SAMPAI BILA MASJID, SURAU PERLU DITUTUP?

971
SHARES
5.7k
VIEWS

(Disiarkan pada 8 November 2020)

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan ke Lembah Klang dan Sabah sejak beberapa minggu kebelakangan ini tidak gagal kerana kadar jangkitan berjaya diturunkan daripada 2.2 kepada 1.0, di sebalik PKPB selama sebulan dilaksanakan di seluruh negara, kecuali di 3 negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perlis. 

Pelaksanaan tersebut turut menimbulkan persoalan antaranya oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim yang mempersoal kewajaran ia dilaksanakan secara drastik serta kenapa masjid turut ditutup sedangkan tiada kluster berkaitan masjid direkodkan.

Rujuk pautan; https://editormalaysia.com/18657/

Selanjutnya menurut Hisham lagi, bagi mengekang pandemik ini sektor ekonomi tetap perlu dibuka untuk menyeimbangkan kehidupan dan mata pencarian, tetapi kerajaan harus mengetatkan sekatan pada sektor sosial, sukan dan pendidikan.

Cuma apa yang dikesalkan, jika sektor ekonomi tetap boleh dibenarkan berjalan seperti biasa, restoran dan kedai makan boleh terus beroperasi dengan mengikut SOP,  kenapakah fungsi masjid dan surau tidak boleh dikembalikan?

Ia tidak sama seperti universiti dan sekolah yang melibatkan pelajar yang ramai dan berada dalam keadaan yang lama dalam satu masa yang sama, kecuali solat Jumaat tetapi masih tidak seramai dan selama di universiti dan sekolah.

Malah sejak semua jemaah masjid patuh akan SOP yang ketat, tiada langsung kluster berkaitan masjid direkodkan tetapi menjadi antara tempat pertama ditutup sebaik sahaja PKPB dilaksanakan. 

Kenapakah apabila meningkat sahaja Covid-19 maka masjid dan suraulah menjadi tempat pertama ditutup? Bukankah lain-lain tempat yang berkaitan ekonomi semuanya berfungsi seperti biasa dengan menghadkan rentas negeri ataupun daerah? 

Perlu diingat, masjid-masjid adalah tempat yang paling disukai Allah Taala  di muka bumi ini, manakala pasar-pasar adalah tempat yang paling dibenci, maka wajarlah kerajaan yang didominasi oleh pemimpin Melayu Islam pada hari ini mencari jalan bagaimana aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau boleh diteruskan seperti biasa, walaupun dibuka seketika hanya pada waktu solat 5 waktu.

Jika pelanggan boleh makan dan minum melebihi tempoh solat lima waktu berjemaah di masjid dan surau yang mengambil masa sekitar 5 hingga 10 minit, kenapakah pihak kerajaan tidak boleh membenarkan ia dibuka semula?

Sampai bilakah ekonomi dunia dibenarkan berjalan tetapi ‘ekonomi akhirat’ tetap mahu dihentikan? Bagaimana negara dan kerajaan akan beroleh keberkatan jika masih takut-takut hendak membenarkan masjid dan surau dibuka semula?

Jika gelombang pertama dikaitkan dengan perhimpunan Tabligh di Sri Petaling yang menjustifikasikan masjid dan surau perlu ditutup sementara kerana aktiviti utama tabligh iaitu berdakwah dan mengimarahkan masjid.

Maka kenapa kali ini meningkatnya Covid-19 di negara ini disebabkan oleh ahli politik, tetapi aktitivi utama mereka seperti ke Parlimen, bertemu sesama sendiri berbincang hal politik serta mempengerusikan pelbagai mesyuarat tidak dihentikan?

Jika kerajaan rasa tidak logik atau wajar ia dihentikan, seperti itulah tidak logik dan tiada kewajaran masjid dan surau perlu ditutup, kerana yang mencetuskan pelbagai kluster ialah ahli politik. 

Justeru mungkin kerana itulah Allah Taala uji negara ini berterusan dengan ketidaktentuan ekonomi dan ketidakstabilan politik serta pemimpin-pemimpinnya asyik berebut kuasa – satu pihak bermati-matian tidak mahu kehilangan kuasa dan satu pihak lagi sedaya upaya mencari jalan ingin berkuasa.

Ini kerana tempat yang paling disukai-NYA iaitu masjid-masjid menjadi antara tempat pertama difikirkan kerajaan perlu ditutup kepada awam, bukannya dicari jalan bagaimana ia boleh diimarahkan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts