KENYATAAN RASMI GABUNGAN MI’RAJ

360
SHARES
2.1k
VIEWS

Bersempena Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu

Bismillahirrahmanirrahim
Sollu ‘alan Nabiy

1. Hari ini, Ahad, 25 Oktober, Yang Di-Pertuan Agong Malaysia, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Shah berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-raja Melayu bagi membincang serta memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan perkenan YDP Agong terhadap pelaksanaannya.

2. Selaras dengan prinsip Syura yang mendasari pemerintahan Tanah Melayu, amalan Yang Di-Pertuan Agong ternyata mempamerkan sahsiah diri pemerintah yang mewarisi kehebatan Raja Melayu terbaik pada zaman era sebelum Hari Merdeka.

3. MI’RAJ percaya bahawa cadangan yang melibatkan keselamatan rakyat, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam yang dipersembahkan oleh YAB Perdana Menteri pastinya bertitik tolak dan berlandaskan pada maslahah negara serta rakyat jelata.

4. Justera, Gabungan MI’RAJ menyeru pihak-pihak yang berfikiran prejudis terhadap keputusan jemaah menteri agar menginsafi selagi permintaan itu merupakan satu perkara yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, maka itu adalah prinsip kedaulatan undang-undang yang mesti dihormati.

5. Sekretariat Gabungan MI’RAJ ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam terhadap kewajiban mentaati pemerintah, selagi mana tidak bersalahan dengan tuntutan syariat sebagaimana Firman Allah dalam surah al Nisa’ (59): “Taati Allah, Rasul dan Ulil Amri di kalangan kamu”. Dalam konteks negara Malaysia, Ulil Amri atau pemerintah ialah Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagai Ketua Negara dan Ketua-ketua Negeri, juga pada lapisan seterusnya ialah Perdana Menteri, jemaah menteri serta mereka yang melaksanakan fungsi pemerintahan.

6. Sama-samalah kita mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk-NYA kepada hamba-hamba-NYA Raja-raja Melayu untuk bermuafakat di atas jalan yang baik, adil, berwibawa dan berpandangan jauh demi maslahah negara. Sesungguhnya dalam Syura ada keberkatan.

7. Kemudian dari itu bertawakal dan berpegang teguhlah kepada tali Allah, moga tanahair kita dilindungiNya daripada bala dan musibah, serta dilimpahi rahmat, kesejahteraan dan keamanan.

Amiin ya Robbal ‘alamiin

Suzana Binti Othman

Ketua Umum Sekretariat

Gabungan MI’RAJ 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts