AGENDA ISLAM DAN BUMIPUTERA DALAM KEADAAN NEGARA HARI INI

403
SHARES
2.4k
VIEWS

1. Pertamanya dalam melihat keadaan kemelut politik yang semakin hari semakin bercelaru dengan kepelbagaian kekalutannya Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) merasakan umat Melayu Islam harus terus mempertahankan dan memperjuangkan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah sebagai teras bagi kefahaman Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama bagi Persekutuan ini.

2. Di bawah payung akidah ini, MUAFAKAT berusaha membentengi akidah dan pemikiran ummah daripada serangan dan kerosakan kekufuran dan kemunafikan serta puak-puak yang memusuhi Islam; serta berusaha memurnikan penyelewengan akidah dan kepercayaan oleh puak Muslim yang liberal, Wahabi dan Syiah.

3. Umat Melayu Islam juga harus terus mempertahankan dan memperjuangkan kedudukan Islam, institusi kesultanan, bahasa Melayu, serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang telah sedia diterima sebagai perjanjian kenegaraan moden oleh semua pihak agar terus menjadi dasar pentadbiran kerajaan dan dihormati oleh semua lapisan rakyat.

4. Kefahaman konsep pemerintahan menurut Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan menurut tafsiran Ahli Sunnah wal Jamaah yang mengiktiraf Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara atau Ulil Amri dengan dukungan pentadbiran oleh jemaah Menteri atau para Wazir yang telah diamanahkan oleh YDP Agong dan rakyat secara majoriti.

5. Di bawah payung YDP Agong, MUAFAKAT menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersepakat dan bersatu membina negara.

– Tiga inti pati perjuangan di atas menjadi landasan pemikiran dan gerakan MUAFAKAT termasuk dalam kerjasama dengan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) lain.

6. Idealisme pembinaan negara dan meninggikan kedudukan umat Islam bertunjangkan kesepaduan seluruh cabang ilmu yang Islamik dan integratif. Sungguhpun MUAFAKAT sendiri tidak berkecimpung dalam keseluruhan bidang ilmu, tetapi idealisme kesepaduan ini yang didukung dan dianjurkan.

7. Dalam membincangkan agenda Islam dan Bumiputera, MUAFAKAT ingin menegaskan bahawa agenda ini bukan bermaksud pengabaian atau penafian atau penolakan dari kalangan yang bukan Muslim atau yang bukan Bumiputera.

8. Sebaliknya, yang dimaksudkan dengan agenda Islam dan Bumiputera adalah ia sebagai teras kepada keharmonian hidup bernegara dan bermasyarakat, yang perlu difahami dan diadaptasi oleh kalangan yang bukan Muslim atau yang bukan Bumiputera.

9. Hal ini disebabkan, hanya dengan teras ini negara dan rakyat Malaysia dapat menikmati keharmonian yang asli dan kekal.

10. Dengan kata lain, apabila teras Islam dan Bumiputera difahami dan diadaptasi oleh semua pihak, sama ada yang Muslim atau bukan Muslim, sama ada yang Bumiputera atau bukan Bumiputera, barulah keharmonian tulen dan kekal dapat diusahakan.

11. Akan tetapi, jika teras ini diabaikan malah ditolak oleh mana-mana pihak, bukan setakat kalangan yang bukan Muslim atau yang bukan Bumiputera tidak dapat berasa tenang, bahkan orang Muslim dan Bumiputera akan turut tertekan.

Dr. Wan Adli bin Wan Ramli

Presiden MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts