SIJIL PELAJARAN MALAYSIA: CALON MULA RASA TERTEKAN

367
SHARES
2.2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRANITA PUTRA MALAYSIA

1. Difahamkan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2020 akan menduduki peperiksan pada Februari tahun ini.

Rujuk pautan;

https://www.moe.gov.my/en/takwim/examination-calendar

Didapati ramai pelajar mengeluh dan ada yang rasa takut untuk menduduki peperiksaan tersebut kerana masih tidak bersedia dan ada juga dalam kalangan ibu bapa yang merasa risau dengan situasi pandemik sekarang ini untuk anak-anak mereka menduduki peperiksaan.

2. Calon-calon yang dijadualkan menduduki SPM pada tahun 2020 yang dibawa ke tahun 2021 ini pastinya menghadapi keadaan sukar kerana ia pertama kali dalam hidup mereka apatah lagi peperiksaan ini penting bagi menentukan hala tuju masa depan pelajar tersebut. Mereka merasa rugi disebabkan pandemik COVID-19 yang berlaku ketika ini. Cara dan kaedah pembelajaran mereka telah berubah 360 darjah, tidak seperti calon-calon SPM bagi tahun-tahun sebelum ini yang mana kesukaran pembelajaran secara atas talian (online) tidak sama pemahamannya seperti belajar di dalam kelas.

Guru-guru perlu lebih memberikan perhatian, bimbingan dan mengambil berat serta memberi sokongan moral kepada calon-calon SPM untuk mereka semua tidak merasai bebanannya. Kita semua tidak berada di tempat mereka di kala kesukaran ini berlaku dan jika kita di tempat mereka pastinya kita juga merasakan berat untuk menduduki atau mengambil peperiksaan penting ini.

3. Natijahnya, pandemik COVID-19 ini membuatkan calon-calon yang menduduki SPM tidak bersedia dan minda mereka tidak fokus serta banyak berfikir tentang keadaan semasa iaitu bahaya yang ada di sekeliling mereka. Calon-calon ini lebih mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatan masing-masing serta keluarga.

4. Pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada semua calon SPM, ditambah pula keadaan cuaca semasa yang mana berlaku banjir di beberapa negeri dan daerah. Cuba bayangkan keadaan calon-calon yang terlibat dengan banjir, bagaimanakah pelajar-pelajar ini hendak fokus kepada pembelajaran ulang kaji mereka?

5. Menteri Pendidikan harus mengambil berat dengan keadaan calon-calon SPM 2020 pada tahun ini. Jika prestasi keputusan mereka menurun, apa akan terjadi dengan prestasi Pendidikan Kebangsaan? Apa yang perlu dilakukan untuk menaikkan semula prestasi keputusan SPM menjadi setaraf seperti tahun-tahun sebelum ini?

6. Pergerakan Wiranita PUTRA Malaysia memohon Kementerian Pendidikan Malaysia dan pihak berkaitan untuk mengkaji semula penetapan tarikh Sijil Pelajaran Malaysia bagi Tahun 2021 (calon Tahun 2020) dengan mengambil kira situasi semasa yang berlaku dalam negara ketika ini. Semoga cadangan tarikh baharu tersebut dapat memberi peluang kepada calon-calon untuk lebih bersedia dan memberi ruang kepada ibu bapa untuk menyediakan yang terbaik buat anak-anak mereka.

Sekian.

Nuur Muzdalifah Abd Aziz

Ketua Penerangan Wiranita PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts