TEORI KARUT HOWARD LEE KONONNYA UMNO GUNA “36 STRATEGI PERANG PURBA CHINA”

452
SHARES
2.7k
VIEWS

Howard Lee, ADUN DAP Pasir Pinji yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP dan bekas Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY) membuat teori atau lebih kepada andaian liar mengenai UMNO yang kononnya “menggunakan kitab ilmu perang purba China bagi melawan DAP”.

Nama ‘kitab’ yang beliau maksudkan ialah “36 Strategi” yang merupakan sebuah koleksi ulasan tentang perihal ketenteraan dan peperangan dengan memetik babad-babad (riwayat atau sejarah) era Negeri-Negeri Yang Berperang sekitar 475 SM-221 SM serta zaman Tiga Kerajaan sekitar 220-280 Masihi.

Rujuk artikel beliau “Ilmu perang China untuk menghapuskan DAP” di pautan; https://solidaritas.my/ilmu-perang-china-untuk-hancurkan-dap/

Beliau turut menuduh UMNO menggunakan strategi tersebut bertujuan “semata-mata untuk menghasut rakyat Malaysia keturunan Melayu membenci rakyat Malaysia keturunan Cina.”

Selain ini merupakan tuduhan yang berat terhadap UMNO, dengan menggunakan naratif di atas ia seumpama ingin melaga-lagakan rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu dan Cina. 

Jelas pandangan Howard semata-mata ‘andaian liar’ bagi menyedapkan cerita beliau sahaja sedangkan hakikatnya datangkan apa sahaja kitab, buku rujukan atau apa-apa strategi perang atau politik di dunia ini, ia boleh diselaraskan dan diolah sehingga menjadi kononnya satu-satu pihak itu mengamalkan strategi tersebut.

Sebagai contoh beliau menggunakan 6 daripada 36 strategi atau hanya 16.6 peratus daripada kitab tersebut sebagai hujah UMNO menggunakan strategi purba China iaitu;

Strategi 1

瞒- sembunyi maklumat

天- (seluruh bumi di bawah) langit

过- menyeberangi

海- laut

Menyeberang laut dengan penyembunyian niat daripada langit.

Bagi tujuan melemahkan pertahanan musuh, anda bertindak secara tersembunyi dan rahsia (untuk menipu manusia mahupun tuhan) sambil hidup seperti biasa.

Logik akal: Tanpa merujuk kepada strategi inipun, mana-mana ahli politik pasti mempunyai tujuan tersurat dan tersurat bagi melindungi strategi mereka. Tidak mungkin jika ingin melemahkan musuh adalah dengan mendedahkan strategi sendiri. 

Sama juga strategi pasukan bola sepak, amat bodoh jika strategi didedahkan sebelum permainan dimulakan dan tidak perlupun merujuk kitab purba jika ‘common sense‘ macam inipun Howard tidak boleh fikir.

Tidak mungkin Howard tidak pernah dengar peribahasa Melayu iaitu “Baling batu sembunyi tangan”?

Strategi 2

围- kepung

魏- Negeri Wei

救- selamatkan

赵- negeri Zhao

Kepung Wei untuk menyelamatkan Zhao.

Sekiranya musuh lebih kuat daripada anda, seranglah sesuatu atau seseorang yang mereka sayangi atau yang bernilai bagi mereka. Bagi melemahkan semangat musuh, sambil mencari celah kelemahannya, anda mungkin dapat mencapai matlamat.

Logik akal: Sebagai contoh, sebuah pasukan bola sepak atau seorang peninju pasti mengkaji kelemahan dan kekuatan lawan mereka terlebih dahulu sebelum memasuki padang ataupun gelanggang untuk bertarung.

Tidak mungkin dua faktor asas ini tidak dikaji lebih awal bagi mengetahui dan menguji kekuatan dan kelemahan pihak lawan. Selepas dikaji dan diketahui pihak lawan lebih kuat, maka carilah jalan untuk melemahkan mereka. 

Dalam konteks politik pula, berunding dengan parti lain untuk menambah kekuatan adalah lebih baik. Logik seperti ini mudah sahaja difikir dan tidak perlupun kitab apa-apa.

Strategi 3

借- Pinjam

刀- pisau

杀- bunuh

人- orang

Membunuh dengan pisau pinjaman. 

Menggunakan kekuatan pihak lain ataupun menghasut sekutu musuh yang kecewa untuk mengkhianat musuh. Boleh juga membakar kemarahan pihak lain yang bermusuhan dengan musuh anda untuk bertindak tanpa anda melibatkan diri.

Logik akal: Dalam politik hal ini adalah perkara biasa. Perlu ada ‘common enemy‘ atau “musuh kepada musuhku adalah kawanku” dengan dua tujuan utama iaitu bagi menambah kekuatan ataupun melemahkan pihak lawan.

Ia digunakan bukan sahaja dalam politik, malah dalam apa jua tugasan seharian, bukan ke atas lawan atau musuh sahaja. Maklumat ini boleh diketahui tanpa merujuk kepada mana-mana ‘kitab’ strategi perang. 

Strategi 4

以- menggunakan

逸- surut/undur

待- tunggu

劳- ganjaran/ hasil usaha

Huru-harakan musuh sambil menjimat tenaga diri.

Mengetahui dan merancang pertempuran yang sebenarnya signifikan sambil tidak membazir sumber dan tenaga dengan serangan yang tidak bermakna. Mendorong musuh untuk bertempur yakni membazirkan tenaga sia-sia sambil anda menjimat tenaga. Apabila musuh keletihan dan ketandusan sumber, barulah anda menyerang habis-habisan. 

Logik akal: Boleh dijadikan strategi seorang peninju sebagai contoh iaitu jika diketahui tumbukan lawan lebih kuat tetapi kelemahan beliau lebih cepat letih, maka peninju tersebut perlu lebih kerap mengelak dari tumbukan dan jangan sehingga diasak ke sudut gelanggang. Selepas pihak lawan keletihan, barulah serangan balas dimulakan.

Justeru adakah UMNO menggunakan strategi seorang peninju ataupun merujuk kitab perang kuno? 

Strategi 5

趁- ambil kesempatan

火- kebakaran

打劫- merompak

Merompak pada ketika rumah kebakaran.

Mengambil kesempatan untuk menyerang ketika musuh berhadapan dengan masalah, biarpun konflik dalaman mahupun serangan daripada pihak lain.

Logik akal: Cara ini tidak perlupun merujuk kepada kitab strategi kuno, cukup dengan common sense sahaja iaitu cara paling mudah untuk mengalahkan lawan tentulah ketika mereka lemah.

Lagi satu, jika merompak ketika kebakaran mungkin menyebabkan diri sendiri terkorban maka lebih baik merompak ketika tuan rumah tiada dan terlupa memasang penggera.

Bermakna, carilah jalan lebih baik untuk memenangi sebuah pertempuran jangan sampai “menang jadi arang, kalah jadi abu”. Strategi ini tiada dalam mana-mana kitab cuma sekadar pepatah Melayu. 

Strategi 6

声- bunyi

东- timur

击- serang

西- barat

Bunyikan gendang perang di timur, serang dari barat. 

Elemen kejutan dalam sesuatu pertempuran amat bernilai. Berikan gambaran bahawa serangan datang dari tempat yang lain dengan tipu daya supaya musuh melencongkan tumpuan tenaga pertahanan ke satu hala. Ini membuka ruang  dan celah kelemahan di bahagian ekor, dan serang yang benar akan dilancarkan dari belakang secara mengejut.

Logik akal: Ini teknik biasa bagi mewujudkan ‘diversion‘. Kerajaan Malaysia pernah menggunakan elemen yang tidak dijangka ini bagi mendapatkan semula Guthrie yang ketika itu dikenali sebagai “Dawn Raid“. 

Tidak dapat dipastikan bagaimana Howard boleh merujuk strategi perang ini kerana semuanya berkisarkan common sense sahaja, bukan strategi yang benar-benar boleh dikatakan digunakan oleh UMNO atau mana-mana parti sekalipun.

Contohnya strategi keenam ini, ia hanya satu lagi logik yang boleh difikirkan oleh semua pihak. Apa yang penting, serang ketika pihak lawan berada dalam keadaan paling lemah atau tidak jangka.

Cara ini jika digunakan ketika bermain bola tentu pasukan tersebut boleh berpesta gol.

Kesimpulan

Secara logiknya tidak mungkin UMNO atau mana-mana parti berteraskan Melayu Islam di negara ini tahu mengenai kewujudan “36 Strategi” tersebut.

Adalah lebih mudah Howard tidak perlu bersusah payah mencipta ‘teori konspirasi’ yang tidakpun menyumbangkan apa-apa termasuk kepada partinya sendiri yang lebih kepada ‘merepek’ sahaja.

Mungkin beliau menggunakan Strategi ke-4 iaitu “Huru-harakan musuh sambil menjimat tenaga diri” – merancang pertempuran yang sebenarnya signifikan sambil tidak membazir sumber dan tenaga dengan serangan yang tidak bermakna. Apabila musuh keletihan dan ketandusan sumber, barulah anda menyerang habis-habisan. 

Bukankah DAP sendiri yang terkenal menggunakan strategi China tetapi selalu mengatakan parti lain yang menggunakannya.

Seperti tuduhan Liew Chin Tong yang menggambarkan kerjasama antara PAS dan UMNO sebelum ini menggunakan strategi ketenteraan iaitu “Dasar Bumi Hangus” sedangkan merekalah yang “membumi hanguskan negara” hanya dalam masa 22 bulan memerintah negara.

Rujuk artikel “DAP dan Dasar Membumi Hanguskan Negara” di pautan; https://editormalaysia.com/8559/

Malah DAP yang sendiri lebih tahu dan arif mengenai strategi perang yang digunakan ini tetapi dalam masa yang sama cuba menyalahkan pihak lain.

Kini Howard pula cuba mencipta sensasi melalui teori karutnya yang disandarkan kepada andaian liar semata-mata dan ini mungkin amalan Strategi ke-6 iaitu “Bunyikan gendang perang di timur, serang dari barat”.  – dengan mencipta sesuatu yang tidak wujud.

Atau lupakan sahaja semua teori dan strategi, Howard mungkin jadi begitu kerana terlalu banyak terpengaruh komik-komik kungfu dan perang purba Cina yang banyak dijual di pasaran di zaman remajanya.

“Strategi perang” beliau ini bukan sahaja gagal malah menyerlahkan kebodohannya sahaja yang kini menjadi sensasi apabila di-troll oleh ribuan netizen.

Rujuk; https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157436338465952/

Howard perlu matang dan bertenang, apatah lagi beliau selaku ADUN perlu menunjukkan contoh teladan sebagai pemimpin yang baik, bukannya hanya tahu ‘tembak’ merata.

Seumpama pepatah yang boleh dijumpai dalam komik-komik kungfu Cina, “Apabila keranda sudah dibawa, barulah bercucuran air mata”.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts