MENJUNJUNG KASIH DI ATAS TITAH YDP AGONG “RAJA DAN RAKYAT BESERTA ULAMAK BERPISAH TIADA”

545
SHARES
3.2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA WANITA PEMBELA

1. Wanita PEMBELA merafak sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan menyatakan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dengan keputusan yang telah dicapai Tuanku bersama dokongan Majlis Raja-Raja berkenaan nasihat dan cadangan kepada keperluan diisytiharkan darurat oleh YAB Perdana Menteri kita.

2. Peristiwa besar ini amat memberi kesan tidak terhingga kepada rakyat jelata umumnya kerana keadaan negara dan dunia sedang berdepan dan berperang dengan musuh yang tidak kelihatan di mata kasar tetapi amat berbahaya dan mengancam nyawa jika tidak dibendung dengan sebaik mungkin.

Ancaman kesihatan ini bukan sahaja mengancam nyawa tetapi juga mengancam kesejahteraan rakyat berkait kemaslahatan ekonomi dan ketenteraman jiwa dan mental selain jasmani. Lantas, timbul banyak polemik di kalangan bijak pandai dari berbagai bidang yang membincangkan sama ada wajar atau tidak darurat dilaksanakan pada waktu dan ketika ini.

3. Wanita PEMBELA mengambil pendirian terbuka berkenaan kewajaran darurat dengan meletakkan kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya ke atas kebijaksanaan Tuanku menimbang perkara besar ini berlandaskan peruntukan Perlembagaan negara.

Dengan bulatnya keputusan yang telah dicapai itu, maka, Wanita PEMBELA mempunyai harapan yang tinggi agar segala kata-kata nasihat juga peringatan yang telah dinyatakan di dalam Kenyataan Media Istana Negara tersebut diambil peduli dan ditaati keseluruhannya oleh kalangan ahli politik serta pemimpinnya dengan hati yang jujur dan amanah.

4. Wanita PEMBELA berpandangan amatlah mustahak perkara besar ini diteliti secara holistik dan kesannya juga dilihat secara holistik kerana perkara ini akan memberi kesan langsung dan tidak langsung, terutamanya kepada golongan wanita daripada berbagai latarbelakang sama ada sebagai wanita berkerjaya, suri rumah mahupun golongan pelajar semuanya akan terkesan dengan perkembangan situasi semasa dalam tanahair tercinta ini.

Ini kerana, wanita itu merupakan nukleus di dalam keluarganya sehinggakan ada yang mengatakan bahawa jika isteri atau ibu itu tidak bahagia dan gembira, seluruh anggota keluarga juga akan tidak bahagia dan gembira.

5. Oleh itu, Wanita PEMBELA menggesa kepada semua wakil rakyat dan jemaah menteri supaya menjalankan tugas mereka sebaik-baiknya selaras dengan ikrar angkat sumpah setia yang telah mereka lafazkan. Inilah negara tumpah darah kita semua, maka, adalah tanggungjawab kita semua sebagai warganegara supaya menjadi warga yang bertanggungjawab serta sentiasa ingat dan amalkan prinsip Rukun Negara seikhlasnya.

6. Daulat tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Puan Azlinda binti Baroni

Ketua Kluster

WANITA PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts