MASALAH BEKALAN AIR MERUNCING, BUKTI KERAJAAN PH SELANGOR LEMAH

351
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Lau Chin Kok

130 kawasan terputus bekalan air akibat paip pecah, karajaan Selangor masih tidur lagi?

Kerajaan Pakatan Harapan Selangor sanggup membutakan mata terhadap masalah bekalan air yang semakin meruncing dalam negeri, termasuk terputus bekalan air di 130 kawasan di daerah-daerah Kelang, Shah Alam dan Petaling.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Selangor sebagai negeri maju mengalami masalah terputus bekalan air hampir setiap bulan. Banyak kepincangan dan kesilapan berlaku di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Ini menunjukkan kerajaan PH Selangor begitu lemah dalm pentadbirannya.

Sudah sekian lama kerajaan PH Selangor melaungkan tentang pembangunan serta amat berbangga dengan kemajuan dalam pentadbirannya. Di mana kemajuannya? Adakah kejadian gangguan bekalan air yang kerap sesuatu yang patut berlaku di sebuah negeri maju?

Banyak sangat alasan yang diberi, dari sungai dicemari kilang haram, sehinggalah kerosakan di loji rawatan air dan lain-lain. Sekarang berlaku pula di 130 kawasan melibatkan beribu-ribu isi rumah terkesan akibat paip pecah. Apa pula rancangan dan solusi kerajaan Selangor?

Sudah lebih 10 tahun Pakatan Harapan memainkan isu bekalan air. Sekarang masalah bekalan air di Selangor telah mencapai tahap sangat runcing. Apakah formula pragmatik yang kerajaan Selangor ada, bagi mengatasi masalah ini, selain mengaut keuntungan politik dengan taktik-taktik populis?

Sekiranya kerajaan PH Selangor masih gagal menyelesaikan masalah seharian penduduk ini, mereka wajar meminta bantuan untuk membela rakyat, ataupun meletak jawatan beramai-ramai sebagai tanda bertanggungjawab, bukannya terus membisu dan hanya menyapu masalah ke bawah karpet.

(Penulis merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA dan Naib Pengerusi MCA Bahagian Puchong)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts