PENTAFSIRAN KUASA YDPA DI BAWAH PERKARA 150

745
SHARES
4.4k
VIEWS

Oleh Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Pada hari ini kita lihat begitu ramai cendekiawan termasuklah pengamal undang-undang yang menawarkan huraian Perkara 150. Isunya sama ada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong terikat dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri, atau menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri?

Bagi kumpulan yang mendokong “school of thought” berkiblatkan Westminster, mereka akan mempertahankan bahawa kuasa budi bicara Raja Berperlembagaan hendaklah terbatas, terhad setakat hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam ruangan sempit. Konotasi mereka berpaksi pada premis bahawa kedudukan YDPA sama seperti Ratu England menurut kaca mata pasca Bill of Rights, 1689. Kumpulan ini sering membuat tafsiran berlandaskan hujahan ini “prinsip Raja Berperlembagaan” mahupun itu “prinsip Raja Berperlembagaan”.

Secara umumnya dapat dilihat betapa ramai yang terlepas pandang untuk membahaskan maksud sebenar Raja Berperlembagaan dan apakah sistem Perlembagaan di Malaysia? Fahaman betul tentang “Raja Berperlembagaan” mampu membantu seseorang itu untuk mengulas dengan lebih adil kedudukan YDPA dan Raja-Raja Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Perlu difahami bahawa “Raja Berperlembagaan” itu tidak bermakna hanya YDPA atau Raja sahaja perlu memerintah mengikut Perlembagaan. Hal ini kerana semua pihak yang diberikan kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman hendaklah mematuhi Perlembagaan termasuklah seorang Perdana Menteri, menteri-menteri, hakim-hakim, Ahli-ahli Parlimen, serta pegawai-pegawai yang diberikan fungsi eksekutif. Itulah prinsip keluhuran Perlembagaan yang menjadi tonggak pemerintahan Malaysia.

Selama mana undang-undang itu digubal dan dikuatkuasakan mengikut prinsip Kedaulatan Malaysia, maka tertegaklah kedaulatan undang-undang atau maksudnya, “Rule of Law“. Prinsip kedaulatan Malaysia bolehlah dirujuk dalam buku berjudul “KENEGARAAN MALAYSIA: Sejarah, Kedaulatan & Kebangsaan”.

Selanjutnya, perlu difahami bahawa setiap kerajaan atau negara pastinya mempunyai Perlembagaannya masing-masing sama ada bertulis atau tidak, terhimpun dalam sebuah buku atau berada dalam pelbagai sumber rujukan. Perlembagaan dengan kerajaan atau negara tidak boleh dipisahkan kerana Perlembagaan itu cerminan sebuah kerajaan atau negara. Sama ada Perlembagaan sebuah negara itu ditulis secara ringkas atau panjang lebar, itu merupakan bentuk Perlembagaan masing-masing.

Perlembagaan sesebuah negara boleh dirujuk melalui sumber bertulis mahupun amalan yang berlandaskan prinsip kedaulatan negara itu. Sebuah kerajaan atau negara tidak akan wujud tanpa Perlembagaan kerana Perlembagaan itu menjelaskan sistem politik, perundangan, kenegaraan, hal ehwal pentadbiran yang merangkumi fungsi organ-organ dalam pemerintahan serta perhubungan antara kumpulan memerintah dengan yang diperintah dan dengan pihak luar.

Ringkasnya, Perlembagaan itu ialah undang-undang sesebuah kerajaan atau negara berposisi sebagai rujukan tertinggi yang terkandung di dalamnya suatu sistem Perlembagaan. Sistem Perlembagaan menurut Ventar (2000) terdiri daripada falsafah, doktrin dan prinsip yang mendasari keseluruhan sistem sesebuah negara.

Berdasarkan kedudukan di atas, kuasa YDPA mahupun Raja-Raja Melayu tidaklah boleh ditafsirkan terbatas hanya kerana dipopularkan istilah “Raja Berperlembagaan”. Dalam sebuah negara yang ketuanya presiden maka tidak salah dikatakan “Presiden Berperlembagaan” namun begitu kuasa seorang raja atau presiden hendaklah dirujuk dalam undang-undang Perlembagaannya.

Di dalam dunia pada hari ini, tiada negara yang mengisytiharkan negara itu tiada mempunyai Perlembagaan, seperti dijelaskan dalam sejarah manusia, sebaik sahaja terdiri kerajaan maka terbangunlah perlembagaannya.

Namun begitu setiap negara mempunyai bentuk dan ciri-ciri Perlembagaan masing-masing yang dibina oleh prinsip kedaulatannya. Misalnya, Arab Saudi sebuah monarki yang mempunyai Perlembagaan bertulis, rajanya mempunyai prerogatif yang luas begitu juga Sultan Brunei. Negara-negara tidak beraja seperti China, Russia dan Cuba meskipun mempunyai Perlembagaan bertulis tetap memberikan kuasa yang luas kepada Presidennya.

Justeru, untuk memahami kedudukan sebenar YDP Agong dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada baginda mempunyai prerogatif untuk memutuskan sesuatu atau perlu bertindak di atas nasihat, rujukan perlu dibuat pada setiap peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan, bukan dibatasi dengan istilah “Raja Berperlembagaan”.

Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan prerogatif YDP Agong untuk mengeluarkan proklamasi darurat jika baginda ‘berpuas hati’ dengan salah satu daripada 2 keadaan berikut:

1. Sedang berlaku darurat besar

2. Hampir berlaku darurat besar

…yang boleh mengakibatkan implikasi berikut:

1. Ancaman keselamatan, atau

2. Ancaman kehidupan ekonomi, atau

3. Ancaman ketenteraman awam

…di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagiannya.

“Puas hati YDP Agong” ialah pengecualiaan yang dibenarkan di bawah Perkara 40(1) kerana Jemaah Menteri atau seorang menteri tidak boleh menentukan kepuasan hati YDP Agong terhadap kewujudan mana satu keadaan-keadaan seperti di atas melainkan baginda sendiri. Malahan, jika YDP Agong berpuas hati sekalipun, baginda masih boleh menimbangkan faktor kewajaran untuk membuat proklamasi darurat.

Dalam hal berkaitan proklamasi darurat, nasihat di bawah Perkara 40(1) tidak terpakai maka Jemaah Menteri atau PM hanya boleh membuat permintaan kepada YDP Agong. Pemeliharaan prerogatif dalam Perkara 150 penting kerana darurat mengabsahkan suatu keadaan serta perjalanan sistem perundangan di luar amalan biasa. Justeru kuasa itu perlu dikekalkan dalam prerogatif YDP Agong.

Seksyen 28 di bawah Jadual Kesebelas [Perkara 160(1)] berhubung kaedah pentafsiran peruntukan perjalanan kuasa dan kewajipan tidak boleh diabaikan, berlandaskan kaedah pentafsiran tersebut maka YDP Agong berhak menentukan sendiri sama ada baginda berpuas hati atau tidak untuk mengeluarkan proklamasi darurat di bawah Perkara 150.

Selanjutnya, Perkara 150(8) menetapkan keputusan YDPA tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah. Itu bertujuan untuk melindungi prerogatif YDP Agong agar baginda dapat melaksanakan pertimbangan sehalus-halusnya selaras dengan kewajipan untuk berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negara.

Satu lagi isu penting yang dibangkitkan ialah struktur teras bagi Perlembagaan Persekutuan (Basic structure of the Federal Constitution). Untuk memberikan takrifan yang tepat tentang struktur teras Perlembagaan, seseorang itu perlu terlebih dahulu memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan diinstitusikan oleh Raja-Raja Melayu berpaksi pada kedudukan mereka sebagai khalifah Allah SWT.

Justeru, YDP Agong mempunyai kewajipan untuk memastikan pelaksanaan 3 cabang kuasa di bawah baginda iaitu perundangan, eksekutif dan pentadbiran keadilan mematuhi prinsip Kedaulatan Undang-undang.

Perlu ditegaskan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf doktrin pemisahan kuasa seperti amalan Barat kerana pada institusi Raja terangkum tanggungjawab ke atas ketiga-tiga cabang kuasa tersebut di atas. YDP Agong ialah ketua utama dalam sistem politik negara justeru mana mungkin baginda tidak boleh mencampuri hal ehwal pemerintahan negara?

Ringkasnya, dalam Perkara 150, YDP Agong boleh memutuskan sendiri “kepuasan hati” berlandaskan budi bicara baginda kerana Perkara 150 jatuh di bawah pengecualian Perkara 40(1). Prerogatif atau budi bicara baginda dalam Perkara 150 merupakan “dalam apa-apa hal lain” di bawah Perkara 40(2).

Akhirnya, mereka yang cuba menafikan hak kuasa YDP Agong ke atas hal ehwal pemerintahan negara perlu mentelaah semula Perlembagaan Persekutuan dan memahami sejarah perundangan watan tanahair. Seruan ini dibuat agar mereka kembali ke pangkal jalan serta tidak lupa bahawa keamanan Malaysia turut disumbangkan oleh keutuhan institusi Raja, warisan kedaulatan watan Malaysia.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts