DAKWAH TABLIGH ADALAH USAHA MENYANTUNI SELURUH UMAT

1.9k
SHARES
11k
VIEWS

Jemaah Tabligh (JT) dikenali sebagai satu pergerakan dakwah di seluruh dunia yang dihidupkan kembali di benua India sekitar 100 tahun dahulu.

Walaupun usaha ini dihidupkan kembali di benua India namun ia telah berkembang di seluruh dunia dan mungkin Tabligh adalah satu usaha dakwah yang paling terkenal berbanding pergerakan agama yang lain dan mengatasi parti Islam di seluruh dunia yang terhad dan berbeza pendekatan di setiap negara.

Salah faham mengenai JT bermula apabila ramai yang berpendapat JT ini dipelopori oleh masyarakat India dan hanya sesuai di India sahaja kerana apabila usaha dakwah ini dihidupkan kembali di India oleh Allahyarham Maulana Ilyas maka masyarakat terus membuat kesimpulan tersebut dan orang yang membuat usaha ‘dakwah Tabligh’ ini digelar sebagai ‘orang Tabligh’.

Walaupun Maulana Ilyas sendiri berketurunan Arab dari keturunan Saidina Abu Bakar R.Anhu namun kerana lapangan dakwahnya bermula di India maka di situlah bermulanya kritikan terhadap usaha murni JT ini.

Sedangkan usaha dakwah Tabligh ni sebenarnya adalah usaha dakwah yang dibuat oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat R.Anhum sejak lebih 1400 tahun dahulu dan ulamak Tabligh berusaha untuk meniru dan mengajarkan 100 peratus cara yang sama dan tidak ada perbezaan sedikitpun dengan dakwah Rasulullah SAW bermula dengan cara membetulkan iman, cara beribadat, cara bercakap dan bergaul serta belajar mengamalkan cara akhlak Rasulullah SAW dan para Sahabat R.Anhum.

Maklumat mengenai mereka boleh didapati melalui rujukan Al-Quran dan pelbagai hadis untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai usaha Tabligh dan tentunya ia boleh dirujuk melalui ulamak mereka di markas Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling di Bandar Baru Sri Petaling untuk mendapatkan pencerahan lanjut.

Masjid tersebut juga terbuka 24 jam dan tidak mempunyai sebarang pintu serta sesiapa sahaja boleh menziarahi dan menyantuni JT dan ulamak-ulamak di sana untuk mendapatkan pencerahan termasuklah beriktikaf.

Apa yang menariknya JT berpendirian tidak mencampuri urusan politik mana-mana negara dan ini bertepatan dengan usaha dakwah Nabi SAW yang sukar difahami oleh setiap parti Islam sendiri.

Menurut JT, apabila mereka mula mencampuri urusan politik maka usaha ini mula akan memihak dan pandangan serta ulasan mereka akan dikeluarkan mengikut parti yang disokongi oleh mereka dan ini akan membuatkan umat berpecah-belah.

Pendirian ini juga membuatkan parti Islam di setiap negara kebanyakannya memandang sinis Jemaah Tabligh kerana tidak menyokong mereka menegakkan negara Islam sedangkan sepatutnya parti Islam sewajarnya bersikap menyantuni dan saling melengkapi kerana sama-sama memperjuangkan Islam.

Berikut adalah fakta menarik mengenai Jemaah Tabligh yang boleh diteladani:

  • ‘Keluar’ atau ‘khuruj’ selama 3 hari dalam sebulan, 40 hari dalam setahun dan 4 bulan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup untuk belajar ‘mujahadah’ atau berkorban harta, masa dan diri dalam usaha dakwah
  • Ungkapan istimewa mereka untuk ‘belajar usaha atas iman’ ataupun untuk betulkan percakapan adalah dengan sentiasa membesarkan Allah dengan mengungkapkan kata-kata, “Mahkluk tiada kuasa, Allah Maha Kuasa,” serta “Dunia sementara, akhirat selamanya”
  • Membuat ziarah dari rumah ke rumah untuk bertemu dengan setiap orang Islam di kawasan masing-masing ataupun di kawasan sekitar masjid ketika ‘keluar’ tanpa mengira latar belakang siapapun yang dijumpai
  • ‘Keluar’ sehingga ke luar negara dan difahamkan tiada sebuah negarapun yang tidak pernah dijejaki oleh JT
  • Melazimkan diri mereka untuk ‘iktikaf’ ataupun berdiam di masjid termasuk tidur, dengan menghidupkan adab-adab sunnah iktikaf
  • Menghidupkan ‘ibu’ sunnah iaitu sunnah dakwah dan belajar menghidupkan keseluruhan sunnah secara 24 jam dalam kehidupan sepanjang masa
  • Menghidupkan amalan masjid sepanjang masa terutamanya solat berjemaah lima waktu
  • Menggunakan duit sendiri dan tidak dibenarkan meminta-minta daripada sesiapa untuk ‘keluar’ dan tidak ‘mengharapkan makhluk’ ataupun bermaksud tidak mengharapkan bantuan sesiapa
  • Tidak dibenarkan mengutip derma untuk pergerakan Tabligh dan diri sendiri bahkan di markas Sri Petaling juga tidak mempunyai sebarang tabung
  • Kaedah dakwah JT adalah dengan ‘mengajak’ manusia kepada Allah dengan penuh kasih sayang dengan memulakannya agar mereka mendekati masjid dan bersolat jemaah lima waktu
  • Sesiapa sahaja ke markas mereka di Sri Petaling pada setiap malam Sabtu akan dapat melihat pelbagai terjemahan bahasa seperti Bahasa Inggeris, Urdu, Bangladesh, India termasuklah bahasa isyarat di setiap sudut masjid apabila ada tazkirah agama ataupun dikenali di kalangan JT sebagai ‘bayan’ yang disampaikan oleh ulamak mereka
  • JT tidak meminggirkan sesiapa dalam usaha dakwah mereka termasuklah golongan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mampu mendengar, bisu dan buta serta mereka juga akan mengikut tertib untuk keluar dakwah 3 dan 40 hari serta 4 bulan yang akan ditemani oleh sekurang-kurangnya seorang penterjemah dalam setiap jemaah
  • Ketua jemaah dikenali sebagai ‘Amir’ dan bertukar-tukar sepanjang masa tanpa ada yang tetap dan tidak menghairankan sekiranya ketika mereka keluar, kita akan dapati jemaahnya yang terdiri daripada golongan berpengaruh seperti ahli akademik ataupun cerdik pandai seperti Profesor ataupun pensyarah namun mereka sangat mentaati Amir yang dilantik dari kalangan mereka walaupun beliau adalah seorang pemandu teksi ataupun hanya seorang pengawal keselamatan
  • Menggunakan sistem ‘Syura’ dan mempunyai beberapa orang Syura setiap negara di seluruh dunia yang akan mentadbir seluruh usaha dakwah yang berpaksikan masjid di setiap tempat dengan menggunakan had kawasan yang dipanggil ‘mohalla’ iaitu mewakili sebuah masjid atau surau dan ‘halaqah’ iaitu mewakili satu kawasan yang lebih besar seperti kawasan Kepong yang mempunyai beberapa puluh buah masjid dan surau
  • Seluruh ‘ijtimak’ ataupun perhimpunan JT bersama orang ramai yang biasanya dihadiri oleh puluhan ribu orang akan dilaksanakan 100 peratus oleh ahli JT sendiri termasuklah mendapatkan kepakaran untuk khidmat memasak, keselamatan, menjaga hal ehwal air, bilik mandi dan tandas termasuk kebersihan dan menjaga trafik sehinggakan membina khemah dan memasang peralatan juga didirikan oleh JT sendiri melalui khidmat gotong-royong sesama mereka
  • Ijtima’ terbesar mereka diadakan di Tongi, Bangladesh setiap awal tahun dan dihadiri oleh jutaan manusia dari seluruh dunia namun apa yang menarik ijtima’ tersebut hanya melibatkan kaum lelaki dan dikatakan perhimpunan kedua terbesar selepas ibadah Haji

Selain itu terdapat banyak lagi keistimewaan JT yang mendapat sambutan di setiap negara mungkin juga kerana kecenderungan mereka yang tidak akan memihak dan bercakap mengenai politik malah sentiasa mesra dan tersenyum serta menyebarkan salam walaupun kepada mereka yang baru sahaja ditemui.

Kita mengharapkan usaha murni JT ini dapat disantuni oleh setiap lapisan masyarakat dan barangsiapa yang ada kemusykilan ataupun berminat dengan usaha dakwah ini boleh sahaja terus bertanyakan ke markas mereka di Sri Petaling.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts