KEMBALIKAN MYBRAIN DAN BANTUAN SISWA RM250 DALAM BELANJAWAN 2021 – MPPK

564
SHARES
3.3k
VIEWS

Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada Jumaat ini pastinya akan menjadi belanjawan yang berbeza daripada kebiasaannya. Selain daripada menjadi medan ujian buat para ahli politik dalam melihat sejauh manakah mereka patuh kepada titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, belanjawan kali ini juga perlulah menjadi belanjawan yang benar-benar membantu rakyat.

Situasi pandemik COVID-19 yang telah memasuki gelombang ketiga ini benar-benar memberi kesan yang besar kepada rakyat terutamanya dalam urusan kehidupan seharian. Kos sara hidup semakin meningkat. Ramai yang kehilangan pekerjaan dek kerana syarikat-syarikat yang terpaksa ditutup akibat kesan pandemik ini. Kadar pengangguran juga meningkat.

Kadar pengangguran ini pada hakikatnya turut melibatkan sebilangan graduan yang sehingga hari ini masih tidak mendapat sebarang pekerjaan disebabkan saingan yang cukup tinggi dalam pasaran kerja.

Kesan pandemik ini juga turut dirasai oleh lebih satu juta mahasiswa yang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara. Perubahan mod pembelajaran daripada secara bersemuka kepada secara atas talian telah menimbulkan masalah baharu, iaitu isu berhubung ketersambungan jaringan internet, masalah seperti tiada peranti yang sesuai untuk sesi pembelajaran atas talian serta masalah kewangan untuk membeli data internet.

Melihat kepada isu dan masalah yang masih berlaku sehingga hari ini, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) melihat perlunya diwujudkan banyak inisiatif yang dapat membantu mahasiswa terutamanya soal kebajikan mahasiswa melalui Belanjawan 2021 ini.

Maka dengan itu, MPPK hadir dengan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan untuk dimasukkan dalam belanjawan kali ini.

Pertama, kerajaan boleh memperkenalkan semula dan menambah baik bantuan secara one-off sebanyak RM250 yang pernah diberikan kepada mahasiswa pada masa dahulu. Bantuan ini sebenarnya telah berjaya meringankan beban mahasiswa yang menuntut di kampus. Bahkan bantuan yang lebih kurang sama yang pernah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri melalui Pakej PRIHATIN baru-baru ini juga telah membantu pelajar dalam mengurangkan beban mereka.

Bantuan yang diberikan ini telah digunakan untuk keperluan pelajar terutamanya untuk membeli data internet bagi meneruskan sesi pembelajaran secara atas talian. MPPK juga pernah membawa usul ini kepada YAB Perdana Menteri melalui Agenda 2 MPPK iaitu pengenalan Kad Prihatin Siswa.

Kedua, kerajaan perlu memberi peruntukan tambahan untuk kerja-kerja menaiktaraf ketersambungan rangkaian internet di seluruh negara. Kita sendiri dapat melihat ramai mahasiswa yang menghadapi masalah rangkaian internet dan ianya menyukarkan mereka untuk meneruskan sesi pembelajaran secara atas talian.

Pernah satu masa, kes yang melibatkan Saudari Veveonah tular apabila dia terpaksa mengambil peperiksaan akhir secara atas talian di atas pokok kerana mencari rangkaian internet yang kuat. Kerja-kerja menaiktaraf ini sebenarnya bukan sahaja akan memberi manfaat kepada mahasiswa, tetapi juga turut memberi manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya dimana pada hari ini kita dapat lihat banyak urusan dilakukan secara atas talian.

Ketiga, kerajaan boleh mengeluarkan insentif yang bersesuaian kepada pemilik rumah yang menyewakan rumah mereka kepada pelajar. Sebagai gantian, pemilik rumah sewa perlu menawarkan harga sewaan khas yang murah dan berpatutan untuk pelajar sekiranya mahu mendapatkan insentif tersebut. Cadangan ini juga sebenarnya MPPK telah bawa kepada YAB Perdana Menteri melalui Agenda 1 MPPK iaitu Rumah Sewa Siswa.

Akhir sekali, kerajaan dipohon untuk memperkasakan biasiswa MyBrain. Pengenalan semula Biasiswa MyBrain untuk semua bidang ini pada hakikatnya telah terbukti dapat melahirkan graduan pascasiswazah yang berinovatif dan berkepakaran tinggi. Dengan pengenalan semula biasiswa ini, negara ini akan dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan sekaligus dapat mengisi tempat yang diisi oleh tenaga kerja asing pada hari ini terutamanya dalam bidang profesional. Sudah tiba masanya tenaga kerja mahir tempatan mendapat tempat yang sepatutnya, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 ini.

Cadangan-cadangan ini pada hakikatnya bukan sahaja melihat kepada situasi terkini, tetapi juga memandang masa hadapan. Masa akan terus berjalan, tetapi pandemik ini masih tidak nampak jalan pengakhirannya. Dengan lebih ramai mahasiswa bakal bergelar graduan pada tahun ini, sudah pasti kehidupan mereka selepas ini akan semakin mencabar.

Pandemik ini turut memberi impak buruk kepada mahasiswa yang masih menuntut di IPT. Oleh itu, MPPK mohon kepada pihak kerajaan untuk turut mengambil kira cadangan yang dibawa oleh MPPK sejak awal lagi. Semoga Belanjawan 2021 ini dapat memberi sedikit sinar buat mahasiswa untuk terus kuat dan tabah dalam menghadapi pembelajaran di era pandemik ini.

Sekian, terima kasih.

MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI

PRESIDEN

MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts