CABARAN MAHATHIR: MENANGANI MENTERI TIDAK BERPENGALAMAN

368
SHARES
2.2k
VIEWS

Selepas Pakatan Rakyat mengumumkan kemenangan di PRU-14 pada 10 Mei lepas, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga berjaya mencipta sejarah sama seperti Winston Churchill dan Kevin Rudd sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali serta Tun Mahathir turut mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri tertua pada usia 93 tahun dengan menerajui Pakatan Harapan (PH).

Beliau menang bergaya ke atas parti Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama 61 tahun yang menjadikan BN sebagai parti tunggal memerintah sejak negara merdeka. Faktor ini juga yang menjadikan BN kalah pada PRU-14 lepas apabila faktor rakyat menolak parti lama dan ingin mencuba parti baharu dan isu penolakan terhadap Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, skandal 1MDB serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya sekadar faktor pelengkap.

Justeru Tun Mahathir menghadapi cabaran dengan mewarisi kerajaan yang hampir muflis menurut pandangan PH walaupun ditentang faktanya oleh BN, mewarisi hutang negara sebanyak lebih satu trilion ringgit apabila dimasukkan jumlah ‘tanggungan kontingen’ yang turut ditentang oleh kerajaan sebelumnya serta rizab negara yang dikatakan tertinggi oleh BN namun disangkal oleh PH pimpinan Tun Mahathir.

Tun Mahathir juga menghadapi cabaran apabila melantik Lim Guan Eng yang terdakwa di mahkamah dalam isu rasuah, yang memperlihatkan kecenderungan Lim terhadap kes 1MDB yang masih tiada dakwaan dibuat terhadap Najib walaupun dicanang hebat PH mempunyai bukti kukuh sebelum PRU-14.

Mungkin juga obsesi Lim terhadap Datuk Seri Najib dan kes 1MDB membuatkan Tun Mahathir hilang sedikit kepercayaan terhadap beliau dan menghantar utusan khas iaitu rakan lama beliau Tun Daim Zainuddin ke China bagi merundingkan beberapa perkara khas, yang sepatutnya diwakili oleh Lim.

Lim menjanjikan kes 1MDB akan diselesaikan dalam masa 100 hari namun bukan beliau menentukannya kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pasukan Petugas Khas 1MDB sendiri masih kelihatan terkial-kial mengumpul bukti untuk mendakwa Najib sehingga kini.

Tun Mahathir juga melantik Dr. Maszlee Malek sebagai Menteri Pendidikan yang sering membuat kenyataan kurang cerdik bagi menyokong DAP dan masyarakat Cina melalui isu pengiktirafan Sijil Peperiksaaan Bersepadu (UEC) dan Sekolah Menengah Pendidikan Cina (SMPC) serta tidak segan silu menyindir masyarakat Melayu kerana menerima BR1M selain kontroversi kasut hitam menggantikan kasut putih di sekolah-sekolah.

Dr. Maszlee juga menyalahkan kerajaan sebelumnya dalam isu penangguhan program kedoktoran, MyBrain kerana kekurangan dana namun memberi peruntukan kepada SMPC yang terlihat tidak adil selain di awal menjawat jawatan menteri beliau telah membuat kenyataan kontroversi dan zalim apabila meminta pensyarah dan jawatan kanan universiti untuk berhenti sekiranya menyokong pembangkang.

Selain dari cadangan pramatang beliau mengenai penjualan nombor plet kenderaan oleh setiap universiti awam seolah-olah memperlihatkan beliau mendengar cadangan dan rintihan dari beberapa rakan terdekat atau ahli keluarga seperti dalam isu kasut sekolah bewarna hitam.

Mungkin kerana inilah Tun Mahathir sendiri berhasrat sebelum ini untuk menjadi Menteri Pendidikan namun dibantah oleh pemimpin PH yang lain.

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook pula membuat dasar yang memenang dan menguntungkan industri teksi dan bukannya pengguna yang lebih ramai memilih menggunakan e-hailing berbanding perkhidmatan teksi yang menjadi masalah sejak sekian lama walaupun beliau sedar selama ini industri e-hailing banyak membantu kepada masyarakat mencari duit tambah selain menyumbang kepada pengurangan jumlah pengangguran di negara kita yang tidak pernah disumbangkan oleh industri teksi kerana kerumitan memperoleh dan monopoli permit oleh sesetengah syarikat teksi.

Sejak menjawat jawatan Menteri Pengangkutan, belum ada sebarang pertemuan dengan pengusaha teksi dan e-hailing sehingga kini namun akta mengenai e-hailing telahpun dikuatkuasakan yang turut memberikan impak negatif kepada Tun Mahathir dan membuatkan percaturannya semakin mencabar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali pula kelihatan janggal berada di posisi beliau kerana Selangor sendiri ketika beliau menjadi Menteri Besar terpalit dengan beberapa isu seperti isu air dan skandal tanah di Ijok selain berkrisis dengan Presiden PKR sendiri iaitu Datuk Seri Wan Azizah kerana dengan jelas Azmin mewujudkan kem lain dan antara sekutunya adalah Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraida Kamaruddin yang turut dilantik sebagai Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan dalam kabinet Tun Mahathir di mana Zuraida sendiri mempunyai isu integriti apabila media memaparkan beliau memiliki beberapa kenderaan mewah semasa menjadi Ahli Parlimen PKR dan pegawai khas beliau, Datuk Adam Rosly yang  memiliki rumah agam umpama istana berbilai RM7 juta.

Terkini Azmin dilantik sebagai salah seorang daripada Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad, yang menguatkan persepsi umum beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri dan bukannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hanya Syed Saddiq yang bersikap budiman dan tidak bersikap membalas dendam apabila sering memuji mantan Menteri Belia & Sukan, YB Khairy Jamaluddin apabila menyentuh mengenai Kementerian Belia & Sukan yang kini di bawah pimpinan beliau. Beliau juga bersikap rasional apabila bersikap tidak melayan permintaan sesiapa ingin mendapatkan sesuatu daripada kementerian dengan menggunakan nama parti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub juga seringkali tersalah cakap termasuk menyalahkan orang lain dan kerajaan BN (kini pembangkang) apabila berulangkali mengatakan mengenai harga barangan meningkat kerana GST dan peniaga tamak. Salahuddin juga merujuk fakta yang salah seperti hanya mendapatkan pandangan segelintir peniaga serta mengaku menjawab secara spontan apabila ditanya, yang menambah cabaran Tun Mahathir untuk mengepalai kabinet Pakatan Harapan.

Tun Mahathir kelihatan amat terdesak untuk mempunyai jemaah menteri yang betul-betul bijak dan efisien dalam membuat kerja serta perlu mampu menyesuaikan diri dengan cepat sebagai kerajaan dan bukannya sebagai pembangkang yang telahpun sebati dengan jiwa mereka.

Mungkin masa yang beliau perlukan namun adakah beliau mempunyai ‘masa’ yang cukup untuk menyelesaikannya kerana beliau sendiri sudah berumur 93 tahun dan seumpama Yoda, seperti yang dikatakan oleh Menteri Pendidikan beliau, Dr. Maszlee.

.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts