APAKAH YANG AKAN BERLAKU SEKIRANYA WUJUD KEPERLUAN DARURAT?

1.2k
SHARES
7k
VIEWS

SEBELUM CADANGAN DARURAT 

1. Perdana Menteri bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai pihak lain termasuk Panglima Angkatan Tentera (ATM), Ketua Polis Negara (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengetahui situasi terkini negara yang masih berhadapan dengan ancaman pandemik Covid-19. 

2. Perdana Menteri bermesyuarat kemudiannya bersama Menteri-menteri kabinet untuk mencapai kata putus sama ada wujud keperluan mengadap YDP Agong untuk mempersembahkan cadangan darurat ataupun tidak. 

3. Perdana Menteri membuat keputusan terakhir dan beliau memutuskan bahawa cadangan darurat tersebut perlu dibawa ke pengetahuan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

4. Seterusnya Perdana Menteri bertemu mengadap YDP Agong untuk mencadangkan darurat.

5. Walaubagaimanapun, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong menolak cadangan darurat tersebut, setelah meneliti dan bermesyuarat dengan Raja-raja Melayu yang lain kerana menurut baginda, “Tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia”. 

(Selanjutnya apa yang berlaku selepas itu, sehingga naratif ‘damage control’ boleh dibaca di pautan berikut; https://editormalaysia.com/18472/

SELEPAS CADANGAN DARURAT 

6. Sekiranya keadaan pandemik Covid-19 sebegitu mendesak yang memerlukan kepada perkenan YDP Agong  untuk mengisytiharkan darurat yang besar (grave emergency) di seluruh negara atau secara bersasar di beberapa tempat atau bahagian, maka apa yang dijangkakan akan berlaku?

6.1. Perlu difahami titah YDP Agong sebelum ini iaitu, “Tiada keperluan BUAT MASA INI untuk Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia” – menunjukkan ketidaktetapan titah tersebut terhadap KETIDAKTENTUAN situasi semasa yang boleh berubah pada bila-bila masa.

6.2. Perenggan ini jelas menyebutkan “Tiada keperluan buat masa ini” dan sekiranya wujud keperluan di masa lain, maka pengisytiharan darurat tersebut mungkin diperlukan.

6.3. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong tentu lebih arif akan hal ini dan baginda pasti akan memperkenan darurat sekiranya wujud keperluan.

7. Apa implikasi daripada pengisytiharan darurat tersebut?

7.1. Pengisytiharan darurat secara menyeluruh

7.1.1. Jika darurat seluruh negara dilaksanakan dengan objektif utama untuk mengekang pandemik Covid-19 yang semakin memburuk dan menular ke seluruh negara, perkara ini akan menimbulkan polemik jika ada pihak yang membantah dan mempertikai kewajaran darurat tersebut dilaksanakan, walaupun ia mendapat perkenan YDP Agong. 

7.2. Pengisytiharan darurat secara bersabar mengikut tempat terjejas

7.2.1. Sekiranya pengisytiharan darurat tersebut dilakukan berperingkat secara bersasar mengikut tempat tertentu yang teruk dilanda Covid-19, maka ia tidak akan menimbulkan sebarang isu kerana dilihat dilakukan mengikut keperluan setempat. 

7.2.2. Sekiranya pengisytiharan darurat tersebut dilakukan mengikut tempat atau bahagian bagi mengelakkan pilihan raya kecil contohnya di Batu Sapi, bagimanapun ia tetap akan menimbulkan isu.

7.2.3. Ini kerana masih wujud pilihan lain yang lebih mudah untuk diambil iaitu semua parti berlapang dada dan berjiwa besar untuk bersetuju tidak meletakkan calon masing-masing dan parti Warisan menang tanpa bertanding di kerusi tersebut.

7.2.4. Jika pihak kerajaan sendiri melalui parti di dalam Perikatan Nasional tidak mengambil pendekatan ini maka kerajaan akan dilihat tidak mengutamakan rakyat kerana masih ingin bertanding sedangkan ia boleh dielakkan.

7.2.5. Ia bukan sahaja akan memberi imej yang buruk kepada kerajaan malah akan menyukarkan sekiranya darurat diperlukan.

8. Bagaimana pula jika ada pihak berpandangan kerajaan menggunakan alasan “wujud keperluan untuk darurat” bagi melindungi bajet 2021? 

8.1. Secara mudahnya ia tetap akan mencetuskan polemik jika ada pihak yang mengaitkan darurat dengan bajet dan logiknya tiada sesiapapun boleh menghalang ‘pandangan’ ini. 

8.2. Cuma apa yang dikhuatiri akan ada pihak yang ‘menuding jari’ ke pihak Istana dan ini yang sewajarnya kerajaan elakkan dengan bersedia menyalurkan maklumat dan hebahan awal sewajarnya bagi merasionalkan darurat tersebut.

8.3. Pihak yang tidak bersetuju berkemungkinan akan memainkan isu ini sebanyak mungkin untuk mengurangkan kebolehpercayaan rakyat terhadap kerajaan bahkan mungkin terhadap pihak Istana sendiri. 

9. Adakah ini membawa maksud titah YDP Agong (sekiranya Baginda memperkenan darurat) mungkin tidak akan ditaati? 

9.1. Sekiranya titah darurat ini dilihat oleh sesetengah pihak mempunyai kaitan dengan bajet, maka mereka akan tetap membantah pelaksanaan darurat menggunakan naratif ini. 

9.2. Ini kerana bagi sesetengah pihak, ketaatsetiaan tersebut bukanlah terhadap ‘titah’ tetapi kepada “apa yang dititahkan” yang mestilah mengikut ‘acuan’ dan kehendak mereka. 

KESIMPULAN 

10. Sekiranya situasi Covid-19 memuncak di negara ini secara tiba-tiba dan ketika itu wujud keperluan bagi mengisytiharkan darurat sama ada secara menyeluruh (grave emergency) ataupun secara berperingkat mengikut bahagian tertentu terlebih dahulu, maka ia wajar dilaksanakan tidak kira sama ada ia akan dibantah ataupun tidak kerana keselamatan rakyat menjadi keutamaan.

10.1. Pihak-pihak berkaitan dalam kerajaan seperti MKN, KKM, ATM, PDRM dan lain-lain akan menasihati sewajarnya dan wajar nasihat-nasihat ini dimaklumkan bagi merasionalkan darurat tersebut.

10.2. Ini wajar dilakukan agar semua pihak terutamanya rakyat yang akan banyak terkesan secara terus akan memahami duduk perkara kenapa darurat ini diperlukan? 

10.3. Jika kerajaan gagal meyakinkan rakyat maka rasional darurat ini diperlukan pasti akan dimainkan dan tidak ada sesiapa boleh disalahkan. 

10.4. Namun apa yang paling penting, pihak kerajaan perlu memainkan peranan agar tiada mana-mana pihak yang menuding jari dan menyalahkan pihak Istana, seperti yang selalu terjadi sebelum ini dan ini juga perlu ditangani lebih awal.

Wallahualam. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts