MENGAPA KERAJAAN CAMPURAN?

855
SHARES
5k
VIEWS

Pertamanya kita perlu faham dahulu apa itu Kerajaan Campuran. Ringkasnya ia terdiri daripada wakil semua parti politik baik daripada kerajaan atau pembangkang dan semuanya duduk di bawah pimpinan seorang Perdana Menteri Interim, seperti desas-desus terbaru ada cadangan melantik TS Tengku Razaleigh Hamzah yang secara tidak langsung di bawah pengawasan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) dengan tujuan untuk meredakan kemelut politik tanahair yang sekarang semakin meruncing kerana parti yang menerajui kerajaan di Malaysia hari ini hanya dengan majoriti mudah setelah bergabung dengan BN dan PAS.

2. Melihat kepada rentetan selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan dengan perkenan YDPA melantik TS Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-8, berdasarkan pemilihan yang sangat tipis dan seterusnya menjadi mangsa sasaran serangan daripada pihak yang tidak berpuas hati. Ini kerana pada asalnya pemimpin daripada parti majoriti dalam Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat bilangan terbanyak Ahli Parlimen tetapi tidak dipilih sebagai Perdana Menteri yang sah sebaik sahaja Tun Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri. Ini kerana mereka merupakan parti yang menang majoriti, baik dalam Pakatan Harapan mahupun keseluruhan parti apabila PKR memenangi 50 kerusi dalam PRU-14.

3. Secara automatik sepatutnya Presiden PKR DS Anwar Ibrahim menggantikan Tun Mahathir mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan olehnya, bukannya dibuat undian semula. Tambah lagi sudah ada perjanjian bersyarat penyerahan kuasa kepada Anwar Ibrahim selepas Tun Mahathir. Dan apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim sekarang ini adalah “menuntut hak beliau sebagai orang yang berhak”.

4. Malangnya keadaan tidak mengikut perancangan asal. Anwar merasakan beliau ditipu padahal tidak begitu, ini kerana dalam Perlembagaan termaktub Perdana Menteri boleh meletakkan jawatan dan sekaligus membubarkan Kabinet. Kenapa Tun Mahathir berbuat demikian? Tiada siapa yang tahu, hanya beliau yang tahu apa hakikat sebenar tersirat di dalam hatinya. Walau apapun yang telah berlaku, kita sebagai umat Islam harus menerima semuanya sebagai takdir dan reda, tambah lagi ia telahpun berlaku, semuanya dengan kehendak Tuhan. Tidak ada siapa mempengaruhi sesiapapun.

5. Terbaru timbul cadangan baru pula menyarankan supaya ditubuhkan kerajaan campuran diterajui oleh Perdana Menteri Interim. Sehingga tulisan ini dikeluarkan, andaikan sahaja ini sekadar info awal dan masih belum sah. Tunggu sehingga pengumuman rasmi dikeluarkan daripada Pejabat Perdana Menteri. Apa yang jelas, saat ini semua Ahli Parlimen, tidak ada seorangpun yang mendapat sokongan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin. Inipun jika benar seperti dakwaan Anwar Ibrahim bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen dengan kelebihan lebih daripada 120 Ahli Parlimen.

6. Begitu juga dengan Tun Dr Mahathir tidak cukup majoriti, Anwar Ibrahim tidak cukup majoriti, DS Shafie Apdal tidak cukup majoriti, termasuk pemimpin daripada parti terbesar UMNO DS Zahid Hamidi, dan PAS DS Haji Abdul Hadi Awang juga tidak cukup majoriti dan jauh sekali Mohamad Sabu. Adakah jika demikian maka YDP Agong tidak akan membubarkan Parlimen? Atas kuasa dan budi bicara baginda yang sudah termaktub dalam Perlembagaan, YDPA boleh melantik seorang Perdana Menteri Interim (sementara) dan Menteri-menteri Interim untuk satu tempoh masa yang tiada had, sehingga PRU-15. PM Interim tidak boleh digulingkan, dan tidak boleh disingkirkan oleh undi tidak percaya di Parlimen.

7. Hasrat YDPA itu akan disampaikan kepada ketua-ketua parti yang mempunyai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Menurut sumber, Ahli Parlimen Gua Musang iaitu TS Tengku Razaleigh Hamzah merupakan calon pemimpin yang berkelayakan disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Interim. Tengku Razaleigh hanya akan melantik 19 orang Menteri Interim dalam kabinetnya berbanding 31 orang pada masa kini. Setiap Menteri mungkin akan menjaga dua atau tiga buah kementerian. Tidak ada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan jawatan Timbalan Menteri. Mereka akan bergerak sepenuhnya sebagai sebuah jentera kerajaan atas URUSAN SERI PADUKA BAGINDA, dibantu oleh pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, agensi Kerajaan dan lain-lain.

8. Namun tidak mustahil persepsi ini adalah daripada warga maya yang tidak sabar mahukan perubahan tampuk pemerintahan daripada kerajaan PN kepada kerajaan baru atau disebut sebagai Kerajaan Campuran yang belum tentu lebih baik atau tidak mustahil juga lebih teruk daripada ketiga-tiga kerajaan sebelumnya iaitu BN, PH dan PN. Rakyat harus cerdik setelah melalui 3 konsep pentadbiran kerajaan yang jelas berlainan di antara satu dengan yang lain. Nampak seperti sama tetapi berlainan dan sama sekali tidak sama.

10. Akhir sekali, sebagai rakyat yang mahukan keadilan sebenar mengikut ciri-ciri Islamiyyah, MUAFAKAT selaku Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) merasakan jalan atau pilihan terbaik ketika ancaman pandemik Covid-19 sedang mengganas adalah dikekalkan kerajaan PN bawah TS Muhyiddin meneruskan pentadbiran negara ini sehingga gejala wabak dapat ditangani dan ancamannya berkurangan. Malah MUAFAKAT berkeyakinan Anwar Ibrahim sebagai seorang yang berwibawa tentunya tidak akan merisikokan dan membahayakan keselamatan rakyat daripada beliau terkejar-kejar menuntut haknya itu. Anwar boleh bersabar 20 tahun, maka apa ada pada 2 tahun untuk gentleman menghadapi PRU-15.

Haji Rashidi bin Haris

Ketua Media MUAFAKAT

Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts