LEBIH BAIK ANNUAR MUSA TUNGGU KEPUTUSAN PIMPINAN SEBELUM CEMUH PARTI SENDIRI

626
SHARES
3.7k
VIEWS

Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Tajuk berita memang selalunya lebih sensasi dari kandungan berita. Ia kaedah biasa untuk menarik minat pembaca.

UMNO kena sedar diri,” kata TS Annuar Musa.

Ini macam cerita biasa sahaja, saya terfikir.

Hanya yang luar biasa kali ini ialah ia pendapat Annuar Musa, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan bukan lagi pendapat pemimpin muda PPBM atau PAS.

TS Annuar menghuraikan bahawa pada PRU-15, BN hanya ada dua pilihan, iaitu pertama, bersendirian, atau kedua, berpakat bersama Perikatan Nasional.

Disebut juga pilihan ketiga, iaitu untuk BN berpakat pula dengan PH. Pilihan ini, pada pendapat saya, ialah sindiran tersirat TS Annuar terhadap DS Zahid Hamidi, Pengerusi BN yang dikatakan menyokong DS Anwar Ibrahim untuk mengganti TS Muhyiddin.

Kerana ia satu sindiran, saya tidak mengambil berat pilihan ketiga ini.

Hujahan TS Annuar mengapa BN harus mempunyai ‘political will‘ untuk terima PPBM sebagai parti rakan kerana PAS bertegas akan “memperkasakan Muafakat Nasional, mempertahankan Perikatan Nasional!” 

Lagipun, ikut cakap TS Annuar, kalau UMNO mampu bermuafakat dengan PAS setelah bertahun-tahun bermusuh, tentunya UMNO mampu menerima PPBM yang merupakan seteru baru UMNO.

Logik juga hujahan TS Annuar.

Hanya dia tidak menyebut sebenarnya kerjasama UMNO dan PAS bermula lebih awal dari PRU-14 walaupun pada isu-isu tertentu. Tidak, mungkin TS Annuar terlupa mengenai usul RUU 355 di Dewan Rakyat ataupun perhimpunan bersama UMNO dan PAS mengenai isu Rohingya.

Kedua, PAS tidak ‘mencuri’ ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negeri UMNO sepertimana dilakukan oleh PPBM. Sehinggakan, hari ini, lebih ramai ‘katak’ Ahli Parlimen UMNO dalam PPBM daripada Ahli Parlimen PPBM yang asal!

Ketiga, TS Annuar mungkin juga tidak mahu menyatakan pendapat dan pemikiran pemimpin dan ahli UMNO di peringkat negeri. Tentunya dia tahu tentang pendirian kepimpinan negeri di Selangor ataupun Johor.

Bagi TS Annuar, ia soal ‘political will‘ sahaja!

Tetapi sebelum dibangkitkan ‘political will‘ di kalangan kepimpinan tertinggi parti, apa sebenarnya keputusan kepimpinan?

Bukankah lebih waras memuktamadkan keputusan sebelum mencemuh parti sendiri seolah-olah kepimpinannya “tidak sedar diri” yang kononnya PAS akan ‘pertahankan’ Perikatan Nasional dan hanya akan ‘memperkasakan’ Muafakat Nasional.

Kalau belum ada keputusan, lebih baik bagi TS Annuar sebagai Setiausaha Agung BN tidak mendahului, malah tidak mencampuri urusan sebuah parti komponen BN, iaitu UMNO, yang tidak pernahpun beliau perkasakannya.

Apapun, kita tenguk sahajalah sama ada DS Zahid Hamidi, selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, mempunyai ‘political will‘ membetulkan keadaan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts