MEMAHAMI HAL DARURAT MENGIKUT PERKARA 150 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

579
SHARES
3.4k
VIEWS

Oleh Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

Soalan: Adakah Perdana Menteri mempunyai hak dan kuasa mutlak tidak terbatas jika darurat di isytiharkan?

Jawapan:

1. Sebelum saya menjawab soalan di atas, saya ingin membuat sedikit perbandingan berkaitan “Siapa yang berkuasa ketika darurat” ini dengan membuat perbandingan dengan apa yang pernah berlaku di negara kita ketika darurat 1969 diisytiharkan dahulu.

2. Sedikit kronologi berkaitan Darurat 1969 perlulah di ketahui dahulu:-

i) Parlimen dibubarkan pada 20 Mac 1969 untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-3 diadakan.

ii) Pengundian untuk PRU-3 diadakan pada 10 Mei 1969.

iii) Rusuhan kaum bermula pada 13 Mei 1969.

iv) Yang DiPertuan Agong mengeluarkan Proklamasi Darurat pada 13 Mei 1969 berkuatkuasa serta merta.

3. Yang DiPertuan Agong mengeluarkan Proklamasi Darurat 1969 melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969 (Ordinan 1, P.U (A) 146/1969) yang memberikan baginda kuasa-kuasa untuk menjamin keselamatan awam, pertahanan negara, pemeliharaan ketenteraman awam dan penentuan perbekalan dan perkhidmatan yang penting bagi masyarakat.

4. Bagi membantu baginda menjalankan kuasa-kuasa pentadbiran di atas, baginda dibantu oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Melalui Ordinan No. 1 ini juga, fungsi Parlimen telah digantung. Walaubagaimanapun, disebabkan ketika itu baru sahaja berlangsung PRU-3 dan Jemaah Menteri masih belum sempurna dibentuk, maka baginda memperkenalkan pula Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 1969 (P.U (A) 149/1969).

5. Dengan Ordinan No. 2 di atas, Baginda YDP Agong menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan baginda melantik Tun Abdul Razak sebagai Pengarah MAGERAN.

6. Pengarah MAGERAN diberikan kuasa yang sangat luas melalui Ordinan No. 2 berkenaan. Hanya Pengarah MAGERAN sahaja diberi kuasa untuk melaksanakan kuasa pemerintahan eksekutif Persekutuan bagi pihak Yang DiPertuan Agong.

7. Hanya terdapat 2 sekatan (bukan halangan) terhadap kuasa Pengarah MAGERAN berkenaan:-

i) Pertama, Pengarah MAGERAN boleh meminta nasihat Perdana Menteri tetapi tidak wajib mengikut nasihat Perdana Menteri berkenaan.

ii) Kedua, Pengarah MAGERAN hendaklah dibantu oleh suatu Ahli Jawatankuasa Majlis Gerakan Negara yang dilantik oleh Pengarah MAGERAN sendiri.

8. Sebab itulah saya meletakkan (bukan halangan) pada 2 sekatan seperti di perenggan 7 berkenaan. Walau apapun keadaan, Tun Abdul Razak hanya perlu melapor terus kepada YDP Agong sahaja dan bebas untuk bertindak atas kuasa dan perkenan YDP Agong.

9. Melalui Ordinan No. 2 1969 itu juga, tugas-tugas Kabinet digantung dan tugas itu disandang oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

10. Jadi, itulah keadaan Darurat 1969 dahulu dan syukur Alhamdulillah, walaupun Tun Abdul Razak mempunyai kuasa eksekutif yang sangat besar dan sangat luas Ketika itu sebagai Pengarah MAGERAN, tiada dilaporkan sebarang penyalahgunaan kuasa oleh Tun Abdul Razak Ketika memegang jawatan tersebut dan antara produk MAGERAN yang sangat dibanggakan adalah Rukunegara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang merupakan dasar serampang dua mata bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

JADI APA BEZANYA DARURAT 1969 DENGAN DARURAT 2021?

a) Punca berlakunya Darurat 1969 berbeza dengan Darurat 2021. Darurat 1969 berpunca daripada rusuhan kaum manakala Darurat 2021 berpunca daripada pandemik Covid-19.

b) Institusi Parlimen pada 13 Mei 1969 masih belum sempurna ditubuhkan (belum angkat sumpah) manakala institusi Parlimen pada Januari 2021 masih kelam-kabut tidak pasti sokongan ke mana. Ada yang asalnya di pihak kerajaan tiba-tiba menjadi bebas. Ada yang asalnya pembangkang tetapi melompat menyokong kerajaan pula. Parlimen caca-marba.

c) Institusi Kabinet Januari 2021 telah ada tetapi semua Menteri Kabinet bekerja dari rumah dan ada sebahagiannya tidak boleh berfungsi dengan baik kerana PKP, tidak boleh buat banyak aktiviti kementerian, tidak boleh ke luar negara bagi menarik pelaburan, kalau keluarpun balik ‘degil’ tidak mahu dikuarantin dan sebagainya.

d) BARU HANYA 1 ORDINAN DARURAT (KUASA-KUASA PERLU) 2021 dikeluarkan oleh Yang DiPertuan Agong dan di dalam Ordinan Darurat berkenaan, masih TIDAK JELAS Sama ADA FUNGSI JAWATANKUASA KHAS BEBAS YANG DITUBUHKAN DI BAWAH SEKSYEN 2 ORDINAN BERKENAAN MELIPUTI HANYA MENASIHATI YDP AGONG MENGENAI ANCAMAN COVID-19 SAHAJA ATAU AKAN MELIPUTI HAL-HAL EKSEKUTIF YANG LAIN.

e) JUGA TIDAK JELAS DI DALAM SEKSYEN 11 ORDINAN DARURAT 2021 BERKENAAN BERKENAAN KUASA EKSEKUTIF PERSEKUTUAN MENGENAI KEDUDUKAN PERDANA MENTERI DAN JEMAAH MENTERI YANG TERUS MENJALANKAN KUASA EKSEKUTIF PERSEKUTUAN KERANA TIADA SEMPADAN JELAS ANTARA FUNGSI JAWATANKUASA KHAS BEBAS DI BAWAH SEKSYEN 2 DENGAN KUASA KABINET DI BAWAH SEKSYEN 11, SIAPA YANG MENGATASI KUASA SIAPA JIKA BERLAKU KONFLIK?

f) Oleh itu, setakat 19 Januari 2021 hari ini, saya masih gagal menjawab secara objektif soalan yang saya cipta di awal penulisan ini kerana di sebabkan tiada Ordinan Darurat (No. 2) 2021 diperkenalkan lagi dan saya sendiri tidak pasti samada Ordinan No. 2 ini akan wujud ataupun tidak untuk menjelaskan kekeliruan ini.

g) Tetapi setakat ini, yang pasti, kuasa Pemerintah Eksekutif Persekutuan, pada setiap masa (termasuk Ketika Darurat) adalah terletak hak kepada Yang DiPertuan Agong mengikut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Sekian dan terima kasih.

(Penulis juga dikenali sebagai Buzze Azam)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts