MPPK BANTAH TINDAKAN BIADAP UMANY

498
SHARES
2.9k
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

1. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) membantah tindakan yang dilakukan oleh University of Malaya Association of New Youth (UMANY) dalam kenyataan mereka melalui laman Facebook UMANY yang mempersoalkan kuasa dan keabsahan titah perintah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam urusan politik dan pemerintahan negara.

2. MPPK berpandangan bahawa tindakan tersebut merupakan satu provokasi terhadap intitusi Raja Berpelembagaan di negara kita. Tindakan ini adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.

3. Dalam kenyataan yang telah dikeluarkan oleh mereka, mereka seolah-olah menuduh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong mencampuri hal ehwal politik negara. Sebaliknya, Tuanku Yang Di-Pertuan Agong hanya bertitah supaya parti-parti politik di Malaysia bekerjasama dalam Sidang Parlimen akan datang dan meluluskan Belanjawan 2021 dengan mengutamakan keperluan rakyat serta mengurangkan ‘politicking‘.

4. Titah ini sebenarnya telah diterima oleh semua ketua parti politik dan semua pihak dilihat mula kembali fokus kepada usaha untuk menyelamatkan rakyat Malaysia daripada gelombang ketiga pandemik COVID-19 ini.

5. MPPK mendesak pihak UMANY untuk segera membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Tindakan yang telah dilakukan ini sebenarnya telah mengguris hati rakyat Malaysia yang sentiasa menghormati dan menjunjung Institusi Raja Berperlembagaan.

6. Sungguhpun UMANY telah memadam hantaran tersebut, ia tidak dapat mengubah keadaan dan meredakan kemarahan rakyat Malaysia kerana tindakan ini dilihat seolah-olah tidak menghormati Institusi Raja Berperlembagaan. 

7. UMANY juga sepatutnya tidak mencalarkan imej mereka sebagai sebuah persatuan yang wujud di salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Tindakan ini sedikit sebanyak telah mencalarkan imej Universiti Malaya.

8. Akhir sekali, MPPK sentiasa menjunjung tinggi kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam memastikan kestabilan politik negara terjaga. Peranan baginda dalam menstabilkan politik negara tidak boleh dinafikan lagi.

Kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah berjaya mengekalkan keamanan di negara kita. Lebih-lebih lagi apabila negara sedang dilanda wabak pandemik COVID-19 yang meruncing.

Semoga Malaysia terus aman dan makmur di bawah pemerintahan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melalui Institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Sekian, terima kasih.

Memartabat Mahasiswa Malaysia

MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI

PRESIDEN

MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts