yang jelas adalah peruntukan untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Bantuan Makanan Asrama (BMA). Setelah meneliti anggaran perbelanjaan yang diperuntukan pada tahun 2020 dan 2021, GPMS mendapati dua Program Khusus 060900 Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan 060800 Bantuan Makanan Asrama (BMA) di bawah Maksud Bekalan 63 – Kementerian Pendidikan ini mempunyai ruang penjajaran semula yang besar.

Sebagai contoh, jumlah peruntukan RMT dan BMA tahun 2020 adalah RM1,721,304,900. Andaian sekolah hanya beroperasi selama 7 bulan rentetan PKP bermakna sebanyak RM1,004,094,525 telah dibelanjakan dan masih berbaki RM717,210,375. Peruntukan bagi tahun 2021 bagi kedua program juga mencecah RM1,813,606,400 iaitu kenaikan sebanyak RM92,301,500 atau 5 peratus. Sekiranya dana ini digunapakai bagi tujuan perolehan peranti elektronik, nescaya hampir semua pelajar dari keluarga berpendapatan rendah bakal menerima manfaat.

Meskipun sedar bahawa Kerajaan Malaysia telahpun membuat penjajaran semula peruntukan demi menampung pelan bantuan kepada rakyat seperti PENJANA dan PERMAI, GPMS ingin juga menyeru agar keutamaan diberikan dalam menyusun semula peruntukan KPM ke arah pemberian peranti yang boleh digunakan bagi tujuan PdPR. Perkara ini dibangkitkan atas dasar tanggungjawab 4 SEDAR GPMS dan kegusaran terhadap situasi yang memungkinkan wujud para pelajar yang tercicir kerana kepayahan hidup khususnya anak-anak Melayu seterusnya menimbulkan kesenjangan pendidikan di kalangan golongan berada dan yang kurang berada.

GPMS menuntut agar perkara ini diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Sekiranya ada peruntukan KPM yang boleh disusun semula bersama MOF, GPMS memohon agar ianya digunakan bagi penyediaan peranti elektronik kepada para pelajar yang layak.

MOHD ALIF ANAS HAJI MD NOOR

Presiden GPMS

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts