MEMORANDUM MENGHENTIKAN PENJUALAN LAMBAK ASET LADANG TH PLANTATION BERHAD

389
SHARES
2.3k
VIEWS

1. Sebagai usaha dan jalan terakhir bagi menghentikan penjualan aset ladang TH Plantation Berhad anak syarikat Tabung Haji, hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diwakili Penolong Setiausaha Datuk Hasmuni bin Hassan dan beberapa Exco Pemuda UMNO telah menyerahkan Memorandum Membantah Penjualan Aset-Aset Tabung Haji Plantation (THP) kepada 3 Menteri utama Kerajaan Perikatan Nasional khususnya YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed, Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dan YB Senator Datuk Dr. Haji Zulkfli Mohamad Al-Bakri, Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri.

2. Sejak zaman Kerajaan PH lagi, Pemuda UMNO telah membuat pendedahan termasuk pada 24 Januari 2020 setelah mendapati proses penjualan saham bernilai RM170 juta untuk 2 anak syarikat THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada syarikat swasta Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco), mencetuskan banyak keraguan dan persoalan.

3. Sehingga kini, penjelasan THP mengenai penukaran jurunilai profesional bagi THP, penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh jurunilai yang baharu serta harga jualan yang jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta masih tidak memuaskan.

4. Walaupun kerajaan telah mengarahkan THP menggunakan khidmat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia untuk membuat penilaian, THP didapati telah menulis sebanyak 3 kali kepada JPPH bagi merayu menurunkan nilai kedua-dua syarikat berkenaan bagi menjustifikasi harga jualan RM170 juta kepada Tamaco.

5. Adalah amat mengecewakan apabila TH Plantations masih berkeras mahu meneruskan agenda Kerajaan PH lalu untuk menjual 76.2 peratus daripada jumlah keluasan aset ladang 101,019 hektar.

6. Di dalam memorandum ini, Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kerajaan campur tangan bagi membatalkan serta-merta keputusan penjualan ini atas beberapa alasan antaranya:

(i) Aset-aset tanah ladang kelapa sawit THP adalah bernilai tinggi dan mempunyai potensi untuk dimajukan kelak.

(ii) Harga Minyak Sawit Mentah (“CPO”) kini di paras tinggi iaitu purata melebihi RM3,000 bagi satu tan.

(iii) Harga Buah Tandan Segar Sawit (“FFB”) juga kini berada di paras tinggi iaitu purata melebihi RM700 bagi satu tan; dan

(iv) Laporan Suku Ketiga Tahun Kewangan (3QFY2020) THP mencatatkan keuntungan sebanyak RM23.86 juta berbanding kerugian sebanyak RM40.01 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (2019).

7. Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui memorandum ini mendesak agar kerajaan segera campur tangan menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP ini, agar kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit TH dapat dijaga dan dipertahankan.

8. Pemuda UMNO juga masih tidak berganjak dengan pendirian kami agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan sebarang salah laku dalam Tabung Haji yang sering dibangkitkan sejak zaman PH.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

30 November 2020

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts