BILA PULA HAMID BADOR AKAN MEMINTA MAAF KEPADA NAJIB SEKELUARGA?

8.6k
SHARES
50.5k
VIEWS

Umum tahu Tan Sri Abdul Hamid Bador merupakan penyokong dan pendokong setia Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tindakan beliau selaku penjawat awam yang memihak kepada mana-mana tokoh politik bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana tidak menjadi masalah seorang penjawat awam ingin berpolitik, asalkan segala tindakan dan perbuatannya ketika menjalankan tugas-tugas hakiki seorang penjawat awam tidak terbantut.

Sebagai contoh tidak salah seorang anggota polis ingin memihak kepada parti PKR jika ketika menjalankan tugas membuat sekatan jalan raya beliau bertindak adil kepada sesiapa sahaja yang ditahan.

Apa yang menjadi masalah ialah apabila beliau tidak menahan individu yang diketahuinya menyokong PKR sepertinya, sebaliknya hanya mengenakan tindakan terhadap mereka yang tidak menyokong PKR.

Justeru jika Hamid Bador ingin memihak kepada Tun Mahathir sekalipun selagi ia tidak ‘merosakkan’ justifikasi beliau dalam menegakkan undang-undang, ia tidak menjadi masalah.

Yang menjadi masalah ialah apabila beliau meminta maaf kepada Lim Guan Eng apabila pihak polis terkhilaf memanggil Setiausaha Agung DAP itu ke balai pada tarikh yang tidak bersesuaian iaitu sehari sebelum perayaan Krismas, di mana Lim Guan Eng diketahui sebagai penganut Kristian.

Tindakan polis memanggil Guan Eng sehari sebelum perayaan besar penganut Kristian ini memang sangat tidak wajar dan perlu dipinda ke satu tarikh yang lebih bersesuaian dan akhirnya pihak polis menundanya ke tahun hadapan.

Memang wajar Hamid meminta maaf atas kekhilafan pasukannya itu yang tidak peka dengan perkara tersebut dan diharapkan tidak berlaku lagi di masa hadapan. 

Namun timbul pula persoalan, sudahkah Hamid Bador meminta maaf atas insiden rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak diserbu pada hari pertama Ramadan, sebaik sahaja beliau pulang berterawih di Masjid Kampung Baru? 

Janganlah hanya apologetik terhadap kaum dan bangsa lain apatah lagi Guan Eng diketahui umum sebegitu baik dengan Tun Mahathir, tetapi tidak menyantuni pula individu yang seagama dan sebangsa dengannya, sedangkan ia juga dilakukan pada waktu dan tarikh yang tidak patut dilakukan.

Tiada juga kedengaran beliau meminta maaf terhadap keluarga Najib atas penyerbuan ke rumah Allahyarhamah Tun Rahah, bonda kepada Najib yang juga isteri kepada negarawan terbilang iaitu bekas Perdana Menteri kedua, Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein, bahkan sehingga siling rumah beliau dipecahkan kononnya bagi mencari bukti namun tidak juga menjumpai apa-apa di sana.

Tidak juga kedengaran beliau hadir ke hospital menziarahi Tun Rahah atau ke majlis pengebumian dan belum kedengaran beliau ke majlis tahlil setakat ini, di mana setiap hari Raja Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sendiri mencemar duli hadir ke majlis tahlil kepada isteri seorang negarawan terbilang.

Bahkan sebelum itu Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut mencemar duli ke hospital bagi menziarahi Tun Rahah, beserta dengan beberapa Sultan yang lain, menunjukkan betapa prihatinnya Raja-raja Melayu di negara ini. 

Justeru Hamid Bador wajar berlapang dada, lebih baik memohon maaf atas kekhilafan pasukannya menyerbu ke rumah Allahyarhamah Tun Rahah serta serbuan ke rumah anaknya Najib pada hari pertama Ramadan, sama seperti beliau sanggup meminta maaf kepada Guan Eng. 

Tidak akan hilangpun bisanya jika ular menyusur akar, bahkan beliau yang akan bersara pertengahan tahun hadapan akan dilihat lebih berkarisma dan berjiwa besar.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts