DEMOKRASI DUNIA RUNTUH SEBAIK BANGUNAN US CAPITOL DIREMPUH

418
SHARES
2.5k
VIEWS

Haji Rashidi bin Haris

12 Januari 2021

1. Tarikh 6 Januari 2020, merupakan hari demokrasi dunia terhempas sebagaimana berkecainya demokrasi di Amerika Syarikat apabila penyokong bekas Presiden Donald Trump merempuh masuk ke bangunan United States Capitol bertujuan menghalang sesi Kongres yang diadakan untuk mengesahkan kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46.

2. Detik bencana ini terjadi apabila Amerika yang selama ini mendabik dada sebagai Polis Dunia kini terperosok ke arah kehancuran hasil buatan tangan Presiden mereka sendiri yang tidak mahu terima kekalahan, lalu menganjurkan kebangkitan dan menghasut rakyat menyerbu ke Pusat Kongres US dan pentadbiran negara di Capitol Hill. Joe Biden, daripada parti Demokrat membidas tindakan Donald Trump yang mendorong insiden detik ‘paling hitam’ dalam sejarah negara itu. Dan menganggap tindakan melampau oleh penyokong Trump daripada parti Republikan sebagai ‘pemberontakan’.

3. US sebagai sebuah kuasa besar dunia mempertontonkan sikap bekas Presiden yang akan tamat kuasanya pada 20 Januari 2021 – negara yang kononnya menjuarai dunia sekian lama mengajar memulakan peperangan ke atas negara-negara dunia ketiga konon atas prinsip “to restore democracy” akhirnya mengkhianati sistem yang dipelopori mereka sendiri. Jika demokrasi Amerika gagal, bagaimana negara lain, apakah Malaysia akan terpalit juga suatu hari nanti sedangkan kita mengamalkan sistem pentadbiran negara secara Sistem Raja Berperlembagaan?

4. Negara pernah melalui detik gelap rusuhan kaum sewaktu Peristiwa Berdarah 13 Mei, tahun 1969 dan pengisytiharan darurat telah berjaya menyelamatkan keadaan hingga negara kembali tenang dan aman. Namun, tidak dinafikan keadaan yang sama boleh berulang lagi jika pihak keselamatan terlalu berlembut menangani kumpulan ekstremis yang daripada mereka ini boleh mencetuskan bibit-bibit punca kepada tahap keganasan seperti yang berlaku di Amerika.

5. Antara yang membimbangkan apabila terdapat pihak tertentu sedang berusaha menghidupkan kembali fahaman komunisme dan sudah berani menonjolkan diri dengan mengadakan alumni komunisme, dan terbaru restoran bertemakan komunisme. Lebih mengejutkan apabila mereka sudah berani hendak menyaman pihak PDRM dengan alasan melanggar hak asasi sebagaimana tersiar dalam satu portal tabloid yang kemudiannya dikatakan ‘fake news‘.

Pautan rujukan:

https://malaysiapolitik.com/?p=2552

6. Begitu juga kita melihat kebelakangan ini provokasi bertubi-tuni oleh politikus kita dengan melakukan aktiviti lobi-melobi, rasuah-merasuah, ugut-mengugut, boikot-memboikot dan sebagainya di kalangan Ahli-ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan yang sah selepas sidang Parlimen baru-baru ini amat membimbangkan seluruh rakyat. Kekecohan dicetuskan oleh Ahli Parlimen sendiri yang sepatutnya menunjukkan sikap profesionalisme yang tinggi.

7. Bagi Ahli Parlimen Melayu Islam mereka harus sedar tanggungjawab besar sebagai insan yang banyak kelemahan dan wajib menjaga maruah diri, kerana telah diperakui sebagai wakil bagi umat Islam dan atas dasar itu, sebagaimana Allah SWT memerintahkan para Rasul dan para Nabi AS serta umat Islam melakukan taubat dan amal setiap waktu supaya benar-benar menjadi hamba yang dikasihi Allah, dirahmati dan diberkati-NYA sehinggalah kita menemui-NYA (Surah Az-Zariyat: ayat 56), roh dan isi Surah Al-‘Asr juga, di mana insan diperintah berpesan-pesan dengan kebenaran dan dengan kesabaran kerana sesungguhnya manusia sentiasa dalam keadaan kerugian.

8. Dan apa yang lebih penting lagi ialah janji azali manusia kepada Allah sebagai hamba, mengakui Allah sebagai Rabb (Pemilik/Penguasa) malah mengaku sifat Rububiyyah itu apabila ditanya Allah SWT sendiri (Surah Al-A’raf: ayat 172). Peringatan-peringatan Allah SWT tersebut adalah wajib dan seharusnya sentiasa menjadi pegangan setiap Muslim dalam apa jua keadaan, tindakan dan hasrat yang diingininya. Jangan kita sebagai Muslim lupa dan berlaku derhaka kepada-NYA kerana derhaka kepada Raja yang memerintah amat berbeza dan jauh sekali daripada konsep derhaka kepada Allah selaku Pencipta manusia!

9. Atas premis ini jugalah semua pemimpin politik Melayu-Islam wajib bermuhasabah diri masing-masing ke arah mana peranan yang wajib mereka mainkan dalam suasana kecelaruan politik yang negara sedang alami. Kini ia bukan lagi isu antara kepentingan menjana ekonomi negara atau memperketatkan kawalan wabak Covid-19. Negara kini diasak kuat oleh Ahli-ahli Parlimen yang sedang berebut kuasa sama ada ke arah blok Perikatan Nasional atau kembali jatuh ke blok Pakatan Harapan Plus. Dalam bahasa mudah – politikus kita lupa tanggungjawab sebagai pemimpin ummah tetapi kuat berkempen untuk meraih kuasa dan posisi politik yang lebih menjaminkan kedudukan politik masing-masing.

10. Jangan mengapi-apikan rakyat untuk bangkit memprotes besar-besaran ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Jika itu sahaja cara untuk menghentikan kegilaan ini, tidak mustahil rakyat akan bangun menuntut hak dan demokrasi mereka. Rugilah Ahli Parlimen yang menolak anugerah Allah SWT tidak bijak – memilih kaca daripada permata – mereka hanya ikut nafsu amarah dan tamak kuasa bersedia menjatuhkan kerajaan dengan cara berkerjasama dengan pihak pembangkang mengasak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan melaksanakan PRU-15 di kala ini. Sungguh gila dan tidak rasional mana-mana Ahli Parlimen yang masih ketagihan kuasa untuk mengambilalih kerajaan Perikatan Nasional termasuklah Anwar Ibrahim yang sudah terbukti derhaka kepada YDP Agong dengan menipu Baginda dan seluruh Dewan Parlimen.

11. Maka kita mengajak seluruh rakyat yang sayangkan keamanan negara dan ingin membantu kerajaan Perikatan Nasional sebagaimana perutusan Perdana Menteri semalam mengajak rakyat bangkit semula bersungguh-sungguh membanteras dan mengawal penyebaran wabak Covid-19. Bilangan kes yang semakin meningkat mendorong Majlis Keselamatan Negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB), dan PKP Pemulihan (PKP-P) mengikut ketetapan bagi negeri-negeri tertentu bermula 13 Jan hingga 26 Jan 2021. Dan dengan tidak lupa keadaan banjir yang melanda negeri-negeri di pantai timur.

12. Saat ini, politik harus dikesampingkan dahulu daripada kekalutan niat oleh kumpulan terdesak yang mahu menjatuhkan kerajaan, rakyat perlu membantah sebarang usaha daripada mana-mana parti atau pihak atau blok politik untuk menjatuhkan kerajaan di saat bencana ini. Sekarang bukan masa untuk berpolitik tikam-menikam atau lobi-melobi kuasa atau mengadakan PRU mengejut. Ini masa menggembleng seluruh tenaga untuk bangkit semula dan selamatkan negara. Hanya suara dan kehendak keramat rakyat yang dapat membetulkan kegilaan politikus oportunis ini.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts