MELAYU TIDAK PERLU BERSATU TETAPI PERLU BERSAMA

450
SHARES
2.6k
VIEWS

1. Pada tahun 2010 di Majlis Pelancaran PERKASA Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh YB Tan Sri Isa Samad selaku Menteri Besar negeri tersebut ketika itu, antara ucapannya Tan Sri Isa dengan sinis menyebut, “jangan berangan atau bermimpi Melayu boleh bersatu”. Beliau menekan hal itu kerana mengetahui usaha PERKASA adalah untuk menyatukan orang Melayu.

2. Tambah beliau, setiap kali orang Melayu bersatu, tentu akan ada individu yang keluar bersama penyokongnya menubuhkan wadah lain. Ini adalah tabiat orang Melayu katanya. Ada benarnya kata-kata Tan Sri itu. Parti-parti Melayu kini makin bertambah dari masa ke semasa. Lagi banyak parti orang Melayu, lagi susah untuk orang Melayu bersatu. Sebenarnya, bukan orang Melayu tidak mahu bersatu, tetapi pemimpin-pemimpin Melayu yang tidak mahu bersatu. Puncanya kerana ketua-ketua di dalam parti itu yang tidak mahu melepaskan jawatan. Terutamanya presiden-presiden parti.

3. Jika ada 10 buah parti politik Melayu, pastinya sukar untuk bubarkan 9 buah parti dan 9 orang Presiden turun jawatan. Ini sudah pastinya tidak akan berlaku. Maka kita mengharapkan kepada majoriti orang Melayu yang tidak berparti, bersama-sama berani untuk berubah dengan mengundi calon dari satu parti sahaja di mana-mana kawasan yang dipertandingkan bagi memastikan sebuah parti Melayu sahaja menguasai politik negara. Itu sahaja cara untuk menyatukan kuasa politik orang Melayu.

4. Sejak PRU tahun 1990, orang Melayu dilihat sudah mulai berpecah. Dengan adanya Semangat 46 (S46) bekerjasama dengan PAS dan DAP, kerusi UMNO sikit terjejas tetapi masih mempunyai majoriti yang besar. PAS menguasai Kelantan. Begitu juga dengan PRU 1995, keadaan tidak banyak berubah dan PAS terus kekal menguasai negeri Kelantan.

5. Bila PRU-10 tahun 1999, majoriti BN dan UMNO sedikit menurun kerana adanya parti baru masa itu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pengaruh Anwar Ibrahim. Akibatnya Barisan Nasional ‘hilang’ Terengganu. Manakala masa PRU-12 tahun 2008, kuasa politik Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO hilang 2/3 kerusi Parlimen, antaranya negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Terengganu. Mereka kecundang kepada pembangkang menjadikan 6 negeri berada di bawah penguasaan Pakatan Rakyat termasuk Kelantan.

6. Dan pada PRU-13 2013 BN terus kekal tubuh kerajaan tetapi dengan majoriti yang semakin berkurangan, cuma ada sedikit penambahan kerusi UMNO. Masa itu, di Semenanjung, orang Melayu sudah ada 5 parti iaitu UMNO, PAS, PKR, PRSM dan BERJASA. Pada PRU-14 2018, parti Melayu bertambah lagi dengan adanya PPBM, Amanah (PAN) dan Ikatan. Barisan Nasional pertama kalinya kecundang dengan gabungan baru Pakatan Harapan yang menang dengan majoriti kurang 2/3 dan menubuhkan kerajaan baru. Barisan Nasional hanya dapat kekalkan kuasa di Perlis dan Pahang sahaja. Lain-lain negeri diperintah Pakatan Harapan.

7. Apabila Pakatan Harapan memerintah, ramai yang mengatakan kuasa politik orang Melayu sudah hilang. Benarkah begitu? Tidak, ia tidak benar sama sekali. Politik orang Melayu mungkin berpecah atau tidak bersatu, tetapi kuasa politik Melayu masih majoriti. Sekarang, Perikatan Nasional pula berkuasa setelah mainan politik tidak bermaruah oleh sesetengah Ahli-ahli Parlimen Melayu apabila tidak menghormati mandat rakyat. Jika Ahli Parlimen Melayu semuanya berpegang kepada prinsip perjuangan, baik dalam Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, tentu sekali mereka tidak akan mengkhianati mandat orang Melayu kepada mereka untuk berkuasa.

8. Alasan untuk satukan kuasa politik Melayu demi Islam dan Melayu cuma retorik politik sahaja untuk mengejar kuasa dan jawatan, ini terbukti apabila tiada perubahan besar dalam agenda membela nasib umat Melayu Islam, malah keadaannya bertambah parah. Dari dahulu lagi ramai pemimpin-pemimpin Melayu menjual nama Islam dan Melayu untuk berkuasa. Baik dalam Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional ataupun sekarang ini Perikatan Nasional. Tetapi apabila mereka memegang kuasa, orang Melayu tetap menjadi peminta sedekah, manakala kaum lain semakin kaya. Sebagai contoh; tanah rizab Melayu masih tidak dapat dikembalikan sebaliknya lebih mengecewakan apabila kaum lain diberi pajakan tanah selama 999 tahun. Biasiswa JPA untuk anak Melayu masih tidak dikembalikan sama seperti jumlah asal kuotanya.

9. Orang Melayu terus menagih rumah mampu milik tetapi 70 peratus pembangunan perumahan adalah “rumah mampu lihat” sahaja kepada orang Melayu. Peluang kontrak dari kerajaan semakin terbuka luas kepada kaum lain, mengecil kepada Bumiputera. Manakala pegangan ekuiti Bumiputera terus merundum.

10. Pada PRU-15 nanti, kita bakal saksikan beberapa lagi parti Melayu baharu turut serta bertanding seperti PUTRA dan dua lagi parti iaitu Pejuang dan Muda (majoritinya orang Melayu) yang masih menunggu kelulusan pendaftaran. Parti-parti lain sedia ada yang majoriti ahli dan pimpinannya terdiri daripada orang Melayu di Semanjung seperti UMNO, PPBM, PAS, PKR, Amanah (PAN), PUTRA, Berjasa, Ikatan, Pejuang dan Muda akan bertembung sesama mereka di kawasan majoriti Melayu. PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan bersama DAP pastinya tidak akan meletakan calon Cina kiasu DAP di kawasan majoriti Melayu. Justeru, kawasan-kawasan seperti itu akan ditanding dan dimenangi oleh calon Melayu sahaja. Hanya daripada parti mana belum dapat dipastikan.

11. Orang Islam dan Melayu di kawasan-kawasan seperti itu tidak perlu risau sebenarnya. Siapapun yang akan menang di kawasan mereka, tetap Melayu yang menang. Calon yang menang itulah yang perlu bertanggungjawab kepada kepentingan Islam dan Melayu, walau dalam parti manapun mereka berada.

12. Di sesetengah kawasan majoriti pengundi Melayu adalah tipis, kebiasaannya parti-parti akan meletakkan calon bukan Melayu. Apabila ini berlaku, orang Melayu perlu mengundi calon Melayu ada yang turut bertanding bawah parti yang bersendirian tanpa bersatu dengan mana-mana pakatan. Tidak ada alasan munasabah yang boleh diterima untuk memilih calon bukan Melayu jika ada calon Melayu turut sama bertanding. Pengundi Melayu perlu fikirkan tentang kerusi orang Melayu di Parlimen.

13. Apabila pengundi Melayu sedar betapa besar peranan mereka, maka secara tidak langsung Ahli Parlimen Melayu juga akan sedar peranan dan tanggungjawab mereka. Semuanya demi Islam dan Melayu sebagai matlamat dan landasan hidup ini yang harus diutamakan. Tidak kira parti mana sekalipun beliau wakili, Ahli Parlimen Melayu ada tanggungjawab besar memikul amanah untuk kedaulatan agama Islam dan pemerkasaan bangsa Melayu.

14. Mereka tidak perlu bersatu dalam satu gabungan mahupun dalam satu parti. Yang perlu dilakukan adalah untuk bersama-sama bersuara mempertahankan agenda Islam dan Melayu. Sebagai contoh isu arwah Adib, seorang penjawat awam yang dibunuh semasa rusuhan ketika menjalankan tugas. Ahli Parlimen Melayu patut bersama-sama merasa tanggungjawab mendapatkan keadilan untuk keluarga arwah Adib.

15. Tanpa mengira parti, Ahli Parlimen Melayu harus bersama bersuara dengan tegas kepada kerajaan untuk menyelesaikan kes tersebut seberapa segera. Termasuklah Ahli Parlimen Melayu daripada parti kerajaan sendiri. Lihatlah bagaimana Ahli  Parlimen bukan Melayu boleh bersama dalam kes mendiang Teoh Beng Hock, isu ladang durian di Raub, isu UEC, isu sekolah vernakular dan lain-lain isu tidak kira daripada parti apapun mereka berada.

16. Begitu juga isu dakyah Kristianisasi terhadap orang Melayu oleh mubaligh Kristian yang terang-terangan melanggar Perlembagaan Negara. Ahli Parlimen Islam tidak kira parti apapun perlu bersama bersuara tegas minta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mubaligh-mubaligh Kristian itu sehingga kegiatan itu terhenti terus. Ahli-ahli Parlimen Melayu bersama dalam isu kepentingan Islam dan Melayu sudah memadai walaupun ada 20 parti Melayu. Belajarlah dari Ahli-ahli Parlimen bukan Melayu. Malulah dengan mereka walaupun bukan sahaja berbeza parti politik, malah berbeza agamapun mereka boleh bersama dalam semua kepentingan mereka.

17. Pengundi-pengundi Melayu dalam menuju PRU-15, boleh memulakan peranan memperlihatkan bahawa orang-orang Melayu sudah ‘lapar’ dan ‘dahaga’kan suara pemimpin-pemimpin politik Melayu yang benar-benar tegas dalam memperjuangkan Islam dan Melayu. Beri isyarat kepada pemimpin-pemimpin Melayu dalam parti-parti politik tertentu bahawa undi orang Melayu hanya untuk parti yang pemimpin-pemimpinnya berani dan tegas mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu. Jika ini dapat dilakukan, parti-parti yang majoriti pimpinan Melayu akan berlumba-berlumba ke hadapan bersuara mengenai kepentingan Islam dan Melayu.

18. Wakil orang Melayu melalui wadah apa sekalipun, bolehlah kerap membuat kenyataan-kenyataan secara jelas menyokong suatu yang positif untuk Islam dan Melayu oleh mana-mana pemimpin Melayu daripada parti-parti tertentu supaya pemimpin-pemimpin Melayu dari parti yang lain tidak mahu ketinggalan. Maka beruntunglah orang Islam dan Melayu serta Bumiputera.

19. Apabila tiba PRU-15, pengundi-pengundi Melayu wajar menolak calon-calon daripada parti yang tidak tetap perjuangannya. Jika ada sesuatu isu, mereka dan parti mereka kerap bertukar pendekatan atau kenyataan berbeza-beza yang ketara. Sekejap boleh sekejap tidak boleh. Sekejap halal sekejap haram. Pemimpin-pemimpin dan parti-parti seperti itu adalah jelas hanya memikirkan agenda peribadi dan bukan untuk rakyat. Yang penting undilah calon Melayu yang bersih dan mempunyai rekod hebat dalam memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu. Pastikan semua calon Melayu menang di kawasan-kawasan majoriti tipis jumlah pengundi Melayu untuk menambahkan kerusi Melayu di Parlimen.

20. Akhir sekali, umat Islam dan Melayu perlu bersedia mengubah minda. Jangan terlalu terikat dengan sesebuah parti. Ini akan membuatkan pemimpin-pemimpin parti itu akan merasakan mereka berbuat apapun, Melayu tetap akan mengundi calon-calon partinya. Melayu perlu buat kejutan pada PRU-15 nanti. Bersama kita pilih ‘hero sebenar’ dan bukan ‘hero lakonan’. 

Melayu tidak perlu bersatu dalam parti atau pakatan politik, tetapi Melayu perlu bersama demi Islam dan bangsa.

Syed Hassan Syed Ali

Setiausaha Agung

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) 

9 Januari 2021

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts