HUKUMAN LEBIH BERAT DAN PEMANTAUAN RAPI PERLU UNTUK MENCEGAH PENCEMARAN SUNGAI

348
SHARES
2k
VIEWS

Oleh Lau Chin Kok

Akibat daripada ketidakcekapan kerajaan negeri Pakatan Harapan dalam menjalankan kerja-kerja pemantauan dan pencegahan, mereka sekali lagi telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk merawat dan memastikan sumber air negeri bersih dan bebas daripada pencemaran.

Tidak sampai sebulan sejak gangguan bekalan air terakhir, rakyat Selangor sekali lagi dikejutkan dengan berita bahawa loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas disebabkan pencemaran bau. Namun begitu, masalah kali ini tidak begitu serius sehingga menyebabkan bekalan air terputus.

Hakikatnya, penduduk negeri Selangor sudah muak mendengar alasan pencemaran sungai. Tiada gunanya kerajaan negeri PH melaksanakan pelan kecemasan sekiranya masalah ini kerap berulang berkali-kali. Apa yang diperlukan adalah rancangan untuk mencegah masalah ini daripada berulang, dan bukannya rancangan yang akan dilaksanakan selepas berlakunya gangguan bekalan air.

Insiden pencemaran terbaru ini membuktikan dasar-dasar kerajaan negeri Selangor tidak cukup berkesan dalam menangani masalah pencemaran sumber air dan sungai. Walaupun kerajaan negeri telah berjanji untuk meningkatkan mekanisme pemantauan, namun pencemaran sungai tetapi masih berlaku.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Dato’ Amirudin Shari dengan bangganya telah mengumumkan pembelian 4 dron ‘canggih’ dengan kos RM2 juta untuk memantau sumber air dan sungai negeri. Jadi, mengapa kita masih dilayan dengan alasan “pencemaran sungai”? Apakah terjadi kepada 4 dron tersebut? Apa gunanya pembelian dron berkenaan jika pencemaran sungai masih berlaku? Di manakah laporan kerajaan negeri mengenai isu kekerapan gangguan bekalan air?

Justeru itu, kerajaan negeri Pakatan Harapan digesa berhenti mengelak tanggungjawab dan sebaliknya mula membuktikan keikhlasan mereka dengan mengambil tindakan yang wajar terhadap kilang-kilang haram di samping menambahbaik proses pemantauan sungai.

Selain daripada meminda undang-undang untuk menjatuhkan hukuman lebih berat kepada kilang-kilang dan individu yang bertanggungjawab mencemari sungai dan alam sekitar, kerajaan negeri juga disaran memantau kilang-kilang haram yang beroperasi berdekatan dengan sumber air. Mana-mana kilang yang tidak mematuhi garis panduan pembuangan sisa harus digantung lesen dengan segera, dan bukannya diberi masa tenggang sebelum tindakan diambil pihak berkuasa. Ini hanya memberi kilang-kilang tersebut peluang untuk mengelak hukuman. Diharap melalui hukuman yang berat dan pemantauan yang rapi, pencemaran air sungai dapat dicegah dengan berkesan.

(Penulis merupakan Pengerusi Biro Media Baharu MCA)

Dipetik dari laman Facebook beliau di pautan;

https://www.facebook.com/123238147811522/posts/2092940427507941/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts