KEPUTUSAN GANTUNG PARLIMEN KETIKA DARURAT 2021 TIDAK BOLEH DICABAR DI MAHKAMAH

728
SHARES
4.3k
VIEWS

Oleh Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

Bolehkah keputusan menggantung Parlimen ketika Darurat 2021 ini dicabar di mahkamah?

Pada pendapat saya, jawapannya TIDAK BOLEH.

Kenapa tidak boleh?

1. Untuk memahami isu ini, pertamanya, kita perlu rujuk kepada Perkara 55 (1) – (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan;

(1) Yang Di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang Di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu Pilihan Raya Umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu. 

2. Ini menunjukkan bahawa hanya Yang Di-Pertuan Agong boleh memanggil, memprorog (menggantung) atau membubarkan Parlimen. FAHAMI ASAS INI DAHULU SEBELUM MEMBACA PERENGGAN-PERENGGAN BERIKUTNYA.

3. Selanjutnya, dengan perisytiharan darurat dan dengan kuatkuasa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pada seksyen 18 Ordinan berkenaan menyatakan bahawa “Ordinan ini adalah mengatasi apa-apa undang-undang yang lain setakat yang berlawanan dengan apa-apa undang-undang lain, maka Ordinan ini mengatasi undang-undang berkenaan setakat mana percanggahan itu“. 

4. Selanjutnya, Seksyen 12(4) Ordinan berkenaan telah MEMOTONG PERKATAAN yang terkandung di dalam Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan “Selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar” telah dipotong.

5. Ini menjadikan bacaan terkini Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan“. 

6. Selanjutnya, Seksyen 12(5) Ordinan berkenaan telah MEMOTONG PERKATAAN yang terkandung di dalam Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan “Dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu” telah dipotong.

7. Ini menjadikan bacaan terkini Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut “Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan“. 

8. Selanjutnya, Seksyen 12(6) Ordinan berkenaan menyatakan bahawa “Pilihan raya umum hendaklah diadakan dan mesyuarat Parlimen hendaklah dipanggil pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong.”

9. Seterusnya peruntukan Seksyen 14 (1)(a) dan (b) Ordinan berkenaan memberikan kuasa kepada YDP Agong untuk memanggil, memprorog (menggantung) atau membubarkan Parlimen pada bila-bila masa mengikut Ordinan ini dan Perkara memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen seperti di Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan TIDAK LAGI TERPAKAI.

10. Mengikut tafsiran saya sendiri, maksud seksyen 14 (1)(a) dan (b) di atas menunjukkan bahawa YDP Agong boleh membubarkan Parlimen pada bila-bila masa TANPA PERLU TERDAPATNYA PERMINTAAN UNTUK PEMBUBARANNYA.

11. Sebab itulah peruntukan Seksyen 14(1)(a) menyatakan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan TIDAK LAGI TERPAKAI.

12. Yang terpakai kini adalah kuasa Baginda YDP Agong yang sama (untuk bubarkan Parlimen) cuma pembubaran itu nanti akan dibuat mengikut seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat 2021, bukan lagi di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.

13. Mengikut Ordinan Darurat 2021, YDP AGONG TIDAK ADA TANGGUNGJAWAB UNTUK MENERIMA APA-APA PERMINTAAN MEMBUBARKAN PARLIMEN.

14. Oleh yang demikian, selepas membaca seksyen 14 Ordinan Darurat 2021 ini secara keseluruhannya, maka sebab Itulah saya berpendapat bahawa Anwar Ibrahim tidak boleh mencabar keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk tidak memanggil sidang Dewan Rakyat untuk bersidang.

15. Hendak bersidang apa lagi kalau Parlimen akan jadi ibarat Zoo Negara?

Sekian terima kasih. 

(Penulis juga dikenali sebagai Buzze Azam) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts