MUHYIDDIN PERLU MENGADAP SEMULA DAN BERTERUS TERANG KEPADA YDP AGONG MENGENAI SEBAB SEBENAR DARURAT

760
SHARES
4.5k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Saya menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong berkenaan pengisytiharan darurat semalam.

Pengisytiharan darurat ini diminta oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin atas alasan untuk mengekang penularan COVID-19 yang semakin meningkat.

Namun ramai rakyat dan juga pemerhati antarabangsa tidak percaya akan motif sebenar Muhyiddin mengisytiharkan darurat ini, terutama apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikenakan semula untuk menangani COVID-19.

Semalam pasaran saham dan mata wang Malaysia jatuh teruk dan berpuluh juta aliran modal telah keluar dengan penjualan besar-besaran.

Akhbar-akhbar bebas luar negeri seperti CNN, Bloomberg, ABC, dan lain-lain menyatakan yang Muhyiddin mengisytiharkan darurat di kala kedudukan politiknya getir (untuk menyelamatkan dirinya).

Saya dimaklumkan bahawa tidak ada seorangpun pakar penyakit berjangkit kredibel yang telah mencadangkan darurat; rata-rata pakar-pakar menyatakan yang PKP adalah memadai.

Yang menyatakan darurat ini sahih adalah seorang peguam bernama Gopal Sri Ram yang rapat dengan Tun Mahathir dan kerajaan Perikatan Nasional Muhyiddin.

Muhyiddin menyatakan darurat ini diperlukan untuk mengelakkan pilihan raya semasa COVID-19.

Namun untuk mengelak pilihan raya, sebenarnya tidak perlu isytihar darurat di seluruh negara.

Ada pilihan-pilihan lain yang lebih berasas dan bermoral iaitu Perdana Menteri Muhyiddin meletakkan jawatan kerana telah hilang majoriti, dan beliau perlu menyerahkan kepada budi bicara Yang Dipertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri yang baru.

Dan jika untuk menamatkan kemelut ahli politik yang dikatakan ‘gila kuasa’ (termasuk oleh PPBM dan Muhyiddin sendiri yang ingin bergantung kepada kuasa walaupun tiada sokongan), dia (Muhyiddin) boleh memohon untuk membubarkan Parlimen dan menangguhkan Pilihan raya selama 60 hari sehingga keadaan COVID-19 reda dan mempercepatkan penyampaian vaksin kepada rakyat dalam tempoh tersebut.

Jika wabak COVID-19 masih tidak reda menjelang 60 hari, barulah wajar mengisytiharkan darurat mengikut Perlembagaan.

Sebab itu ramai orang tidak percaya kepada langkah dan alasan Muhyiddin ini namun ramai tidak mahu menyuarakannya dan hanya membukukan di hati kerana tidak mahu menyinggung titah YDP Agong.

Yang Dipertuan Agong tidak boleh sesekali dipersalahkan kerana Baginda membuat keputusan dan bertitah berdasarkan maklumat dan kenyataan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri.

Jika Perdana Menteri tidak jujur dan tidak ikhlas dalam mempersembahkan maklumat kepada Baginda, maka ia akan memberi kesan kepada keputusan baginda.

Hakikatnya, Muhyiddin mengisytiharkan darurat oleh sebab politik untuk menyelamatkan dirinya daripada ditolak sebagai Perdana Menteri, seperti mana Donald Trump yang mengisytiharkan darurat apabila dia ditolak sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Untuk mencapai matlamat pengekalan kuasa tanpa majoriti ini, Muhyiddin telah menggantung Parlimen dan menggantung demokrasi serta menolak semak imbang.

Jika Tan Sri Muhyiddin seorang yang amanah dan bertanggungjawab, beliau perlu mengadap SPB YDP Agong semula dan berterus terang akan hal ini.

Jika tidak ia akan terus dilihat bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politik dirinya sendiri.

ISHAM JALIL

13 Januari 2021

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts