KESELAMATAN, KESEJAHTERAAN DAN KEHARMONIAN RAKYAT DIUTAMAKAN

359
SHARES
2.1k
VIEWS

Pembatalan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi berikutan pengisytiharan darurat oleh kerajaan dianggap releven demi mengekang penularan wabak COVID-19. Berikutan daripada kes Covid-19 di Malaysia yang memasuki gelombang ketiga, kini menjadi satu kebimbangan bagi seluruh rakyat Malaysia. Jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil sistem ekonomi dan sosial negara akan lumpuh.

Namun pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi dianggap sebagai satu langkah yang bijak demi menjaga keselamatan negara serta mempertahankan ekonomi penduduk setempat.

Seperti yang kita ketahui, pengisytiharan darurat bukanlah bermakna perintah berkurung, namun ia dilaksanakan demi pembatalan PRK di Parlimen Batu Sapi. Dalam erti kata lain, aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Namun, ada segelintir masyarakat yang berpendapat bahawa pengisytiharan ini telah menyekat penduduk Batu Sapi di mana tentera dikerah untuk mengawal kawasan setempat. Tuduhan itu, sama sekali tidak benar.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita haruslah mendokong usaha-usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini, dan bukanlah menyebarkan berita palsu dan mencetuskan panik di kalangan penduduk setempat.

Jika tiada pengisytiharan darurat, dikhuatiri negara akan lumpuh hanya kerana pilihan raya ini. Kita jadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu sebagai satu iktibar di mana Sabah menjadi kawasan zon merah selepas PRN tersebut. Walaupun data menunjukkan bahawa kes kluster di Sabah bermula dari kes import iaitu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), namun tidak mustahil kebarangkalian penularan wabak itu akan menjadi tinggi sekiranya berlaku lagi pilihan raya di negeri itu.

Ini kerana, sewaktu pilihan raya walaupun ada penetapan SOP, namun pematuhan terhadap SOP itu dikhuatiri sangat lemah dan akhirnya mengakibatkan penularan berlaku dengan lebih cepat.

Kedua, pilihan raya juga telah mendesak orang ramai untuk merentas daerah dan membuka ruang kepada risiko penularan. 

Tambahan pula pada 18 November yang lalu sebanyak 1,459 kes aktif COVID-19 dengan 21 kes baharu, dan lima kluster telah dikenal pasti di kawasan Batu Sapi. Sementara jumlah pengundi berdaftar pula adalah sebanyak 32,962 dan 7,377 orang merupakan pengundi berumur 60 tahun ke atas di Parlimen Batu Sapi, ini merupakan satu risiko yang besar di mana ia dapat mengancam nyawa pengundi tersebut dan penduduk setempat.

Justeru itu, kehidupan harian penduduk di Batu Sapi yang berada di bawah pengisytiharan darurat haruslah berjalan seperti biasa dengan mengamalkan SOP di norma baharu. Tiada sekatan pergerakan yang dibuat oleh kerajaan, namun rakyat perlu mematuhi SOP yang telah biasa diamalkan sebelum ini.

Tambahan pula, kerajaan sudah memberi jaminan bahawa tiada perintah berkurung atau pemerintahan
ala tentera yang akan dibuat. Oleh yang demikian, menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini untuk menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

Stigma masyarakat yang selalu berpendapat negatif dalam setiap keputusan yang dilaksanakan oleh kerajaan haruslah dibuang. Perasan cinta akan negara pada masa ini amat diperlukan oleh semua lapisan masyarakat. Di saat getir ini, kerajaan telah berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat contohnya pakej rangsangan rakyat yang disalurkan serta Belanjawan 2021 yang dilihat sebagai satu sumber yang dapat membantu masyarakat menempuhi kehidupan harian.

Setakat ini, kerajaan telah menjalankan tanggunjawab yang terbaik demi mengekalkan keamanan negara. Oleh itu, rakyat juga harus memainkan peranan dalam mematuhi segala perintah yang diperuntukkan kerajaan. Segala arahan dan peraturan yang dibuat ketika penularan wabak ini, tidak lain hanyalah untuk mengekang penularan wabak serta menjaga semua rakyat.

Dalam mematuhi peraturan yang telah digariskan oleh kerajaan ketika pandemik ini, majikan juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja berada dalam keadaan selamat. Amalan waktu bekerja secara fleksibel dilihat pada hari ini telah menjadi norma, namun janganlah kita alpa dalam menjalankan tanggunjawab sebagai seorang pekerja yang harus melaksanakan tugas dengan amanah dengan jujur.

Dalam membina negara bangsa ketika negara dilanda wabak ini, majikan haruslah memainkan peranan penting dalam memberikan peringatan kepada pekerja dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Memang benar, di saat ini, ramai yang telah kehilangan pekerjaan, namun bukanlah menjadi satu alasan kepada majikan mahupun rakyat untuk patah semangat dalam meneruskan perjuangan ini.

Seperti yang telah kita ketahui, usaha kerajaan pada masa ini telah sehabis baik memenuhi kehendak semua rakyat. Belanjawan 2021 dilihat banyak membantu industri serta golongan yang terjejas.

Oleh itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab ayuhlah kita menyokong segala peraturan dan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan dan janganlah kita berpaling pada usaha-usaha yang telah dirangka demi kesejahteraan semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

Dr. Irza Hanie binti Abu Samah

Pensyarah Kanan (Pembangunan Sumber Manusia)

Universiti Teknologi Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts