PERIHAL DARURAT YANG HARUS RAKYAT TAHU – SIRI II

356
SHARES
2.1k
VIEWS

Soalan 3: Adakah perisytiharan darurat merupakan suatu tindakan merampas kuasa kerajaan yang dipilih oleh rakyat?

Tidak, darurat itu satu keadaan yang sah di sisi Perlembagaan Persekutuan. Perkara 150 menetapkan prerogatif Yang Di-Pertuan Agong bagi perisytiharan darurat. Kerajaan Malaysia pada hakikatnya ialah Kerajaan Yang Di-Pertuan Agong, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri Baginda.

Soalan 4: Apakah yang membolehkan Yang Di-Pertuan Agong membuat perisytiharan darurat?

Keadaan yang membolehkan baginda mengisytiharkan darurat termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan ialah seperti berikut:
 
(1) Jika Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang Di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.
 
Soalan 5: Bilakah dan di manakah darurat boleh diisytiharkan?

Darurat boleh diisytiharkan bila-bila masa apabila Yang Di-Pertuan Agong berpuas hati berlakunya dua keadaan seperti di atas serta setelah menerima permintaan daripada Jemaah Menteri atau pihak-pihak berwibawa seperti Majlis Keselamatan Negara. Darurat boleh diisytiharkan bagi keseluruhan Persekutuan, atau mana-mana bahagian Persekutuan.

Soalan 6: Adakah keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat boleh dipersoal?

Keputusan Baginda seperti peruntukan di bawah fasal-fasal Perkara 150(1) dan 150(2) tidak boleh dicabar oleh mahkamah atas apa jua alasan. Perkara 150(8) memperuntukkan:

(8) Walau apapun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini –

(a) Hal puas hati Yang Di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2b) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan

(b) Tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai keesahan –

(i) Sesuatu Proklamasi di bawah Fasal

(1) Atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1);

(ii) Kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;

(iii) Mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2b); atau
(iv) Penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.

Peruntukan di atas menunjukkan prerogatif Yang Di-Pertuan Agong.

Jawapan oleh Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi

Pengasas Jurisprudens Watan
Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik

Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Rujuk artikel “Perihal darurat yang harus rakyat tahu – Siri I” di pautan;

https://editormalaysia.com/20944/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts