ORDINAN DARURAT: KUASA APA YANG KERAJAAN/EKSEKUTIF RAMPAS ATAU TAMBAH KETIKA DARURAT?

398
SHARES
2.3k
VIEWS

Oleh Lukman Sheriff Alias

Semalam ini ordinan darurat dikeluarkan. Di bawah Perlembagaan, pihak eksekutif dibolehkan menggubal apa-apa undang-undang termasuk yang bercanggah dengan Perlembagaan. Ia tidak perlu kepada kelulusan Parlimen. Kuasa eksekutif amatlah luas dan termaktub di dalam ordinan-ordinan yang dikeluarkannya.

Jadi apakah kuasa yang ditambah dan diberi kepada eksekutif kali ini?

Mari kita lihat ordinan tersebut:

Mengikut seksyen 11, kuasa eksekutif diberi kepada jemaah kabinet yang sedia ada. Apa kuasa mereka? Mengikut ordinan tersebut, mereka menjalankan kuasa-kuasa yang sudah termaktub di bawah undang-undang sedia ada. Jadi apa-apa yang dilakukan di bawah apa-apa akta sedia ada adalah sah.

Apakah setakat itu sahaja? Kalau begitu, mengapa perlu darurat? Apa bezanya diadakan darurat dengan tiada darurat?

Sebenarnya ada perbezaannya; Satu, kini kabinet tiada lagi perlu melapor atau ‘accountable’ kepada Parlimen. Hanya kepada YDP Agong kerana Parlimen telah digantung melalui ordinan ini. Segala kekosongan kerusi Parlimen tidak perlu diisikan.

Maknanya tiada pilihan raya lagi waktu darurat. Kalau Parlimen dibubarkan, mengikut Seksyen 12 ordinan tersebut, ia akan diadakan pada suatu tarikh yang ditentukan kelak oleh YDP Agong. Keadaannya hampir sama dengan Dewan Undangan Negeri atau DUN. 

Apa lagi perubahan dari keadaan bukan darurat?

Ada 3 lagi perkara pokok.

Pertama, satu jawatankuasa kesihatan bebas ditubuhkan untuk menasihati YDP Agong. Apa yang kurang jelas adalah apakah kuasa jawatankuasa tersebut dan pengaruhnya ke atas eksekutif? Ini tidak dinyatakan dalam ordinan.

Kedua, kuasa tentera ditambah membolehkan mereka menjalani tugas polis. Dari satu sudut ini membolehkan tentera bersama-sama dengan anggota polis menguatkuasakan PKP. Tetapi peruntukan ordinan ini amat luas dan boleh digunakan bukan untuk tujuan Covid-19 juga. Sila lihat Seksyen 7. Jadi kita kena lihat bagaimana kuasa ini digunakan. Kalau untuk banteras Covid-19, pada saya tiada masalah. Tetapi kalau lebih daripada itu, saya tidak bersetuju.

Ketiga, terdapat peruntukan yang ‘peculiar‘ tidak ordinari. Seksyen 3, 4 dan 5 ordinan tersebut membenarkan kerajaan mengambilalih mana-mana tanah atau bangunan dan menggunakan apa-apa sumber dengan pampasan.

Ini membolehkan misalnya kerajaan mengambilalih tempat yang sedia ada untuk menempatkan pesakit Covid-19 atau menggunakan sumber di hospital swasta. Tetapi peruntukan ini amat luas dan boleh digunakan selain dari Covid-19.

Seperti di atas, kalau untuk banteras Covid-19, saya boleh terima tetapi kalau lebih saya tidak setuju.

Itulah 3 perkara pokok.

Adakah itu sahaja? Takkan tiada peruntukan lain?

Tidak. Tiada lagi peruntukan substantif lain kecuali mungkin satu peruntukan untuk mengeluarkan arahan untuk rawatan, imunisasi dan pengasingan mereka yang sakit. Ordinan ini sebenarnya pendek dan tidak berjela-jela. 11 muka surat sahaja.

Jadi apa rumusannya? Adakah ia darurat untuk kesihatan atau politik?

Boleh interpretasi kedua-duanya.

Pertama, ia jelas untuk Covid-19. Ia mewujudkan satu jawatankuasa bebas dan menambahkan kuasa undang-undang untuk mengatasi masalah Covid-19. Misalnya sekarang ada kuasa beri arahan kepada sesiapa sahaja untuk memberi sumber atau tempat kepunyaannya kepada kerajaan untuk membanteras Covid-19. Ia juga beri kuasa memberi arahan untuk imunisasi. Ini baik dan patut diterima oleh rakyat.

Kedua, ia juga boleh dikatakan darurat politik. Seperti sedia maklum kerajaan sudah hilang majoriti dengan penarikan sokongan Datuk Ahmad Jazlan dan Datuk Seri Nazri Aziz. Maka sudah sukar jika hendak meluluskan undang-undang. Untuk ini boleh disimpulkan kenapa Parlimen telah digantung.

Bagaimanapun saya berpendapat darurat ini perlu. Oleh kerana tiada siapa ada majoriti di Parlimen, kita tiada pilihan di bawah Perlembagaan kecuali mengadakan pilihan raya. Tetapi disebabkan Covid-19, ia perlu ditunda dan ini hanya boleh jika darurat diisytiharkan. Sepatutnya ini langkah atau urutan undang-undang yang lebih tepat.

Oleh sebab darurat diisytiharkan tanpa Parlimen dibubarkan, maka tuduhan darurat untuk kepentingan politik peribadi menjadi sukar disangkal.

Satu lagi bukankah darurat ini menyekat hak kebebasan kita dan bertentangan dengan hak demokrasi?

Apabila Parlimen digantung dan tiada pilihan raya untuk mengisi kekosongan wakil rakyat yang meninggal, sudah tentu hak demokrasi terkesan. Berkenaan kebebasan kita, setakat ini darurat tidak menyekatnya. Di bawah ordinan ini, undang-undang biasa akan terpakai. Dan yang menyekat kebebasan rakyat biasa adalah undang-undang PKP dan bukan ordinan darurat.

Sama ada kerajaan akan bertindak sebagai diktator dan autokratik, setakat ini melalui ordinan yang ada tidak nampak lagi.

Selagi mana tiada ordinan-undang tambahan dan kerajaan mentadbir melalui undang-undang sedia ada, sukar mengatakan mereka mengamalkan perintah kuku besi.

Kita kena lihat apa yang akan terjadi seterusnya.

Wallahualam.

(Penulis merupakan seorang peguam) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts