DARURAT 2021 – BUZZE AZAM

501
SHARES
2.9k
VIEWS

1. Ini adalah pandangan peribadi saya yang tidak mewakili mana-mana organisasi yang boleh dikaitkan dengan saya. Pandangan saya ini juga bukanlah yang paling betul dan yang paling tepat dari segi politik atau undang-undang. Ia hanya tulisan kreatif saya sebagai hobi suka memberi pandangan.

2. Saya rasa, individu yang paling terkejut dengan Perisytiharan darurat oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) adalah YAB Perdana Menteri sendiri.

3. Kalau benar beliau sudah dimaklumkan lebih awal bahawa YDP Agong akan mengisytiharkan darurat pada hari ini, tentu sekali beliau tidak akan bersusah payah mengumumkan PKP semalam.

4. Logiknya lebih baik beliau terus mengumumkan perisytiharan darurat oleh Tuanku Yang Di-Pertuan Agong sahaja hari ini dan isu PKP sudah tidak relevan lagi.

5. Darurat mengatasi PKP. Hanya SOP PKP sahaja yang akan diguna pakai ketika darurat dan tiada lagi istilah PKP, PKPB, PKPP, PKPD dan sebagainya.

6. Hanya Ordinan Darurat yang digubal di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan akan diterima pakai.

7. Justeru, pada hemat saya, Darurat 2021 ini hampir sama dengan Darurat 1969 apabila YDP Agong akan melantik satu Jawatankuasa Bebas (ibarat MAGERAN) bagi menasihati baginda.

8. Manakala kedudukan Perdana Menteri dan barisan kabinet serta semua anggota Parlimen telah digantung.

9. Oleh itu saya tidak dapat bersetuju dengan pendapat 3 tokoh pemimpin Pakatan Harapan yang menyatakan darurat akan memberi kuasa penuh kepada Perdana Menteri. 

Rujuk pautan:

https://www.malaysiakini.com/news/558668

10. Saya tidak setuju kerana Perdana Menteri  tiada lagi memiliki apa-apa kuasa sekarang dan kuasa tertinggi telah kembali kepada Persekutuan iaitu ke bawah YDP Agong menurut Perkara 32 Perlembagaan iaitu YDP Agong adalah Kepala Utama Negara.

11. Dan Perdana Menteri juga tiada lagi kuasa Eksekutif ketika ini kerana semasa tempoh darurat, kuasa tersebut adalah hak baginda YDP Agong sendiri mengikut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 150 (4) Perlembagaan Persekutuan.

12. Jawatankuasa Bebas di bawah YDP Agong yang bakal ditubuhkan di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan inilah yang sebenarnya memegang kuasa penuh, bukan lagi tanggungjawab Perdana Menteri.

13. Oleh itu, saya mencadangkan terma rujukan Jawatankuasa Bebas ini bukan sahaja meliputi isu membendung wabak Covid-19 tetapi hendaklah juga diperluaskan lagi kepada memulihkan ekonomi, menjajarkan semula kekalutan politik negara dan mengukuhkan ketenteraman awam bagi mengembalikan keharmonian masyarakat.

14. Indonesia telah membuktikan kemasukan berbilion pelaburan asing baru semasa zaman Covid-19 ini. Keyakinan pelabur terhadap Malaysia hanya boleh dikembalikan oleh Jawatankuasa Bebas di bawah kuasa YDP Agong. 

15. Biarkan orang politik terkurung murung di rumah masing-masing dan biarkan mereka sedar bahawa mereka tiada kuasa apa-apa apabila rakyat bersama Raja bersatu mengajar mereka apa erti keharmonian.

16. Sekali lagi saya tegakkan, pendapat saya ini bukanlah yang paling betul tetapi inilah pandangan yang paling jujur, ikhlas dan berterus-terang dari hati saya.

Tidak suka tidak mengapa, abaikan sahaja. Jika suka sila kongsikan. 

Terima kasih.

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

(Penulis juga dikenali sebagai Buzze Azam) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts